Kesan gula tinggi dalam darah bukan hanya melibatkan komplikasi biasa sahaja, tetapi ia juga boleh beri kesan kepada sistem penghadaman. Kenali gastroparesis, gangguan saluran pencernaan kesan gula tinggi dalam badan.
Kesan gula tinggi dalam darah sebabkan gastroparesis
Mungkin penghidap diabetes sendiri tidak pernah mendengar apakah itu gastroparesis.
Tahukah anda, paras gula darah yang tinggi sebenarnya boleh menyebabkan penyakit ini.
Gastroparesis merupakan satu gangguan terhadap sistem pencernaan tubuh, di mana makanan yang dimakan kekal berada di dalam perut untuk satu tempoh masa yang lama.
Hal ini berlaku kerana saraf yang menggerakkan makanan melalui saluran pencernaan sudah mengalami kerosakan.
Ini menjadikan otot tidak dapat berfungsi dengan baik.
Kesannya, makanan kekal berada di dalam perut dan tidak dicerna seperti yang sepatutnya.
Ini simptom-simptom gastroparesis yang anda perlu tahu
Gastroparesis yang merupakan kesan gula tinggi dalam badan ini boleh menunjukkan beberapa tanda atau simptom.
Antara simptom utamanya ialah:
- Tekak berasa loya
- Mengalami pedih ulu hati atau refluks gastroesofageal
- Muntah makanan yang tidak dicerna
- Rasa cepat kenyang
- Mengalami kembung perut
- Rasa sakit yang kronik pada perut
- Hilang selera makan
- Mengalami penurunan berat badan
Kesan gula tinggi dalam darah: Apakah punca yang menyebabkan gastroparesis?
Kesan gula dalam darah yang terlalu tinggi dan kronik adalah kerosakan kepada salur darah kecil dan juga saraf.
Apabila ia melibatkan saraf vagus yang mengawal pergerakan persitalsis perut, ia akan menyebabkan makanan kekal dalam perut lebih lama dan mengakibatkan simptom-simptom gastroparesis.
Faktor risiko bagi gangguan gastroparesis
Mereka yang mempunyai diabetes merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan gula tinggi dalam badan seperti ini.
Ini kerana penyakit diabetes itu sendiri menjadi punca kepada kerosakan saraf yang berada di dalam perut.
Selain itu, terdapat juga beberapa penyakit lain yang turut menyebabkan gastroparesis. Antaranya ialah:
- Jangkitan virus
- Penyakit asid refluks
- Penyakit Parkinson
- Pankreatitis kronik
- Penyakit buah pinggang
- Sindrom Turner
- Skleroderma
Selain itu, pembedahan esofagus atau pembedahan perut juga boleh menyebabkan gangguan ini.
Begitu juga dengan kesan ubat-ubatan tertentu yang menyebabkan pencernaan makanan menjadi lebih perlahan.
Kesan gula tinggi dalam darah: Komplikasi akibat gastroparesis
Apabila makanan yang kita makan tidak dicerna dalam tempoh yang sepatutnya, ia boleh menyebabkan rasa kenyang atau kembung perut.
Bagi mereka yang menghidap diabetes, gastroparesis boleh menyebabkan masalah besar memandangkan makanan yang tidak dicerna ini boleh menyebabkan kesukaran mengawal paras gula.
Gangguan gastroparesis menyebabkan proses pencernaan agak sukar untuk dikesan dan menyebabkan bacaan gula darah menjadi berubah-ubah.
Selain itu, makanan yang berada terlalu lama di dalam perut akan mengalami penapaian dan menyebabkan pertumbuhan bakteria di dalam perut.
Makanan yang berada dalam perut terlalu lama juga boleh mengeras dan membentuk pepejal yang disebut sebagai ‘bezoar’.
Jika bezoar ini terbentuk, ia boleh menyekat perut dan menghalang makanan daripada bergerak ke kawasan usus kecil.
Masalah dan komplikasi lain yang turut boleh berlaku termasuklah dehidrasi dan juga malnutrisi.
Diagnosis bagi gangguan gastroparesis
Jika anda hadir berjumpa dengan doktor, doktor akan melakukan beberapa ujian untuk mengesahkan kesan gula tinggi dalam darah dan keadaan anda.
Antara ujian tersebut ialah:
- Ujian pengosongan gastrik: Ujian ini dilakukan bagi melihat sepantas manakah perut anda mencernakan makanan. Ini mungkin melibatkan beberapa ujian seperti skintigrafi dan ujian pernafasan.
- Endoskopi gastrousus atas (GI): Endoskopi digunakan untuk melihat keadaan sistem pencernaan atas iaitu di bahagian esofagus, perut dan juga permulaan usus kecil. Ia akan melibatkan penggunaan kamera kecil untuk melihat keadaan perut anda dengan lebih jelas.
- Ultrabunyi: Ujian ini menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk mendapatkan imej struktur dalam badan anda.
Kesan gula tinggi dalam darah: Rawatan yang boleh dilakukan
Terdapat beberapa langkah dan juga rawatan yang boleh anda lakukan jika mengalami gangguan ini.
Pertama sekali adalah membuat perubahan kepada diet atau pemakanan anda.
Ramai individu boleh mengawal gastroparesis melalui perubahan pelan pemakanan.
Antara tip yang boleh anda ikuti untuk mengurangkan kesan gula tinggi dalam darah ialah:
- Makan dengan saiz hidangan yang lebih kecil, tetapi kerap
- Kunyah makanan sehingga hancur
- Makan makanan yang telah dimasak berbanding makanan mentah
- Elakkan buah-buahan dan sayuran yang tinggi serat
- Banyakkan makanan berasaskan sup atau puri
- Minum sekitar 1 hingga 1.5 liter air setiap hari
- Melakukan senaman ringan selepas makan
- Elakkan minuman beralkohol dan juga merokok
- Elakkan daripada berbaring atau tidur dalam tempoh dua jam selepas makan
Sesetengah penghidap gastroparesis juga mungkin perlu mengambil ubat-ubatan untuk merangsang otot perut.
Ada juga beberapa jenis ubatan yang boleh digunakan untuk mengawal rasa loya dan muntah-muntah.
Kesimpulan
Kesan gula tinggi dalam darah ini sememangnya boleh menyebabkan gastroparesis.
Oleh itu, cuba ikuti tip pemakanan yang telah dinyatakan di atas bagi membantu anda mengawal masalah gastroparesis ini.
[embed-health-tool-bmi]