Penderaan kanak-kanak bukan lagi fenomena baru. Malah ia berlaku di seluruh dunia. Impak penderaan kanak-kanak bukan sekadar hanya pada fizikal, tetapi turut melibatkan emosi dan mental mereka.
Jom ketahui dengan lebih lanjut mengenainya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Definisi ‘dera’ anak kecil menurut WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan penderaan kanak-kanak sebagai semua bentuk penderaan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada kesihatan, kehidupan, pembangunan atau kemuliaan kanak-kanak.
Ia boleh dilakukan oleh mereka yang bertanggungjawab, amanah atau kuasa ke atas kanak-kanak, seperti:
- Fizikal
- Emosi
- Seksual
- Pengabaian
- Penyalahgunaan
- Penipuan
- Eksploitasi
Kadang-kadang kita perlu membezakan antara penyalahgunaan dan hak ibu bapa kepada disiplin anak.
Ibu bapa mempunyai hak untuk mendisiplinkan anak mereka selagi dilakukan dengan cara yang munasabah dan sederhana dan tidak merupakan kekejaman.
Impak Penderaan Kanak-kanak
Sebenarnya, pengabaian dan penderaan si kecil mungkin akan memberikan kesan signifikan ke atas tahap kesihatan mereka pada masa lalu, sekarang dan masa depan.
Di samping itu, penganiayaan yang dilakukan boleh menyebabkan pelbagai kesan terhadap perkembangan, psikologi dan fizikal kepada kanak-kanak.
Impak penderaan kanak-kanak pada tumbesaran
Pendedahan berulang kepada peristiwa yang memberikan tekanan boleh mendatangkan kesan kepada tindak balas tekanan otak, menjadikannya tidak aktif dan kurang penyesuaian diri.
Penyelidikan juga mendapati terdapat hubung kait antara impak penderaan kanak-kanak dengan masalah kesihatan pada masa depan, seperti:
- Perkembangan otak yang tidak sesuai
- Ketidakseimbangan antara kemahiran sosial, emosi dan kognitif
- Kecacatan bahasa tertentu
- Kesukaran dalam penglihatan, pendengaran dan perkataan
- Berisiko untuk hadapi masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kanser, jangkitan paru-paru kronik, penyakit hati, obesiti, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan tahap protein C-reaktif yang tinggi
- Merokok, penyalahgunaan alkohol dan dadah
Impak penderaan kanak-kanak pada mental
Kanak-kanak yang menderita akibat penganiayaan cenderung untuk menjadi kurang berkeyakinan dan tidak percaya kepada individu dewasa.
Ia juga boleh membawa kepada kegelisahan kronik dan kemurungan.
Beberapa kesan yang mungkin berlaku adalah:
- Kegelisahan
- Gemar menyendiri
- Kesukaran untuk fokus
- Kesukaran untuk tidur
- Gangguan pemakanan
- Tidak selesa dengan sentuhan fizikal
- Gemar mencederakan diri sendiri
- Percubaan untuk membunuh diri
Impak penderaan kanak-kanak pada fizikal
Kewujudan satu tanda penderaan fizikal tidak semestinya bermaksud mereka menderita akibat kesakitan tubuh badan.
Tetapi, mengetahui tentang tanda penderaan itu mungkin boleh menjadi petunjuk untuk melihatnya dengan lebih teliti.
Beberapa tanda penderaan fizikal dapat dilihat dalam senarai di bawah:
- Lebam, bengkak
- Terseliuh
- Terbakar
- Kesukaran untuk duduk atau berjalan
- Kesakitan, lebam atau pendarahan pada bahagian sulit
- Penyakit kelamin
- Masalah kebersihan diri
Tanda penderaan tidak selalu jelas kelihatan, dan mereka mungkin tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang berlaku kepada mereka.
Ini mungkin disebabkan rasa takut seandainya pendera mengetahui tentang itu dan takut penderaan akan menjadi semakin teruk.
Mereka mungkin merasakan tiada sesiapa yang boleh mereka luahkan atau mereka mungkin dianggap menipu. Ada masanya mereka tidak menyedari apa yang berlaku itu adalah penderaan.
Oleh kerana itu, kesan daripada penderaan dan pengabaian boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa dan masyarakat di sekeliling mereka.
Sindrom goncang bayi yang sangat berbahaya!
Jika anak anda masih bayi, ketahui tanda-tanda Sindrom Goncang Bayi (SBS), iaitu keadaan di mana bayi digoncang dalam keadaan marah.
Dalam kes yang lebih teruk, penderaan melibatkan kepala bayi dipukul atau dihentak menggunakan objek keras seperti di dinding atau di lantai.
Bayi yang mengalami SBS, walaupun parah, kadangkala kesannya tidak boleh dilihat segera.
Kecederaan goncang bayi selalunya berlaku pada bayi usia setahun ke bawah, dan adakalanya sindrom ini berlaku pada kanak-kanak sehingga usia 5 tahun.
Bayi yang mengalami SBS mungkin mengalami mata berkaca, tubuhnya kelihatan mengeras, lemah dan meragam.
Selain itu, bayi SBS juga akan kehilangan selera makan, mengalami kesukaran untuk makan, atau muntah.
Dalam kes yang teruk, bayi anda mungkin tidak boleh fokus pada objek atau mengangkat kepala. Dan, bayi juga boleh jadi tidak sedarkan diri, sukar untuk bernafas, mengalami sawan ataupun mungkin mendapat koma.
Jika anda mengesyaki si kecil anda mengalami SBS, segera bawa anak anda ke hospital untuk rawatan. Langkah segera anda dapat membantu menyelamatkan si kecil.
Dalam pada itu, cari juga cara mengatasi penderaan kanak-kanak untuk mengelakkan ia berlaku kepada anak anda atau mereka yang tinggal di sekeliling!