Maka tidak hairanlah NGO terbesar di Malaysia yang berurusan dengan penderaan seksual kanak-kanak, P.S the Children tidak pernah berjaya menyabitkan kesalahan terhadap pesalah laku dalam kes yang dikendalikannya!
Pendefinisian undang-undang yang sempit menyaksikan kepayahan memastikan pesalah laku disabit kesalahan. Dalam sebuah kes melibatkan seorang warga emas di Sarawak berusia 60 tahun yang menyebabkan kehamilan seorang remaja berusia 15 tahun, beliau dibebaskan selepas rayuan kerana tiada kemasukan zakar yang berlaku sekalipun ujian DNA membuktikan bayi tersebut adalah anaknya.
Maka tidak hairanlah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Wan Azizah mengatakan bahawa undang-undang dan masyarakat Malaysia telah gagal melindungi kanak-kanak daripada keadaan seperti malnutrisi mahupun penderaan seksual. Apatah lagi apabila statistik menunjukkan kebanyakan kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak melibatkan orang dewasa terdekat yang dipercayai seperti ahli keluarga dan guru agama.
Hanya pada tahun 2017, pengenalan Akta 792 ( Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017) memasukkan definisi jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan lebih meluas di samping pembentukan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak. Kes yang difailkan akan diselesaikan dalam tempoh satu tahun daripada tarikh ia didaftarkan di mahkamah tersebut.
Walaupun sistem sokongan kepada mangsa pedofilia masih memerlukan pelbagai penambahbaikan, pengenalan akta dan mahkamah baru ini menjadi harapan dalam menangani jenayah pedofilia di Malaysia yang kian berleluasa.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen