Diabetes boleh terjadi kepada sesiapa termasuklah wanita mengandung. Jika anda salah seorang daripadanya, maka sila amalkan diet untuk ibu hamil dengan kencing manis.
Persoalannya, bagaimanakah cara yang betul untuk tujuan tersebut? Adakah ibu hamil itu perlu jaga makan dan minum seperti pesakit diabetes yang lain juga?
Ya, penderita diabetes gestasi tidak boleh sebarangan mengambil diet pemakanan untuk jaga kesihatan diri dan bayi. Jom teruskan membaca artikel ini bagi mengetahui diet untuk ibu hamil yang diabetes!
Diabetes & ibu hamil
Diabetes gestasi adalah penyakit kencing manis ketika hamil yang bermula semasa minggu ke-24.
Kondisi ini akan mempengaruhi sistem tubuh badan dalam hal menggunakan glukosa lantas menyebabkan peningkatan kadar gula dalam darah buat si ibu hamil.
Kebiasaannya, kadar glukosa ini akan kembali normal selepas bersalin, namun masih wujud risiko di mana ibu hamil menghidap kencing manis jenis 2 pula kelak.
Jika keadaan kesihatan ini tidak berjaya dikawal dengan baik, maka akan terjadi masalah kepada si ibu dan juga bayi dalam kandungan. Jadi, sila urus kondisi ini dengan baik!
Apa simptom diabetes gestasi?
Untuk pengetahuan anda, diabetes gestasi mungkin tidak akan menunjukkan sebarang simptom dan hanya dapat dikesan melalui ujian saringan penyakit itu.
Pun begitu, sesetengah ibu hamil juga mungkin akan mengalami beberapa simptom jika kadar gula dalam darah meningkat terlalu tinggi termasuklah:
- Kerap haus
- Kerap kencing
- Cepat penat
- Mulut kering
Apa yang mungkin mengelirukan di sini adalah kesemua simptom di atas juga merupakan gejala biasa berlaku ketika kehamilan. Jadi, sila buat pemeriksaan doktor, ya!
Apa punca diabetes gestasi?
Sekiranya tubuh badan wanita mengandung tidak dapat menghasilkan insulin dan memanfaatkan glukosa dengan baik, maka diabetes gestasi boleh terjadi.
Dalam pada itu juga, keadaan kesihatan ini turut dipengaruhi oleh beberapa faktor risiko yang mungkin wujud pada diri seorang ibu hamil termasuklah:
- Berusia 25 tahun ke atas
- Sejarah ahli keluarga dengan diabetes
- Pernah ada kondisi kencing manis
- Berat badan berlebihan (BMI 30 ke atas)
- Mengandung bayi yang lebih berat
- Mengalami sindrom polisistik ovari
- Menghidap intoleransi glukosa
- Mengambil ubatan tertentu seperti glukokortikoid (untuk asma atau penyakit autoimun), beta-blockers (untuk tekanan darah tinggi atau kadar jantung laju) atau antipsikotik (untuk masalah penyakit mental)
Anda mungkin berisiko untuk mengalaminya jika ada faktor-faktor risiko di atas. Jadi, sila berjumpa dengan doktor segera untuk buat pemeriksaan.
Diet untuk ibu hamil dengan kencing manis!
Bagaimana untuk mengawal kondisi ini bagi mengelakkan komplikasi lain? Jawapannya adalah mengamalkan diet untuk ibu hamil dengan kencing manis!
#1. Jangan makan terlalu banyak
Sebagai contoh, anda boleh ambil 3 hidangan maksimun dalam masa sehari agar masih dapat nutrisi dan elak kadar gula dalam darah menjadi terlalu tinggi.
#2. Lebihkan mengambil serat
Anda mungkin perlu lebih banyak mengambil serat daripada roti, nasi, barli, kekacang atau bijirin lain agar mampu mengekalkan kadar glukosa dalam tubuh badan.
Diet untuk ibu hamil yang ada diabetes #3. Lebihkan mengambil susu
Susu adalah sumber kalsium terbaik dan memandangkan ia adalah cecair, maka susu akan dapat diserap dengan lebih cepat. Namun, jangan ambil terlalu banyak ya.
#4. Kurangkan mengambil gula
Sudah terang lagi bersuluh, perkara paling penting yang anda perlu elak adalah makanan atau minuman yang tinggi gula bagi mengekalkan gula dalam darah.
#5. Jangan cuai bersarapan pagi
Kadar glukosa adalah sukar dikawal pada waktu pagi ekoran hormon kehamilan yang kuat. Oleh itu, sila bersarapan pagi dengan pilihan hidangan yang tepat.
#6. Pilih alternatif yang paling baik
Bagi menggantikan gula, ibu hamil juga mungkin boleh menggunakan pemanis alternatif seperti berikut bagi mengelak diabetes gestasi menjadi lebih teruk:
- Aspartame
- Acesulfame
- Sucralose
- Stevia
#7. Ibu hamil perlu kekal aktif
Akhir sekali, adalah sangat penting bagi setiap ibu hamil sama ada dengan diabetes atau tidak untuk sentiasa kekal aktif bagi memastikan kecergasan dan kekuatan tubuh badan.
Kurangkan manisan ketika bayi dalam kandungan!
Konklusinya, setiap daripada ibu hamil wajar mengurangkan pengambilan makanan atau minuman yang tinggi gula terutamanya buat mereka yang ada kencing manis.
Sekiranya berlaku sebarang masalah ketika kehamilan yang disebabkan oleh kondisi ini, sila segera berjumpa dan berbincang dengan doktor untuk informasi lebih lanjut.
[embed-health-tool-bmi]