backup og meta

Otak Lambat Berkembang? Ini Risiko Jika Anak Ada Diabetes!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

    Otak Lambat Berkembang? Ini Risiko Jika Anak Ada Diabetes!

    Tahukah anda, antara salah satu kesan diabetes jenis 1 terhadap kanak-kanak ialah ia boleh menjejaskan perkembangan otak anak anda. Bagaimana diabetes ini boleh memberi kesan terhadap perkembangan otak kanak-kanak?

    Ini penjelasan lanjut mengenainya yang mungkin ramai ibu bapa tidak tahu. 

    Apa itu diabetes jenis 1?

    Diabetes atau kencing manis boleh dibahagikan kepada tiga jenis atau keadaan; diabetes jenis 1, diabetes jenis 2 dan diabetes gestasi atau diabetes kehamilan.

    Diabetes jenis 1 merupakan sejenis gangguan autoimun yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

    Keadaan ini berlaku apabila sistem imun badan merosakkan sel-sel dalam pankreas yang berperanan menghasilkan insulin.

    Insulin pula merupakan sejenis hormon yang membantu gula (glukosa) dalam darah masuk ke dalam sel-sel badan untuk digunakan sebagai sumber tenaga.

    Apabila glukosa tidak dapat memasuki sel disebabkan kekurangan insulin, ia berkumpul di dalam aliran darah.

    Keadaan inilah yang disebut sebagai hiperglisemia atau paras gula darah menjadi terlalu tinggi. Inilah yang pada akhirnya menyebabkan kanak-kanak mengalami diabetes jenis 1. 

    Perkembangan otak kanak-kanak terjejas kalau ada diabetes jenis 1?

    perkembangan otak kanak-kanak

    Menurut kajian daripada Stanford University School of Medicine, kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 menunjukkan perbezaan yang kecil tetapi penting dalam fungsi otak mereka berbanding anak yang tidak menghidap diabetes.

    Menurut kajian itu lagi, apabila otak kanak-kanak penghidap diabetes ini sedang bekerja, ia menunjukkan satu set corak aktiviti otak yang tidak normal.

    Keadaan ini juga telah banyak dilihat dalam gangguan lain seperti gangguan hiperaktif kekurangan perhatian dan sklerosis berganda.

    Malah, corak aktiviti otak yang tidak normal ini lebih jelas dalam kalangan kanak-kanak yang telah menghidap diabetes lebih lama.

    Ini salah satu bukti yang menunjukkan bahawa, diabetes jenis 1 boleh menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak sehingga menyukarkan mereka untuk belajar.

    Kanak-kanak ini juga berisiko untuk mempunyai isu-isu berkaitan tingkah laku disebabkan keadaan kencing manis ini. 

    Perkembangan otak kanak-kanak jadi lebih perlahan kerana diabetes jenis 1

    perkembangan otak kanak-kanak

    Selain itu, kajian pada tahun 2019 juga menyatakan bahawa, kanak-kanak penghidap diabetes jenis 1 mengalami perkembangan otak yang perlahan, yang berkait rapat dengan penurunan kognitif otak.

    Melalui kajian tersebut, imbasan MRI otak kanak-kanak penghidap diabetes jenis 1 telah dibandingkan dengan kanak-kanak sebaya tanpa penyakit tersebut.

    Penyelidik mendapati bahawa kawasan pertumbuhan otak yang lebih perlahan ini sememangnya berkait rapat dengan paras gula darah mereka yang lebih tinggi.

    Menurut kajian itu lagi, walaupun penemuan ini agak membimbangkan dan perlunya kepada pengurusan gula darah yang lebih baik, kanak-kanak penghidap diabetes ini masih menunjukkan prestasi yang baik sama ada di sekolah mahupun di luar sekolah.

    Dr. Mary Pat Gallagher, Pengarah Pediatric Diabetes Center menyatakan, kanak-kanak ini tidaklah dikelaskan sebagai mereka yang mempunyai gangguan kognitif.

    Akan tetapi, terdapat sedikit perubahan dalam perkembangan otak kanak-kanak penghidap diabetes jenis 1 sehingga boleh memperlahankan tumbesaran otak mereka.

    Selain perkembangan otak kanak-kanak, diabetes jenis 1 juga sebabkan komplikasi ini

    Kajian terbaharu seperti yang dinyatakan di atas ini menunjukkan bahawa, otak kanak-kanak juga mengalami penurunan fungsi kognitif akibat daripada diabetes jenis 1.

    Namun, ia bukanlah satu-satunya kesan yang boleh berlaku. Jika diabetes jenis 1 dalam kalangan kanak-kanak ini tidak dikawal, ia boleh menyebabkan komplikasi lain yang lebih serius.

    Antaranya ialah:

    • Kerosakan saraf: Gula yang berlebihan dalam darah boleh mencederakan dinding salur darah anak anda sehingga mengganggu sistem saraf. Anak anda mungkin akan mengadu berasa kebas, kesemutan atau rasa sensasi terbakar terutama pada hujung anggota badan
    • Kerosakan mata: Diabetes boleh merosakkan salur darah pada mata sehingga merosakkan penglihatan
    • Penyakit jantung: Diabetes juga boleh merisikokan anak anda untuk menghidap penyakit berkaitan jantung seperti salur darah sempit, tekanan darah tinggi dan juga strok
    • Kerosakan buah pinggang: Diabetes semestinya boleh menjejaskan beberapa saluran darah kecil yang berfungsi menapis sisa daripada tubuh badan
    • Tulang reput: Tulang reput atau osteoporosis juga boleh berlaku disebabkan diabetes. Diabetes boleh menyebabkan ketumpatan mineral tulang menjadi lebih rendah daripada paras normal

    perkembangan otak kanak-kanak

    Cara mengawal diabetes jenis 1

    Diabetes jenis 1 sememangnya tidak boleh diubati.

    Namun, ia boleh dikawal untuk mengelakkan komplikasi seperti perkembangan otak anak yang terjejas daripada terus berlaku.

    Untuk memastikan perkembangan otak anak anda kurang terjejas akibat diabetes jenis 1, ikuti tip ini:

    • Pastikan anak anda mengawal paras gula darah mereka dengan baik setiap masa
    • Pastikan mereka mengambil insulin mengikut masa yang telah ditetapkan
    • Terapkan amalan pemakanan yang baik, yang sesuai dengan keadaan diabetes anak anda
    • Pastikan anak terus kekal aktif setiap hari dengan melakukan senaman ringan
    • Bawa anak berjumpa dengan doktor secara berkala bagi memantau keadaan semasanya

    Ingat, peranan anda sebagai ibu bapa amat diperlukan bagi menyokong anak melalui sakit diabetes yang dialami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan