backup og meta

Anda Ada Diabetes Dan Bekerja Shift Malam? Ini 15 Tip Kawal Gula Darah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2021

    Anda Ada Diabetes Dan Bekerja Shift Malam? Ini 15 Tip Kawal Gula Darah

    Tahukah anda, kerja waktu malam bagi penghidap diabetes sebenarnya boleh menjejaskan keadaan diabetes mereka? Kami berikan beberapa tips kerja shift malam yang bersesuaian untuk anda menguruskan keadaan diabetes dengan baik. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.

    Adakah kerja waktu malam boleh menjejaskan keadaan diabetes yang dialami?

    Berbanding mereka yang bekerja pada waktu kerja biasa (9 pagi-6 petang), mereka yang bekerja pada shift malam lebih sukar untuk mengawal dan menguruskan keadaan diabetes mereka.

    Ini kerana, perubahan waktu bekerja yang tidak normal boleh mengubah rutin hidup yang lain.

    Antaranya ialah perubahan waktu makan, jenis makanan yang diambil, rutin tidur harian serta peningkatan tahap stres seseorang.

    Percaya atau tidak, paras gula darah boleh terjejas akibat daripada perubahan rutin hidup anda.

    Jika anda kurang mendapat tidur yang berkualiti, ia boleh menyebabkan keadaan hiperglisemia atau hipoglisemia.

    tips kerja shift malam

    Kerja waktu malam juga boleh memberi kesan terhadap waktu makan seseorang.

    Anda mungkin akan berasa lapar dan makan sesuatu pada selang masa yang berbeza setiap hari.

    Ini boleh menyebabkan paras gula darah anda menjadi tidak terkawal.

    Selain itu, mereka yang kerja waktu malam lebih cenderung untuk tidak bersenam pada siang hari.

    Ini kerana, sejurus selepas pulang daripada tempat kerja, anda lebih mengutamakan waktu rehat dan tidur daripada melakukan aktiviti lain.

    Ini akan menyebabkan anda kurang mendapat manfaat daripada aktiviti bersenam. 

    Tips kerja shift malam: Cara untuk memperbaiki kualiti tidur anda

    kerja waktu malam

    Disebabkan perubahan waktu kerja dan masa tidur anda setiap hari, maka anda perlu merancang waktu dan cara tidur yang lebih sesuai.

    Ini untuk mengelakkan anda daripada mengalami keadaan yang tidak diingini seperti hiperglisemia dan hipoglisemia.

    Antara tip untuk memperbaiki cara dan waktu tidur anda adalah seperti berikut:

    1. Kenal pasti jumlah waktu tidur yang anda perlukan dan tentukan waktu tidur anda setiap hari secara spesifik. Individu dewasa memerlukan antara tujuh hingga lapan jam waktu tidur sehari, oleh itu pastikan anda mendapat jumlah waktu tidur yang sewajarnya.
    2. Cuba tidur dalam beberapa waktu yang berbeza. Ini untuk melihat pada waktu bilakah anda akan mendapat tidur yang paling berkualiti. 
    3. Sekiranya anda mengalami kekurangan waktu tidur pada hari tersebut, cari waktu lapang yang lain dan tidur sebentar atau nap
    4. Tidur sebentar untuk merehatkan diri anda sebelum anda mula bekerja.
    5. Apabila anda telah mendapat corak tidur yang sesuai untuk diri anda, kekalkan rutin tersebut.

    Tips kerja shift malam: Kaedah makan yang terbaik

    tips kerja shift malam

    Memandangkan perubahan waktu makan dan jenis makanan boleh mempengaruhi keadaan diabetes anda, maka ada beberapa perkara yang boleh anda ikuti untuk menguruskannya.

    Antara tip yang boleh diguna pakai ialah:

    1. Elakkan makan dengan kuantiti yang besar pada waktu malam. Sebaliknya, anda perlu makan pada waktu siang dan petang untuk mengawal paras gula darah anda.
    2. Pastikan anda makan tengah hari pada jam 12 tengah hari dan makan malam pada jam 6 petang setiap hari.
    3. Makan dengan mengikuti waktu yang telah ditetapkan setiap hari. Elakkan daripada menunggu sehingga lapar. 
    4. Jika anda berasa lapar ketika bekerja pada waktu malam, makanlah snek yang sihat dengan jumlah yang kecil sahaja. Ini untuk memastikan agar gula darah anda tidak menurun dengan laju dan memberikan tenaga untuk anda bekerja.
    5. Anda juga disarankan untuk membawa bekal snek anda sendiri dari rumah. Anda boleh membawa buah-buahan, yogurt, kekacang atau salad untuk dimakan pada waktu malam.
    6. Ambil snek yang rendah nilai indeks glisemiknya (GI) seperti roti bijirin penuh atau biskut bijirin penuh.
    7. Elakkan mengambil snek atau makanan bergoreng pada waktu malam.
    8. Minum air kosong dan elakkan mengambil minuman bergula.
    9. Elakkan membeli snek daripada mesin layan diri kerana ia tidak bagus untuk kesihatan anda.
    10. Jika ada masa yang terluang, cuba lakukan senaman ringkas untuk sementara waktu. Ini boleh membantu mengawal paras gula darah anda selain memberikan anda mood yang lebih baik ketika bekerja.

    Pantau diri anda ketika bekerja shift malam

    Bagi penghidap diabetes, tiada masalah untuk anda kerja waktu malam.

    Namun, anda perlu memberikan perhatian kepada sebarang perubahan rutin yang mungkin boleh menjejaskan keadaan diabetes anda.

    Antaranya seperti perubahan waktu tidur, kekurangan tenaga, jenis makanan yang diambil serta perubahan waktu makan.

    Jika anda boleh menguruskan kesemua perkara ini dengan teratur dan baik, maka anda tidak mempunyai masalah untuk bekerja pada waktu malam walaupun mempunyai diabetes.

    Kongsikan tips kerja shift malam ini kepada ahli keluarga dan rakan anda yang berkaitan untuk manfaat bersama.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan