Penyakit jantung. Kemurungan. Obesiti. Diabetes. Keadaan ini mungkin mempunyai satu faktor mengejutkan yang sama: pengalaman buruk zaman kanak-kanak. Demikianlah dapatan daripada kajian besar yang dikenali sebagai “Adverse Childhood Experiences“, atau ACEs yang menunjukkan kaitan penderaan kanak-kanak kepada risiko kesihatan apabila dewasa.
Berdasarkan kajian, pendedahan kepada trauma zaman kanak-kanak meningkatkan risiko kepada tujuh daripada 10 penyebab utama kematian di Amerika Syarikat. Pendedahan yang tinggi mempengaruhi perkembangan otak, sistem kekebalan tubuh, sistem hormon, dan juga cara DNA dibaca dan ditranskripsikan. Mereka yang terdedah kepada trauma zaman kanak-kanak yang sangat tinggi mempunyai tiga kali ganda risiko penyakit jantung dan kanser paru-paru dan perbezaan jangka hayat 20 tahun berbanding mereka yang tidak.
Memahami trauma zaman kanak-kanak
Menurut Dr Bessel A Van Der Kolk, penyelidik bidang posttraumatic stress disorder, antara isu utama dalam penderaan kanak-kanak dalam keluarga, sama ada kanak-kanak yang dipukul atau dicabul adalah isu kerahsiaan. Kekurangan bahasa untuk menyampaikan peristiwa di mana orang yang sepatutnya menyayangi bertukar menjadi pemangsa sering berlaku. Oleh itu, salah satu pergelutan yaang dihadapi oleh mangsa adalah kesukaran untuk mencari bahasa untuk membicarakannya. Sesetengah pesakit juga mungkin meragui pengalaman penderaan seksual kerana mereka tidak dapat mencari kata untuk menerangkan apa yang berlaku kepada diri mereka.