backup og meta

Siapa Yang Wajib Minum Air Gula Ketika Hamil? 7 Kategori Ini Akan Tentukannya!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/10/2022

    Siapa Yang Wajib Minum Air Gula Ketika Hamil? 7 Kategori Ini Akan Tentukannya!

    Semasa sedang hamil, memang akan ada banyak ujian dan pemeriksaan kesihatan yang perlu dilakukan oleh wanita dan ini termasuklah prosedur minum air gula.

    Untuk pengetahuan anda, prosedur yang juga dikenali sebagai ujian toleransi glukosa (GTT) ini dilakukan untuk mendiagnosis penyakit diabetes semasa hamil.

    Persoalannya, siapa yang wajib minum air gula ketika hamil? Jom teruskan membaca untuk tahu!

    Wanita & diabetes gestasi

    Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, adalah wajar untuk kita semua mengetahui dan mengenali penyakit diabetes ketika hamil ini terlebih dahulu.

    Diabetes gestasi ini adalah sejenis keadaan kesihatan di mana tubuh badan seorang wanita mengandung tidak dapat mengatur kadar gula dalam darah.

    Disebabkan itu, glukosa tersebut akan selalu berada pada tahap yang tinggi dan ia biasanya akan dapat dikesan pada sekitar trimester terakhir kehamilan.

    Kondisi ini dipercayai berlaku ekoran perubahan hormon badan serta kenaikan berat badan yang mungkin terjadi ketika wanita sedang mengandung.

    Berita baiknya, masalah diabetes gestasi ini biasanya akan hilang setelah anda melahirkan anak.

    air gula

    Apa itu prosedur minum air gula ketika hamil?

    Bagi mendiagnosis, mengawal dan merawat kondisi ini, ada satu prosedur yang wanita boleh buat pada peringkat awal lagi iaitu ujian toleransi glukosa (GTT).

    Ujian ini akan membabitkan wanita perlu minum air gula bagi membantu mengukur tahap glukosa dalam badan dengan cara perbandingan sebelum dan selepas.

    Kebiasaannya, anda dikehendaki untuk minum air gula 2 jam sebelum ujian ini dijalankan untuk doktor menilai bagaimana tubuh badan anda memproses glukosa.

    Bagi wanita tanpa diabetes, tahap gula dalam darah akan meningkat selepas ambil minuman bergula dan akan kembali normal selepas badan menyerap gula.

    Bagi wanita dengan diabetes pula, tahap gula dalam darah tetap akan kekal sama sahaja dan tidak akan menurun walaupun selepas beberapa jam menunggu.

    Siapa yang perlu minum air gula ketika hamil?

    Persoalannya, siapa yang perlu minum air gula ketika hamil? Adakah setiap wanita mengandung perlu buat?

    Buat anda yang mungkin belum tahu, sebenarnya semua wanita hamil dikehendaki untuk menjalani ujian GTT ini sesuai dengan saranan ramai pakar.

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan memo agar para ibu hamil melakukannya sekitar minggu ke-24 sehingga 28 kehamilan.

    Prosedur minum air gula ini lebih disarankan untuk dibuat oleh wanita hamil dalam kategori:

    • Obesiti (BMI lebih daripada 30)
    • Berusia 25 tahun dan ke atas
    • Ada sejarah penyakit kencing manis
    • Ada ahli keluarga menghidap diabetes
    • Pernah hamil bayi bersaiz besar
    • Pernah mengalami keguguran janin
    • Pernah mengalami kematian janin

    air gula

    Jadi, wanita yang termasuk dalam salah satu atau lebih daripada kategori ini sangat dikehendaki untuk minum air gula ketika hamil untuk elak komplikasi lain kelak.

    Apa anda perlu tahu sebelum buat ujian ini?

    Perkara paling penting yang anda perlu tahu sebelum buat ujian GTT adalah wanita hamil perlu berpuasa pada hari sebelum prosedur ini akan dibuat.

    Sebelum prosedur bermula, darah anda akan diambil terlebih dahulu sebelum diberikan minum air gula dengan anggaran (75g glukosa + 250 ml air).

    Selepas prosedur berakhir, darah anda akan diambil sekali lagi untuk doktor melihat dan menilai sama ada anda mengalami diabetes gestasi atau tidak.

    Selain itu, adalah sangat penting untuk anda tahu rasa minuman ini adalah sangat manis dan banyak kes sudah terjadi di mana wanita hamil akan muntah.

    Pun begitu, ketahuilah bahawa reaksi mual dan muntah angkara prosedur ini adalah normal dan mungkin  tiada apa yang anda perlu risaukan tentangnya.

    air gula

    Apa perlu buat jika positif diabetes gestasi?

    Jika disahkan negatif, maka anda adalah bernasib baik dan wanita hamil boleh meneruskan kehamilan dan kehidupan seharian seperti biasa sahaja.

    Namun, jika disahkan positif, maka anda mungkin perlu mengubah cara hidup agar kehamilan dan kehidupan anda selamat serta tidak timbul komplikasi.

    Antara tip-tip untuk mengawal dan merawat diabetes gestasi adalah seperti berikut:

    • Mengamalkan diet sihat dan seimbang
    • Mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula
    • Menurunkan berat badan ketika sedang hamil
    • Melakukan senaman ringan 30 minit sehari

    Paling penting, sentiasa pantau kadar gula dalam darah anda sebagai langkah berjaga-jaga ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan