backup og meta

Nak Jaga Kesihatan Warga Tua Penghidap Diabetes? Ini 7 Tip Untuk Penjaga

Nak Jaga Kesihatan Warga Tua Penghidap Diabetes? Ini 7 Tip Untuk Penjaga

Menguruskan diabetes yang dialami diri sendiri bukanlah perkara mudah, apatah lagi jika melibatkan penjagaan pesakit diabetes yang terdiri daripada warga emas. Apakah langkah terbaik dalam menguruskan diabetes bagi golongan ini agar kesihatan warga tua dapat dijaga dengan baik?

Jangan risau, baca sahaja panduan mudah yang kami sediakan di sini. 

Kesihatan warga tua perlu lebih perhatian jika ada diabetes

Mungkin ada yang belum mengetahui, bahawa penyakit diabetes atau kencing manis ini bukanlah sejenis penyakit yang boleh disembuhkan.

Namun, melalui pengurusan dan penjagaan yang baik, simptom-simptom diabetes dapat dikawal sekali gus dapat mengelakkan komplikasi diabetes yang lebih buruk.

Bagi golongan warga emas, kebanyakan daripada mereka mungkin tidak lagi berdaya untuk menguruskan diri mereka sendiri apabila menghidap diabetes.

Sebagai contoh, mereka lupa untuk mengambil ubat pada waktu yang ditetapkan, atau tidak menyedari sebarang komplikasi diabetes yang sedang berlaku.

Oleh itu, kesihatan warga emas perlu dikekalkan melalui penglibatan individu lain agar diabetes mereka dapat dikawal dengan baik.

Apakah cara yang boleh kita lakukan?

Kesihatan warga tua: Ikut tip ini untuk uruskan diabetes mereka

kesihatan warga tua

Anda tidak perlu berasa bimbang jika tidak tahu bagaimana untuk membantu menguruskan kesihatan warga tua yang menghidap diabetes. Ini langkah-langkahnya:

Penjagaan pesakit diabetes 1: Makan sihat

Semua individu yang menghidap diabetes perlu mengambil makanan berdasarkan diet sihat yang rendah gula dan lemak tepu.

Perlu diingat, gula daripada sumber buah-buahan juga masih perlu dikawal pengambilannya.

Anda boleh berjumpa dengan pakar pemakanan berdaftar yang boleh membantu anda untuk membuat rancangan makanan yang sihat bagi penghidap diabetes.

Jika boleh, pastikan mereka mempunyai waktu makan yang sama setiap hari.

Elakkan mereka daripada skip waktu makan kerana ini boleh menyebabkan hipoglisemia atau paras gula darah menjadi terlalu rendah.

Penjagaan pesakit diabetes 2: Semak paras gula dengan kerap

Doktor akan memberitahu anda bagaimana dan bila untuk memeriksa paras gula atau glukosa darah.

Secara umumnya, individu yang mengambil insulin, mereka yang sukar mengawal paras glukosa darah, atau mengalami hipoglisemia (gula darah rendah) perlu memantau paras glukosa darah mereka dengan kerap.

Warga emas yang menghidap diabetes amat berisiko tinggi untuk mengalami hipoglisemia apabila mengambil ubat diabetes.

Antara gejala hipoglisemia termasuklah kekeliruan, pening, kelaparan, dan berpeluh.

Oleh sebab itu, anda perlu memeriksa paras gula darah mereka dengan kerap untuk mengelakkan keadaan seperti ini. 

Penjagaan pesakit diabetes 3: Kekal aktif

kesihatan warga tua

Senaman aerobik seperti berjalan, berenang dan berbasikal boleh membantu warga emas untuk mengawal paras gula mereka.

Selain itu, ia juga dapat membantu menguruskan berat badan dan membuatkan tubuh mereka kekal kuat.

Persatuan Diabetes Amerika mengesyorkan untuk bersenam 30 minit setiap hari, sekurang-kurangnya 5 hari seminggu.

