backup og meta

Ibu Bapa Terbaik dan Teknik Mengasuh Anak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/06/2020

    Ibu Bapa Terbaik dan Teknik Mengasuh Anak

    Pernah tak anda berdepan situasi di mana anak menangis ketika di pusat beli-belah hanya kerana anda tidak mahu menunaikan kehendaknya? Pernah tak anda berada dalam dilema dan rasa bersalah selepas memarahi anak yang meragam, sedangkan anda sedar bahawa ketika itu sebenarnya anak anda meragam kerana keletihan dan tidak cukup tidur? Apa sebenarnya yang anda mahu tanamkan dalam diri anak anda? Untuk menunjukkan kepadanya siapa yang lebih berkuasa? Atau anda ingin membantu anak anda membesar menjadi individu yang berkeyakinan dan mempercayai diri? Ikuti artikel ini untuk mengetahui bagaimana anda boleh menjadi ibu bapa yang terbaik buat anak-anak anda.

    Prinsip menjadi ibu bapa terbaik

    Siapa kata menjadi ibu bapa terbaik adalah mudah? Malah, definisi ibu bapa yang terbaik itu juga adalah sesuatu yang subjektif. Apa yang terbaik, seperti dari aspek didikan dan pergaulan, untuk anak anda belum tentu merupakan satu kaedah yang terbaik untuk anak individu lain, begitu juga dengan sebaliknya.

    Bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang baik? Apakah ciri-ciri yang harus ada untuk digelar sebagai terbaik? Atau apa yang perlu dielakkan untuk tidak digelar sebagai ibu bapa yang tidak baik?  Secara umumnya, terdapat beberapa sifat dan ciri-ciri yang ditemui pada ibu bapa yang mengamalkan prinsip keibubapaan yang baik.

  • Contoh ikutan
  • Apa yang anda lakukan, sama ada anda sedar atau tidak, akan diperhatikan oleh anak anda. Anak anda adalah cerminan diri anda sendiri. Jika anda gemar untuk memaki hamun, cuba periksa anak anda, bagaimanakah tingkah lakunya bersama rakan dan adik-beradiknya yang lain? Dan bagaimana pula jika anda gemar berterima kasih dan menjaga tutur kata kepada individu lain yang membantu anda? Percayalah anak anda pasti akan menurut jejak langkah anda. Berubahlah jika anda mahukan yang terbaik untuk anak anda. Jadilah individu yang baik untuk menjadi contoh kepada anak.

    1. Sokongan, bukan paksaan

    Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Tetapi memaksa, mengugut atau menghukum anak atas kegagalan yang diperolehi tidak akan membantu. Sebaliknya ia hanya memburukkan keadaan. Anak anda mungkin membesar dengan jiwa yang memberontak. Setiap anak mempunyai kelebihan yang tersendiri, berikan sokongan kepadanya dalam apa juga yang diminatinya dan bantunya untuk mencari kelebihan diri seandainya dia masih meragui keupayaan dirinya. Ketahui apa yang anak anda perlukan dan mahukan, bukan apa yang anda inginkan dan mahukan.

    1. Benarkan anak berdikari

    Menyayangi anak tidak bermakna anda harus mengongkong segala perlakuannya. Ibu bapa yang baik pasti akan menyedari bahawa adalah penting untuk memberikan anak peluang untuk melakukan setiap perkara secara sendiri. Biarkan mereka berdikari, hadapi kesukaran dan merasa puas setelah berjaya melakukannya sendiri. Percayalah, jika sesuatu perkara itu sukar untuk dilakukan sendirian, mereka pasti akan meminta bantuan dari anda, tetapi sebolehnya berikan galakan untuk mereka mencuba terlebih dahulu, mereka pasti akan belajar sesuatu daripadanya.

    1. Jangan memanjakan

    Pernahkah anda menonton filem lakonan Tan Sri P.Ramlee bertajuk ‘Anakku Sazali’? Mengisahkan bagaimana kasih sayang seorang bapa yang keterlaluan akhirnya memakan diri sendiri, di mana anaknya menjadi anak yang besar kepala, sukar untuk ditegur dan segala sifat negatif yang kita pasti kita tidak mahu wujud pada diri anak kita. Tidak salah untuk memanjakan anak, sekali sekala. Tetapi harus punyai batasan. Manjakan anak dengan kasih sayang dan bukan sekadar bersifat material semata.

    1. Akui kesilapan diri

    Pastinya anda sebagai ibu bapa akan mengajar anak untuk meminta maaf jika melakukan kesalahan. Maka, anda juga harus melakukan hal yang sama. Tiada manusia yang sempurna bukan? Dan atas sebab itu tiada ibu bapa yang sempurna. Akui kesilapan anda dan meminta maaf. Anak anda pasti akan belajar daripada apa yang anda lakukan dan akan bertanggungjawab atas segala tindakan mereka.

    Ibu Bapa Terbaik dan Teknik Mengasuh Anak 1

  • Disiplin
  • Ia tidak sama dengan menghukum. Ia bertujuan untuk menjadikan anak anda lebih bertanggungjawab dalam kehidupannya. Sebagai contoh, ajarkan kepadanya bagaimana untuk menghormati masa sendiri dan juga masa individu lain, bagaimana harus menepati janji, bagaimana menjadi individu yang boleh mengikuti peraturan dan undang-undang. Percayalah anak yang tidak dididik dengan disiplin lebih cenderung untuk menjadi individu yang bermasalah pada masa hadapan.

    Misalnya, anda mungkin boleh tetapkan peraturan untuk anak anda yang masih bersekolah dan berusia bawah 12 tahun, untuk pulang ke rumah selepas bermain bersama rakan pada waktu petang sebelum pukul 7 malam. Ia bukan sahaja untuk mendisplinkannya tetapi ia juga berkaitan dengan keselamatan anak. Sebaiknya untuk sebarang peraturan yang anda tetapkan, berikan penerangan kepada anak anda sebab dan kenapa anda lakukan peraturan seperti ini, agar dia akan lebih memahami tujuan peraturan diwujudkan.

    1. Melibatkan diri dalam hidup anak

    Membiarkan anak berdikari tidak bermakna anda boleh melepas tangan. Sebaliknya, ambil tahu apa yang anak anda lakukan, ke mana dia pergi, dengan siapa dia berkawan dan sebagainya. Tetapi jangan mengawal. Berikan anak anda ruang untuk menikmati kehidupannya dalam cara yang masih terkawal dan selagi ia tidak melampaui batasan norma kehidupan.

    Ia sememangnya memerlukan usaha dan masa untuk mengubah keutamaan dalam diri anda. Tetapi sebagai ibu bapa, ini ialah pengorbanan yang anda harus lakukan. Biarkan anak anda mengetahui bahawa anda sentiasa ada untuk mereka sama ada secara fizikal mahupun mental. Tapi jangan tersalah tafsir, melibatkan diri dalam hidup anak tidak bermakna anda harus melakukan tugasan rumah yang diberikan guru sekolah anak anda.

    Untuk merapatkan hubungan anda bersama anak, mungkin anda boleh luangkan masa pada hujung minggu dengan melakukan perkara yang anak anda gemari, atau berkelah di tepi pantai atau mungkin keluar makan malam bersama keluarga dan membeli belah.

    1. Konsisten

    Ada masanya sukar untuk menjadi konsisten bukan? Apatah lagi untuk sesuatu perkara yang bukan rutin harian kita? Walau bagaimanapun, jika anda mahukan anak anda untuk meletakkan baju kotor ke dalam bakul yang disediakan, sebagai contoh situasi, anda juga harus melakukan perkara yang sama. Jangan sepahkan baju kotor di merata tempat, walaupun ia masih di dalam bilik tidur anda. Ingat, anak anda memerhati apa yang anda lakukan. Jika anda inginkan anak anda balik ke rumah sebelum pukul 7 malam, pastikan jika anak anda lewat pulang, anda mendendanya. Tetapi ia bukanlah satu denda untuk menghukum, sebaliknya ia adalah untuk mengingatkan anak anda tentang tanggungjawabnya.

    1. Mendengar dan bercakap

    Jika anak anda ingin meluahkan sesuatu, berikan ruang kepadanya. Jangan memotong atau menghakiminya sehingga dia selesai berkata-kata. Ini kerana jika anda memotong atau mencelah apa yang sedang dikatakannya, ia berkemungkinan akan membuatkan anak anda berhenti untuk meluahkan dan tidak akan memilih untuk berkongsi sebarang masalah dengan anda. Berikan sepenuh perhatian anda. Ketepikan telefon, komputer, televisyen atau apa sahaja yang boleh mengganggu konsentrasi anda bersama anak.

    1. Raikan kejayaan

    Walaupun anak anda mungkin hanya memenangi hadiah sagu hati untuk pertandingan bercerita di sekolahnya, raikanlah, mungkin dengan memberikan dia coklat kegemaran atau aiskrim yang disukainya. Biarkan dia mengetahui anda bangga dengan apa yang dilakukannya. Ketahuilah, ia memerlukan keberanian untuk anak anda tampil di hadapan khalayak umum.

    1. Hormati dan sayangi

    Hormati anak anda sebagaimana anda mahukan diri anda dihormati. Jangan pernah merendah-rendahkan atau memalukan anak anda di hadapan individu lain walaupun anda hanya berniat untuk mengajarnya atau mungkin sekadar bergurau. Kerana tindakan sebegitu cenderung menyebabkan anak anda berasa malu dan akhirnya menyimpan dendam.

    Sentiasa mengucapkan rasa sayang kepadanya sedari kecil kerana ia pasti akan membantu dirinya apabila mengetahui dirinya disayangi anda. Jika anak anda masih kecil, peluklah dan katakan “Mama sayang awak” dengan kerap tanpa mengira masa dan keadaan. Tetapi untuk anak yang sudah meningkat remaja, pastikan situasi terlebih dahulu, pastinya anda tidak mahu menimbulkan situasi yang tidak diingini.

    Apakah jenis gaya asuhan ibu bapa yang wujud?

    Setiap pasangan yang sudah berkahwin pastinya mahukan kehadiran cahaya mata untuk melengkapi hidup mereka. Namun kedatangan zuriat dalam hidup anda adalah bersama dengan pakej tanggungjawab untuk mendidik dan mengasuh. Gagal mengasuh anak dengan baik merupakan antara punca biasa yang menyebabkan berlakunya kegagalan sebuah rumahtangga dan sekali gus menjadi punca kepada anak yang bermasalah disiplin.

    Apabila anak semakin meningkat usia, cara dan gaya keibubapaan juga perlu berubah. Ini adalah untuk membantu menyesuaikan diri anak anda dengan dunia sebenar di sekeliling mereka. Cara didikan dan asuhan yang salah mungkin akan menjadikan anak anda tidak dapat atau sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya.

    Terdapat 3 jenis utama gaya asuhan, iaitu:

    • Autoritarian

    Ibu bapa yang bersikap autoritarian adalah sangat tegas dengan anak dan tidak akan membenarkan sebarang rundingan berlaku antara mereka dengan anak. Mereka tidak akan mendengar sebarang keluhan anak malah lebih cenderung mengawal anak mereka untuk mengikut arahan.

  • Permisif
  • Ibu bapa yang bersikap permisif adalah sangat santai dan jarang menetapkan apa-apa peraturan tegas terhadap anak mereka. Disebabkan ini, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa permisif dibenarkan untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa merisaukan akibat daripada perlakuan mereka itu.

    • Autoritatif

    Ibu bapa yang bersikap autoritatif pula menggabungkan kedua-dua gaya asuhan. Mereka tidak cenderung untuk mengawal dan tidak juga cenderung membenarkan anak mereka melakukan apa-apa sesuka hati. Teknik keibubapaan yang bersikap autoritatif ini akan bersama-sama dengan anak untuk membuat peraturan yang menyenangkan kedua-dua belah pihak.

    Ibu Bapa Terbaik dan Teknik Mengasuh Anak 2

    Fahami jenis keibubapaan autokrasi

    Apabila stail keibubapaan begitu tegar, ia dikenali sebagai autokrasi atau gaya asuhan authoritarian. Ibu bapa autokrasi benar-benar mahukan anaknya menjadi berdisiplin dan mendapat banyak kejayaan. Walau bagaimanapun, dengan cara didikan yang ketat, tidak banyak fleksibiliti dalam gaya keibubapaan ini. Kanak-kanak dijangka untuk memenuhi permintaan ibu bapa authoritarian mereka tanpa sebarang penjelasan. Manfaat daripada jenis keibubapaan ini tidak dapat dinafikan, tetapi kanak-kanak mungkin mengalami kesan buruk. Sebagai contoh, mereka mungkin akan mengalami kurang keyakinan diri.

    Ciri-ciri ibu bapa autokrasi

    Selalunya, kanak-kanak akan menerima persekitaran rumah yang berstruktur daripada ibu bapa autokrasi mereka. Ini adalah peraturan yang jelas yang ibu bapa benar-benar jangkakan, dan kanak-kanak juga dijangka untuk mematuhi peraturan-peraturan tersebut. Teknik keibubapaan jenis ini, yang benar-benar mahu, berasakan bahawa tiada sebarang sebab untuk mereka memberi penjelasan kepada anak. Kanak-kanak juga dijangka patuh pada apa yang disuruh untuk mereka lakukan. Malahan, tiada seorang pun boleh mempersoalkan atau berbalah pada peraturan yang mereka buat. Keibubapaan autokrasi tidak memberikan banyak peluang untuk berkreativiti dan juga menunjukkan perasaan. Kawalan psikologi adalah apa yang teknik keibubapaan jenis ini amalkan.

