Mati pucuk, atau disfungsi ereksi (ED) adalah kondisi yang membuatkan lelaki mengalami kesukaran mendapatkan atau mengekalkan ereksi yang cukup lama untuk bersenggama. Dalam banyak-banyak rawatan yang ditawarkan, suntikan zakar telah meraih perhatian!
Suntikan untuk mati pucuk merupakan sejenis rawatan alternatif yang berkesan bagi individu yang tidak boleh menggunakan ubat-ubatan ED lain.
Bukan itu sahaja, ia dikhabarkan dapat bantu mereka yang menderita ED pada tahap kronik, dek kerana kondisi kesihatan yang telah dimiliki, seperti diabetes atau tekanan darah tinggi.
Jom kenali penawar alternatif mati pucuk, iaitu suntikan zakar dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Suntikan zakar untuk mengubati ED
Para doktor cenderung untuk mempreskripsikan 3 jenis ubat suntikan mati pucuk yang utama, merangkumi:
- Papaverine
- Phentolamine
- Alprostadil (prostaglandin E1)
Majoriti penderita memulakan terapi mereka dengan Trimix, yang merupakan campuran alprostadil, phentolamine, dan papaverine.
Ubat suntikan jenis lain turut merangkumi elemen di atas, yang juga tersedia dalam bentuk tunggal mahupun kombinasi.
Tapi, bagaimana suntikan zakar berfungsi?
Untuk pengetahuan pembaca, rawatan ini berfungsi dengan merehatkan otot dinding saluran darah, menyebabkannya melebar dan mengisi zakar dengan darah.
Suntikan ED, dalam kebanyakan kes, tidak boleh digunakan bersama ubat mati pucuk dalam bentuk dimakan (oral).
Selain itu, pakar menyatakan terapi suntikan ini berupaya mencetuskan ereksi spontan tanpa memerlukan rangsangan seksual.
Sebaliknya, ubat oral seperti Viagra, memerlukan rangsangan seksual untuk mewujudkan ereksi.
Tambahan itu, suntikan zakar dapat atasi masalah penyerapan ubat yang mungkin berlaku dengan ubat oral tertentu.
Ereksi lelaki rata-ratanya mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk berlaku, dan ia berlangsung selama kira-kira 30 ke 60 minit.
Siapa yang menyuntiknya? Adakah pesakit itu sendiri?
Ya, penderita ED itu sendiri yang akan menyuntik zakar mereka, bukan doktor ataupun jururawat!
Klinik atau farmasi biasanya akan menghantar alat suntikan zakar ini kepada pesakit mati pucuk. Ia merangkumi jarum, ubat, dan tisu alkohol.
Berikut adalah langkah-langkah penggunaan rawatan ini:
Mempersiapkan ubat
- Cuci tangan dengan sabun dan air suam.
- Lap bahagian atas botol ubat dengan tisu alkohol.
- Keluarkan picagari dari bekas.
- Tanggalkan penutup picagari secara berhati-hati, pastikan tiada yang menyentuh jarum.
- Tarik semula picagari ke sekitar tanda 20 unit dan masukkan sampai ke bahagian atas penutup ubat.
- Suntik udara ke dalam ubat untuk melepaskan vakum.
- Balikkan botol ubat.
- Tarik pelaras ke bawah melebihi tahap dos yang ditetapkan, kira-kira 5 unit.
- Singkirkan gelembung udara daripada picagari secara perlahan-lahan, dengan menolak pelaras ke arah dos yang betul, dengan anggaran 1 ke 2 unit.
- Keluarkan picagari dan jentik sisi beberapa kali untuk menyingkirkan udara tambahan.
- Tolak pelaras ke jumlah unit yang betul, yang akan membuatkan ubat keluar daripada jarum.
- Secara berhati-hati, letakkan kembali penutup pada jarum.
Menyuntik ubat
- Pegang zakar dengan kuat di kepala dan tarik menghala ke atas paha kiri atau kanan.
- Cari urat yang kelihatan jelas di zakar.
- Bersihkan pangkal zakar dengan tisu alkohol.
- Angkat picagari dan lepaskan penutupnya.
- Tarik zakar dengan kuat, tanpa memusingkannya.
- Pegang picagari seperti memegang anak panah, letakkan pada sudut 90 darjah ke zakar.
- Cucuk picagari ke dalam zakar dan tolak pelaras dengan cepat.
- Keluarkan picagari dengan cepat dan sapukan tisu alkohol ke tempat suntikan, memberi tekanan pada kedua-dua belah zakar selama 5 minit.
- Letakkan picagari di dalam bekas tajam untuk dibuang.
Soalan seterusnya yang mungkin terlintas di fikiran pembaca, tidakkah ia menyakitkan?
Rasa sakit adalah subjektif, ada yang terasa seperti cubitan dan ada juga orang yang merasanya seakan sengatan.
Walau bagaimanapun, ubat itu sendiri tidak boleh menyebabkan rasa sakit pada zakar.
Mengalami kesakitan sebagai kesan sampingan adalah normal apabila menggunakan ubat yang hanya mengandungi alprostadil.
Oleh itu, anda harus maklumkan doktor jika merasa sebarang kesakitan usai suntikan zakar, okey?
Ini kesan sampingan yang perlu anda tahu!
Memorial Sloan Kettering Cancer Center mencadangkan pesakit agar tidak menyuntik ubat ED, 18 jam sebelum atau selepas mengambil beberapa ubat mati pucuk berbentuk oral.
Ubat-ubatan ini merangkumi:
- 10 mg hingga 20 mg dos vardenafil
- 20 mg hingga 100 mg dos sildenafil
- 50 mg hingga 200 mg dos avanafil
Selain itu juga, pesakit tidak boleh mengambil dos tadalafil sebanyak 10 mg ke 20 mg dalam tempoh 72 jam atau 3 hari setelah menggunakan suntikan zakar.
Beberapa kesan sampingan suntikan ED yang perlu anda ketahui adalah:
- Sakit pada zakar
- Pendarahan di tempat suntikan
- Parut zakar
- Zakar melengkung
- Bengkak bersifat sementara di bawah kulit
- Hematoma di atau berhampiran tempat suntikan
- Ereksi yang berpanjangan, dikenali sebagai priapism
Suntikan zakar, betul ke selamat?
Rawatan ini secara umumnya adalah selamat dan berkesan untuk merawat kes mati pucuk yang lebih teruk, atau apabila pesakit tidak sesuai dengan ubat-ubatan ED berbentuk oral.
Pastikan untuk memaklum dan merujuk doktor sekiranya anda melihat sebarang perubahan pada kualiti ereksi.
Di samping itu, kualiti ereksi boleh dikenal pasti menggunakan skala bernombor.
Nombor ‘6’ menjadi indikasi kepada ereksi yang mencukupi untuk penetrasi seks, manakala ’10’ menunjukkan ereksi yang optimum!
Sekiranya kualiti ereksi anda di bawah nombor ‘6’, ini mungkin bermaksud kalian memerlukan dos ubat yang lebih besar atau rawatan yang berbeza.
Pokok pangkalnya, sentiasa dapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang lebih pakar sebelum mencuba rawatan alternatif ini ya!