Berdasarkan logik tersebut, sekiranya puting lelaki tidak memberikan apa apa kebaikan biologi, bukankah ini bermakna ia akan disingkirkan?
Lama-kelamaan, akan terbentuk generasi lelaki yang tidak mempunyai puting. Benar ke?
Jawapannya adalah tidak.
Secara umumnya, terdapat pelbagai sifat fizikal milik manusia yang tidak mempengaruhi kadar kelangsungan hidup.
Sebagai contoh, gigi bongsu. Ia pernah dianggap sebagai saki baki kesan perkembangan spesies manusia.
Sifat fizikal sebegini dikenali sebagai vestigial, organ bukan prioriti (dan tidak diketahui signifikannya) namun kita masih memilikinya (apendiks adalah contoh organ vestigial yang lain).
Kewujudan puting lelaki sebenarnya tidak memberikan impak negatif terhadap kelangsungan hidup golongan lelaki.
Bahkan, jika kena pada susuk tubuh badan lelaki, puting boleh memberikan nilai estetika kepada rupa paras dada lelaki bagi menarik perhatian wanita.
Oleh sebab itulah, secara teorinya, evolusi tidak menyingkirkan penciptaan puting.
Jika terdapat kesalahan pada proses embriologi lelaki, mereka boleh mendapat lebih daripada 2 puting yang kebiasaannya bersifat kosmetik (hanya rupa, tidak mempunyai fungsi).
Adakah ini bermakna puting lelaki mempunyai fungsi yang tersendiri seperti mengeluarkan susu?

Dari sudut fungsi biologi, puting lelaki tidak memberikan sebarang peningkatan prestasi atau menyebabkan proses yang boleh mendatangkan manfaat kepada tubuh badan.
Namun begitu, ia masih berperanan sebagai salah satu kawasan yang boleh memberikan rangsangan seksual.
Sama seperti puting wanita yang sensitif apabila disentuh, puting lelaki mempunyai fungsi erotik sehingga ada yang boleh mengalami orgasme!
Kajian yang dijalankan oleh Roy Levin dan Cindy Meston pada tahun 2006 menunjukkan kira-kira 52 peratus lelaki boleh merasai kenikmatan seksual kesan daripada rangsangan puting.
Pun begitu, adakah benar lelaki tidak boleh menyusukan bayi?
Secara umumnya kita tahu lelaki memang tidak boleh menyusukan bayi. Namun, dari sudut pandang biologi, perkara itu tidak mustahil.
Terdapat keadaan kesihatan seperti kelenjar tiroid terlebih aktif, boleh menyebabkan masalah yang dikenali sebagai galaktorea.
Situasi tersebut boleh dialami akibat daripada kesan sampingan ubat, masalah malnutrisi dan sebagainya.
Hormon dan ubat-ubatan boleh memainkan peranan membantu lelaki untuk menyusukan anak dan langkah ini sering diambil oleh golongan transgender.
Mereka berupaya untuk menyusukan anak seperti wanita biasa menggunakan konsep perubahan hormon dan sebagainya.
Oleh sebab itulah di luar negara, golongan transgender yang ingin mengambil anak angkat, digalakkan untuk menyusu badan (atau menyusu dada) sendiri.
Okay, tetapi lelaki tiada payudara, kan?

Sekali lagi, terdapat perbezaan pada penggunaan perkataan payudara dari konteks sosial dan sains.
Dalam biologi, secara amnya, kedua-dua lelaki dan perempuan mempunyai tisu payudara.
Ingat lagi tak, lelaki dan perempuan diperbuat daripada cetak biru yang sama?
Namun semasa wanita mencapai usia akil baligh, tisu payudara mereka membesar, manakala tisu payudara lelaki kekal rata.
Oleh sebab itulah terdapat lelaki yang didiagnosis dengan masalah kanser payudara. Mereka masih mempunyai tisu payudara walaupun sedikit.
Ia merangkumi 1 peratus daripada keseluruhan kes kanser payudara yang dikesan di seluruh dunia.
Jangan ingat hanya kerana si jejaka mempunyai puting dan tiada payudara, golongan ini terselamat daripada ancaman kanser payudara.
Ia boleh berlaku apabila usia seseorang itu meningkat namun jumlah kesnya sangat jarang dikesan.
Konklusi
Berbeza dengan wanita, puting lelaki mungkin kelihatan tidak berguna namun ia mempunyai nilai estetika dan fungsinya yang tersendiri.
Asbab di sebalik penciptaan puting bagi kaum Adam terletak pada proses perkembangan janin yang berlaku sebelum ia mencecah usia 6 minggu di dalam kandungan ibu.
Namun, dari sudut biologi, ia tidak memberikan sebarang peranan yang signifikan seperti penyusuan anak.
Jika puting anda (lelaki) mengeluarkan susu tanpa sebab, sila berjumpa dengan doktor untuk tindakan selanjutnya.