    Kesan buruk keibubapaan autokrasi

    Ibu Bapa Terbaik dan Teknik Mengasuh Anak 3 - autokrasi

    Sementara keibubapaan authoritarian ini boleh membuatkan kanak-kanak patuh, namun kesan buruknya juga boleh kelihatan pada jangka panjang. Menurut Positive-Parenting-Ally.com, ia adalah cenderung bahawa kanak-kanak yang memiliki ibu bapa yang tegas akan mengalami kurang keyakinan. Kanak-kanak ini akan membesar dengan rasa rendah diri dan pemikiran mereka menjadi tegar. Daripada pelbagai kritikan yang diterima ke atas mereka, mereka mungkin akan mengkritik kelakuan mereka sendiri ataupun orang lain. Mereka juga mungkin akan menjadi rapuh kepada tekanan daripada rakan sekeliling dan mudah dibuli. Selain itu, keintiman emosi juga adalah kemungkinan yang sukar untuk mereka dapati pada kehidupan mereka dan mudah terdedah kepada perhubungan kesat.

    Perlukah mengamalkan teknik keibubapaan yang tegas?

    Setiap kanak-kanak pasti tidak mahu ibu bapa mereka bersifat tegas. Walau bagaimanapun, mengamalkan teknik atau gaya keibubapaan tegas sebenarnya akan mendatangkan kelebihan apabila mereka dewasa kelak. Ini kerana ibu bapa yang tegas cenderung mempunyai piawaian dan jangkaan yang tinggi ketika mendidik anak mereka. Disebabkan itu, ia akan membantu anak mereka untuk berkembang sebagai modal insan yang akan berjaya di kemudian hari.

    Kelebihan menjadi ibu bapa tegas:

    • Pencapaian akademik

    Kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang tegas cenderung menjadi model kepada kanak-kanak lain kerana pencapaian akademik mereka yang sering cemerlang. Ini kemungkinan berlaku disebabkan oleh persekitaran kanak-kanak ini yang perlu mencapai piawaian ibu bapa mereka yang tinggi. Selain itu, mereka juga lebih cemerlang kerana disiplin diri tinggi yang sudah tertanam dalam diri seawal usia lagi. Bagi kanak-kanak ini, belajar bersungguh-sungguh adalah suatu kewajipan.

    Pelbagai kajian juga telah membuktikan bahawa perkara ini adalah benar belaka dan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang tegas lebih cemerlang dalam akademik mereka.

    • Keyakinan diri

    Ibu bapa yang tegas akan mengajar anak mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap setiap kelakuan mereka. Disebabkan itu, kanak-kanak yang sedang membesar akan mula memahami kerja keras akan membuahkan hasil yang setimpal, sesuai dengan piawaian ibu bapa mereka. Pada masa yang sama, mereka juga mampu untuk belajar kebolehan untuk menilai situasi sebelum membuat keputusan. Ibu bapa yang tegas akan sentiasa mendorong anak mereka untuk menjadi versi diri mereka yang terbaik. Ini akan menjadi punca utama anak mereka tidak takut akan cabaran serta kuat pada mental.

    • Kawalan diri

    Kanak-kanak akan belajar mengawal kelakuan sejak mereka kecil lagi jika mereka mempunyai ibu bapa yang tegas yang selalu menetapkan peraturan. Ibu bapa yang tegas juga akan mengenakan hukuman kepada anak mereka yang melakukan kesalahan. Disebabkan itu, anak mereka mampu mengawal diri ketika berusia kanak-kanak lagi. Karakteristik ini akan menjadikan mereka lebih cepat matang.

    • Berdikari dan bertanggungjawab

    Paling penting, kanak-kanak dengan gaya asuhan keibubapaan yang tegas adalah lebih berdikari berbanding kanak-kanak lain. Ini disebabkan oleh mereka perlu bertanggungjawab dengan tindakan mereka sejak awal usia lagi. Ini juga menyebabkan mereka lebih mudah berkompromi apabila berlaku konflik dengan rakan-rakan mereka. Apabila kanak-kanak ini sudah cukup dewasa kelak, mereka akan cenderung untuk hidup berasingan daripada ibu bapa mereka lalu menyebabkan mereka lebih menghargai kehidupan sekali gus menjamin kejayaan mereka pada masa hadapan.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 18/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan