Jangan terkejut ya kerana sememangnya wujud menopause pada lelaki. Mungkin sebelum ini ramai yang menyangka hanya wanita yang akan mengalami kesan perubahan hormon.
Tetapi terdapat kajian yang mengatakan bahawa lelaki turut berdepan simptom perubahan hormon, atau dikenali sebagai andropaus, sama seperti wanita yang mengalami perimenopaus dan menopaus.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.
Bagaimana menopause pada lelaki terjadi?
Testosteron adalah hormon yang bertanggungjawab kepada perubahan; suara, jisim otot, pertumbuhan rambut pada muka dan tubuh pada lelaki.
Apabila seorang individu lelaki semakin meningkat usia, tahap testosteron secara beransur-ansur menurun, dan kesannya akan muncul simptom pada aspek fizikal dan psikologi.
Perubahan hormon adalah satu proses penuaan semulajadi. Walau bagaimanapun, perubahan hormon yang berlaku mungkin tidak dramatik seperti yang berlaku ke atas individu wanita.
Dianggarkan bahawa testosteron berkurangan hampir 10% setiap dekad selepas lelaki mencapai usia 30 tahun.
Keadaan ini dirujuk sebagai andropaus, berkaitan dengan pengurangan hormon testosteron lelaki.
Individu yang mengalami andropaus mungkin mempunyai beberapa simptom yang berkaitan dan berisiko berdepan masalah kesihatan yang lebih serius seperti osteoporosis tanpa rawatan yang sewajarnya.
Baca juga:
Kenal pasti simptom menopause pada lelaki
Walaupun simptom yang dihadapi mungkin berbeza bagi setiap individu, beberapa simptom fizikal, seksual dan psikologi umum yang mungkin dialami apabila berdepan masalah andropaus adalah seperti:
- Kelesuan, kurang tenaga
- Keletihan, sukar untuk fokus
- Kemurungan, kesedihan
- Masalah seksual seperti hilang keinginan seksual, sukar untuk ereksi
- Perubahan emosi, hilang motivasi
- Kehilangan jisim otot, kekuatan tubuh
- Peningkatan berat badan
- Keyakinan diri berkurangan
- Sukar untuk tidur, insomnia
Tidak seperti menopaus wanita, apabila pengeluaran hormon terhenti sepenuhnya, penurunan hormon testosteron pada lelaki berlaku secara perlahan-lahan.
Testis, tidak seperti ovari, tidak akan berhenti menghasilkan testosteron. Individu lelaki yang sihat, mungkin masih dapat menghasilkan sperma pada usia 80 tahun atau lebih dari itu.
Namun, jika seseorang individu lelaki itu mengalami penyakit atau sebarang masalah kesihatan, perubahan pada fungsi dan keupayaan testis mungkin akan berlaku seawal usia 45 hingga 50 tahun dan akan menjadi lebih dramatik selepas usia 70 tahun.
Bolehkah andropaus dirawat?
Jika tahap testosteron rendah, terapi penggantian testosteron boleh membantu simpton seperti:
- Kehilangan minat seks
- Kemurungan
- Keletihan
Sama seperti terapi penggantian hormon pada wanita, terapi penggantian testosteron berisiko mengalami kesan sampingan, ia mungkin memburukkan penyakit kanser prostat.
Rawatan paling umum untuk merawat masalah ini adalah dengan melakukan perubahan pada gaya hidup tertentu, seperti:
- Diet
- Bersenam
- Mengamalkan pemakanan sihat
- Dapatkan tidur yang secukupnya
- Kurangkan tekanan
- Ubatan, seperti antikemurungan (jika anda alami masalah kemurungan)