Namun, jika mereka tidak berkemampuan untuk melakukan aktiviti yang agak berat, anda boleh mengajak mereka untuk melakukan aktiviti fizikal yang lebih ringan.

Antaranya adalah seperti berkebun, membersihkan halaman rumah atau berjalan mengelilingi kawasan perumahan. 

Penjagaan pesakit diabetes 4: Pastikan mereka makan ubat

Warga emas cenderung untuk tidak mengingati jika mereka telah mengambil ubat diabetes mereka atau belum.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab anda untuk membantu mereka mengambil ubat pada waktunya dengan dos yang sepatutnya.

Jangan risau, terdapat pelbagai kaedah yang boleh membantu anda untuk menguruskan ubat-ubatan mereka.

Antaranya adalah melalui penggunaan kotak ubat dan juga tetapan penggera bagi waktu makan ubat. 

Penjagaan pesakit diabetes 5: Periksa kaki mereka

Mengapa anda perlu memeriksa keadaan kaki warga emas ini? Ia bertujuan untuk melihat sama ada terdapat sebarang tanda jangkitan pada kaki mereka.

Jika anda melihat kewujudan luka atau tompokan merah yang kelihatan sudah dijangkiti, hubungi doktor dengan segera.

Pastikan kaki mereka sentiasa bersih dan gunakan losen untuk mengelakkan kekeringan kulit.

Selain itu, pakaikan kasut yang selesa kepada mereka untuk mengelakkan kelepuhan pada kaki. 

Penjagaan pesakit diabetes 6: Buat ujian kolesterol dan tekanan darah

kesihatan warga tua

Kesihatan warga tua merangkumi pelbagai perkara, termasuklah berkaitan jantung mereka.

Untuk memastikan mereka kurang berisiko mendapat penyakit berkaitan jantung, sila bawa mereka menjalani ujian paras kolesterol dan juga tekanan darah.

Jika mereka masih merokok, minta mereka untuk kurangkan tabiat tersebut bagi mengawal tekanan darah yang lebih baik. 

Penjagaan pesakit diabetes 7: Buat pemeriksaan gigi

Komplikasi diabetes juga boleh berlaku pada bahagian mulut atau gigi.

Ini termasuklah masalah pada gigi dan juga penyakit-penyakit gusi.

Jika anda mendapati terdapat masalah pada gigi atau gusi warga emas ini, bawalah mereka untuk berjumpa dengan doktor.

Ini untuk mengelakkan sebarang komplikasi diabetes daripada menjadi lebih buruk. 

Kesimpulan 

Penjagaan kesihatan warga tua penghidap diabetes bukanlah sesuatu yang sukar jika anda tahu apa yang perlu dibuat.

Oleh itu, sekiranya anda masih samar-samar berkenaan peranan anda, ikut sahaja tujuh tip di atas ini.

Pasti kesihatan warga tua dapat dijaga dengan baik di tangan anda. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

4 Steps to Manage Your Diabetes for Life. https://www.cdc.gov/diabetes/ndep/pdfs/4steps/4steps-english.pdf. Accessed on November 18, 2021.

Oral Health Problems and Diabetes. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/11263-oral-health-problems-and-diabetes. Accessed on November 18, 2021.

Steps to Manage Your Diabetes for Life. https://www.niddk.nih.gov/health-information/diabetes/overview/managing-diabetes/4-steps. Accessed on November 18, 2021.

Diabetes in Older People. https://www.nia.nih.gov/health/diabetes-older-people. Accessed on November 18, 2021.

Diabetes Management in the Elderly. https://spectrum.diabetesjournals.org/content/31/3/245. Accessed on November 18, 2021.

Versi Terbaru

22/04/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Otak Lambat Berkembang? Ini Risiko Jika Anak Ada Diabetes!

Manfaat Mandi Air Panas Boleh Kurangkan Risiko Diabetes, Benarkah?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan