backup og meta

Makin Lama, Makin Tak Bernafsu? Suami Cuba Semak, 5 Perkara Ini Mungkin Penyebabnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    Makin Lama, Makin Tak Bernafsu? Suami Cuba Semak, 5 Perkara Ini Mungkin Penyebabnya!

    Adakah keinginan anda untuk bersama isteri telah hilang? Kian hari, semakin lemah tenaga batin hingga tiada mood langsung untuk bersama! Kenapa boleh jadi macam ini?

    Selain penyakit tertentu, gaya hidup, emosi dan beberapa faktor fisiologi juga berupaya menjejaskan libido (rangsangan seks) anda.

    Apa yang penulis maksudkan? Sekiranya ada pembaca lelaki di luar sana yang berada dalam situasi ini, dan memerlukan bantuan untuk kenal pasti kemungkinan puncanya, teruskan membaca!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    Lemah tenaga batin, apa tu?

    Tenaga batin, atau bahasa saintifiknya, libido membawa maksud rangsangan seks yang dimiliki seseorang individu.

    Maka, erti lemah tenaga batin menggambarkan penurunan minat untuk melibatkan diri dalam aktiviti seksual bersama pasangan.

    Jika mahu diikutkan, kehilangan minat terhadap seks adalah normal dari semasa ke semasa, kerana tahap libido manusia juga berbeza-beza sepanjang hayat.

    Walau bagaimanapun, libido yang rendah untuk jangka masa yang panjang boleh menimbulkan kebimbangan bagi sesetengah orang.

    Kadangkala, ia juga boleh menjadi indikasi terhadap penyakit atau kondisi kesihatan yang memerlukan perhatian!

    Punca-punca lemah tenaga batin dalam kalangan lelaki

    Berikut adalah beberapa kemungkinan pemicu-pemicu libido rendah dalam kalangan kaum Adam.

    #1 Testosteron rendah

    Testosteron merupakan hormon penting buat lelaki dan kebanyakannya dihasilkan di testis.

    Hormon ini juga bertanggungjawab membina otot, jisim tulang, dan untuk merangsang pengeluaran sperma.

    Paras testosteron anda juga menjadi faktor penentu sama ada lemah tenaga batin atau sebaliknya.

    Untuk makluman, lelaki dewasa dianggap mempunyai testosteron rendah, atau rendah T, ketika tahapnya berada di bawah 300 nanogram per desiliter (ng/dL), menurut garis panduan American Urological Association (AUA).

    Apabila paras hormon testosteron anda menurun, keinginan untuk bersama juga bakal menurun.

    #2 Kemurungan/depresi

    lemah tenaga batin

    Depresi terbukti berupaya mengubah kesemua aspek dalam kehidupan seseorang!

    Penderita kemurungan boleh mengalami kekurangan atau kehilangan minat terhadap aktiviti yang pernah mereka nikmati, termasuk seks.

    Tambah lagi, lemah tenaga batin boleh menjadi antara kesan sampingan beberapa ubat antikemurungan, merangkumi:

    • Serotonin-norepinephrine reuptake inhibitors (SNRIs), seperti duloxetine
    • Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs), seperti fluoxetine dan sertraline

    Pun begitu, jenis norepinephrine dan dopamine reuptake inhibitor (NRDI) belum terbukti dapat mengurangkan libido.

    #3 Masalah tidur

    1 kajian dalam Journal of Clinical Sleep Medicine mendapati bahawa lelaki yang tidak obes, yang mempunyai apnea tidur obstruktif (OSA) memiliki tahap testosteron yang lebih rendah.

    Disebabkan itu, berlakulah penurunan aktiviti seksual dan libido!

    Dalam kajian itu juga, para penyelidik mendapati hampir satu pertiga lelaki yang mengalami apnea tidur teruk, turut alami pengurangan kadar hormon testosteron.

    Dalam 1 kajian lain baru-baru ini yang dijalankan pada lelaki muda dan sihat, kadar testosteron menurun sebanyak 10% hingga 15% setelah mengalami pengurangan waktu tidur selama 5 jam seminggu setiap malam.

    Para penyelidik mendapati, kesan kekurangan tidur dapat dilihat jelas pada perubahan tahap testosteron antara jam 2 petang dan 10 malam keesokan harinya.

    #4 Stres/tekanan

    Ya, berada dalam situasi atau suatu tempoh masa yang bertekanan tinggi mampu memicu lemah tenaga batin!

    Percaya atau tidak, stres berupaya menjejaskan tahap hormon anda.

    Arteri dalam badan boleh menjadi sempit sebagai tindak balas terhadap tekanan.

    Penyempitan ini menyekat aliran darah dan berpotensi menyebabkan mati pucuk! Takutnya!

    1 kajian yang diterbitkan dalam Scientific Research and Essays menyokong tanggapan bahawa tekanan memberi kesan langsung terhadap masalah seksual lelaki dan wanita.

    Sepanjang riwayat hidup manusia, stres adalah sukar dielakkan.

    Masalah dalam perhubungan, penceraian, kematian orang tersayang, isu kewangan, kehadiran bayi baru lahir, atau persekitaran kerja yang toksik hanyalah beberapa peristiwa hidup yang boleh akibatkan lemah tenaga batin.

    Teknik pengurusan tekanan, seperti latihan pernafasan, meditasi, dan berkomunikasi dengan ahli terapi, dapat membantu!

    Misalnya, dalam 1 kajian, lelaki yang baru didiagnosis dengan mati pucuk telah menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam skor fungsi ereksi, setelah mengikuti program pengurusan tekanan selama 8 minggu.

    #5 Kurang bersenam atau berlebihan

    Benar, senaman telah diakui manfaatnya untuk kesihatan.

    Namun, senaman yang terlalu sedikit atau terlalu banyak juga boleh menyumbang kepada punca lemah tenaga batin.

    lemah tenaga batin

    Kekurangan bersenam (atau tidak ada sama sekali) boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang bakal mempengaruhi keinginan dan libido.

    Bersenam secara teratur dan berkala dapat mengurangkan risiko anda terhadap penyakit kronik seperti obesiti, tekanan darah tinggi, dan diabetes jenis 2, yang kesemuanya mempunyai kaitan dengan isu libido rendah.

    Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal secara sederhana terbukti dapat menurunkan kadar kortisol pada waktu malam dan mengurangkan stres, lantas bantu meningkatkan rangsangan seks!

    Sebaliknya, terlalu banyak bersenam pula telah terbukti akan menjejaskan kesihatan seksual dan menjadi punca lemah tenaga batin.

    Konklusi

    Usaha untuk merawat masalah lemah tenaga batin harus dimulakan dengan mengenal pasti pemicunya terlebih dahulu.

    Sekiranya libido yang rendah disebabkan oleh masalah kesihatan yang sedia ada, anda mungkin perlu menukar ubat atau menjalani rawatan tertentu.

    Jika ia berkaitan dengan aspek psikologi, usah segan untuk mengaku dan mendapatkan pertolongan daripada ahli terapi atau pakar psikologi okey?

    Kalau corak tidur atau gaya hidup menjadi punca, ambil inisiatif untuk; jalani gaya hidup sihat, cukupkan waktu tidur, amal diet sihat dan menguruskan tekanan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan