Prasekolah & Pembangunan Sosial Kanak-kanak

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 17/06/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Prasekolah merupakan satu bentuk pendidikan awal kanak-kanak. Pun begitu, masih ada ibu bapa yang masih beranggapan bahawa prasekolah ini adalah remeh dan tidak penting buat anak mereka. Ada juga ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak mereka untuk mendapatkan pendidikan prasekolah. Apakah puncanya?

Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang percaya bahawa pendidikan awal kanak-kanak bukan bermula daripada prasekolah tetapi ia sebenarnya bermula seawal usia lagi sesuai dengan kata pepatah melentur buluh biar dari rebungnya. Ya, ada benarnya juga penyataan ini tetapi adakah prasekolah itu adalah program yang memudaratkan?

Ketika seseorang itu sedang berada pada zaman kanak-kanak, mereka sebenarnya sedang melalui proses perkembangan dari aspek fizikal, mental dan sosial mereka. Ia adalah satu proses yang sangat penting dan tidak akan berlaku secara sama sahaja terhadap semua kanak-kanak. Ia sangat bergantung kepada pendidikan awal kanak-kanak itu sendiri.

Oleh itu, pendidikan awal kanak-kanak adalah sangat penting buat mereka. Dan ini pula semuanya akan merujuk kepada pendidikan awal kanak-kanak yang bermula di prasekolah. Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apa itu prasekolah?

Sebelum itu, ibu bapa perlu tahu terlebih dahulu mengenai prasekolah. Secara umumnya, prasekolah adalah program pendidikan awal kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun. Ia juga mempunyai nama lain iaitu TADIKA dan TABIKA. Tempoh pengajaran dan pembelajaran kedua-duanya adalah sama iaitu lima hari seminggu dan tidak kurang daripada tiga jam sehari.

  • TADIKA atau Taman Didikan Kanak-kanak merupakan operasi yang berpandukan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan.
  • TABIKA atau Taman Bimbingan Kanak-kanak pula merupakan operasi yang berpandukan kepada konsep ‘Belajar Melalui Bermain’ dan telah diselaraskan dengan sifat semula jadi kanak-kanak iaitu gemar bermain, berperasaan ingin tahu dan suka mencuba sesuatu yang baharu.

Kedua-dua program ini sangat mementingkan penguasaan kanak-kanak terhadap kemahiran 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Objektif prasekolah

  • Menggalakkan perkembangan sosial, emosi, fizikal, intelek dan rohani (SEFIR) kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan dan interaksi.
  • Menyediakan dan mengembangkan kemahiran asas 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul) sebagai persediaan ke alam persekolahan.
  • Meluaskan pengalaman, peluang belajar dan mengembangkan potensi individu melalui pengajaran dan pembelajaran yang terancang, sesuai dengan peringkat umur, kemampuan, kebolehan dan minat.
  • Membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik.
  • Memupuk dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, kreatif dan mengembangkan sifat ingin tahu.
  • Menggalakkan kecerdasan dan kemahiran fizikal serta amalan kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang baik melalui makanan tambahan yang seimbang, aktiviti fizikal dan rutin harian.

Berdasarkan objektif-objektif prasekolah ini, adakah anda masih ragu-ragu akan kepentingannya terhadap anak anda?

Untuk pengetahuan anda sebagai ibu bapa, prasekolah bukan sahaja akan membantu membentuk pembangunan fizikal dan mental anak anda malahan juga akan membantu membentuk pembangunan sosial mereka.

prasekolah

Prasekolah & pembangunan sosial kanak-kanak

Sebenarnya, prasekolah sangat membantu dalam membentuk pembangunan sosial kanak-kanak. Ketika ini, mereka memerlukan rakan-rakan sebaya untuk mereka mengenali diri sendiri dengan lebih baik. Dan apakah tempat yang paling sesuai buat mereka yang sedang berusia empat hingga enam tahun berbanding prasekolah?

Kanak-kanak ketika ini akan menjadi kurang egois dan lebih suka untuk bergaul dengan individu lain. Mereka juga menjadi kurang bergantung kepada anda dan mula belajar bagaimana untuk berkongsi dan berinteraksi dengan orang lain. Ini akan terjadi buat setiap kanak-kanak yang normal cuma mungkin sedikit berbeza mengikut individu.

Ibu bapa perlu mengetahui lebih lanjut mengenai apa yang berlaku semasa perkembangan sosial anak-anak mereka bagi membantu mereka berkembang dan membesar dengan lebih baik.

  • Permainan fantasi

Ketika dalam usia prasekolah, kanak-kanak akan bermain antara satu sama lain dan bukan bersebelahan antara satu sama lain. Mereka sebenarnya terlibat dalam aktiviti-aktiviti dengan kanak-kanak lain. Kaedah permainan mereka lebih tertumpu kepada olok-olok daripada bermain permainan secara betul-betul.

Kanak-kanak akan cuba memainkan peranan orang dewasa dengan bermain permainan olok-olok seperti membeli-belah di kedai runcit atau pergi ke balai polis. Aktiviti ini menarik buat mereka. Dengan meniru tindakan orang dewasa, kanak-kanak belajar bagaimana untuk membantu antara satu sama lain, bekerjasama, dan menjadi prihatin.

  • Penerokaan jantina

Semasa permainan lakon peranan ini, anda juga akan melihat anak anda mula mengenali jantinanya sendiri. Contohnya, kanak-kanak lelaki di prasekolah mungkin mengambil peranan ayah manakala kanak-kanak perempuan boleh mengambil peranan ibu ketika sedang bermain.

Pada usia ini, anak anda juga mungkin kagum dengan bapanya, adik-beradik lelaki, atau kanak-kanak lelaki lain di kawasan kejiranan, manakala anak perempuan anda akan tertarik pada ibunya, kakak atau adik perempuan, dan kanak-kanak perempuan lain.

Menurut penyelidikan, hanya beberapa perbezaan perkembangan dan tingkah laku yang membantu membezakan kanak-kanak lelaki dari perempuan ditentukan secara biologi. Sementara itu, kebanyakan ciri-ciri berkaitan jantina pada usia ini lebih cenderung dibentuk oleh pengaruh dari keluarga dan masyarakat.

Walaupun keluarga anda adalah satu persamaan jantina dengan ibu dan bapa yang berkongsi tanggungjawab yang sama, anak anda dapat melihat perbezaan di kalangan jiran-jiran atau ibu bapa kawan mereka. Kanak-kanak juga boleh mengakui kelulusan atau penolakan terhadap ciri atau tindakan tertentu yang sesuai atau tidak sesuai untuk jantina mereka. Hasilnya, identiti jantina kanak-kanak sudah menjadi mantap.

  • Hubungan rakan sebaya

Di sekolah, anak anda mungkin lebih memilih persahabatan rakan-rakan mereka daripada anda. Ini adalah petanda yang baik dan anda harus menggalakkan persahabatan ini. Anak anda juga mula belajar norma sosial – apa yang betul dan apa yang salah dalam persahabatan.

  • Berubah menjadi anak yang mencabar

Perubahan mendadak dalam tingkah laku anak anda boleh berlaku. Dia boleh mendesak untuk mempunyai sesuatu pada apa-apa kos atau melawan anda apabila anda mengadu tentang sesuatu yang dia buat itu salah. Tetap tenang dan bertindak balas dengan betul kerana anak anda juga sangat sensitif dari segi emosinya pada usia ini.

  • Pergi ke sekolah

Sekolah adalah pengalaman pertama untuk anak anda menghabiskan masa dengan banyak orang. Anak anda sekarang perlu berkongsi dan membantu orang lain. Dengan mengambil bahagian dalam aktiviti di sekolah, yang direka khas untuk usia ini, anak anda boleh mengembangkan kemahiran sosial mereka.

Sekiranya anak anda belum dewasa untuk memasuki prasekolah, beri peluang kepada mereka untuk bermain dengan rakan-rakan lain seperti bermain di taman permainan dengan kanak-kanak lain.

Ternyatalah prasekolah sebenarnya merupakan tempat yang paling sesuai untuk seorang kanak-kanak mendidik dan melatih dirinya sendiri mengenai pembangunan sosial mereka. Jadi, anda setuju bahawa prasekolah adalah tempat yang sangat penting buat si comel anda, bukan?

prasekolah

Tip pemilihan prasekolah

Selain pembangunan sosial, pembangunan fizikal dan mental juga sangat penting buat kanak-kanak, begitu juga dengan aspek pendidikan. Disebabkan itu, apakah yang perlu anda ketahui terlebih dahulu sebelum memilih sesuatu prasekolah untuk anak anda pergi?

Pemilihan prasekolah yang bersesuaian dengan anak anda mungkin suatu keputusan yang besar terutamanya bagi ibu bapa baharu. Dengan pelbagai lambakan tadika yang tersedia, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana untuk memilih tadika yang sesuai untuk anak anda.

Sebelum menghantar anak anda ke prasekolah yang telah terpilih, ikuti senarai semak yang mudah tetapi berguna berikut:

Keadaan prasekolah

#1. Keadaan fizikal

Pertama sekali, anda sebagai ibu bapa perlu lawat dan perhatikan keadaan persekitaran dan fasiliti prasekolah tersebut. Anda harus pastikan ia berfungsi dengan baik tanpa kelihatan sebarang kerosakan yang ketara.

Adakah ruang belajar anak anda cukup luas dan selesa? Adakah tandas bersih dan berfungsi dengan baik? Adakah pagar sekolah dalam keadaaan baik? Soalan-soalan seperti ini patut anda ambil kira dalam memastikan persekitaran yang kondusif untuk anak anda.

#2. Kebersihan

Keadaan prasekolah yang tidak terjaga bukan sahaja membuatkan anak anda tidak seronok bermain dan belajar, bahkan boleh menjejaskan kesihatan anak anda. Lebih-lebih lagi dengan masalah penyakit berjangkit seperti penyakit tangan kaki dan mulut yang mudah tersebar di pusat penjagaan kanak-kanak, anda juga perlu memerhatikan penjagaan kebersihan para penjaga atau guru di tadika tersebut.

Sekiranya mereka kelihatan tidak peduli dengan kebersihan kanak-kanak di bawah jagaan mereka, besar kemungkinan langkah pencegahan terhadap penyakit berjangkit tidak dilaksanakan dengan baik.

#3. Keselamatan

Konsep keselamatan juga perlu diambil kira kerana anda meletakkan anak anda dalam tanggungjawab pengurusan prasekolah. Lihat jika terdapat peralatan patah yang mungkin berbahaya dan apa langkah perlindungan terhadap penceroboh yang dimiliki pengelolanya. Soalan utama yang harus ditanya ibu bapa ialah apakah saya akan selesa meninggalkan anak saya di sini?

Interaksi dan hubungan

#1. Bagaimanakah kakitangan berinteraksi dengan anak-anak?

Ibu bapa perlu bertanya pengurusan prasekolah tentang nisbah guru dan murid di situ. Perhatikan juga cara guru berinteraksi dengan kanak-kanak. Adakah mereka bercakap mata ke mata dengan kanak-kanak tersebut atau sentiasa mengarah sambil berdiri menghadapi kanak-kanak.

Cari tanda-tanda disiplin yang positif, seperti membetulkan tingkah laku salah atau menggalakkan tingkah laku yang sesuai. Sekiranya anda melihat kanak-kanak yang sedang bersedih, adakah mereka dipujuk atau dibiarkan bersendirian? Lebih teruk lagi, adakah mereka dipulaukan?

#2. Interaksi sosial dan aktiviti kanak-kanak

Kanak-kanak cenderung mengingati pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dengan rakan sebaya. Mereka juga dapat mengembangkan kemahiran bahasa dan perbendaharaan kata melalui interaksi dengan orang lain. Perhatikan interaksi sosial yang sihat pada kanak-kanak di prasekolah tersebut. Mendengar mereka berbual dan tertawa serta melihat aktiviti yang mereka lakukan boleh membantu anda membuat keputusan.

Adakah anda selesa jika anak anda dipaksa duduk di meja untuk tempoh masa yang lama? Adakah anda sendiri mahu bermain di taman permainan mereka? Pengalaman prasekolah membentuk persepsi kanak-kanak tentang sekolah, dan pada usia muda ini, mereka sepatutnya lebih banyak bermain dan berseronok.

#3. Konsep pembelajaran dan pengisian

Terdapat pelbagai konsep pembelajaran di prasekolah masa kini. Pengisian agama, gaya montessori, konsep bermain dan pelbagai lagi. Pilih yang bersesuai dengan kehendak anda. Selain itu, ketahui bagaimana prasekolah anak anda menilai perkembangan pelajar mereka. Adakah tumpuan hanya kepada kemajuan akademik sahaja; atau adakah pertumbuhan sosial, mental dan kemahiran fizikal turut diambil kira?

Berdasarkan tip-tip berikut, diharapkan pihak ibu bapa dapat mempertimbangkan pemilihan tempat prasekolah anak agar dapat mencari pilihan yang terbaik buat anak anda. Selain itu, adakah terdapat sebarang perkara lain yang perlu dipertimbangkan ketika mencari prasekolah yang terbaik?

prasekolah

Prasekolah & muzik

Ya, sebenarnya terdapat banyak lagi perkara yang akan mempengaruhi pemilihannya. Antara contohnya adalah ibu bapa boleh lihat sama ada prasekolah tersebut menggunakan muzik sebagai salah satu bahan atau cara untuk mengajar anak anda.

Kanak-kanak di usia prasekolah biasanya sudah mula meminati muzik dan mempunyai lagu kegemaran mereka sendiri. Ini juga boleh berlaku dengan adanya sokongan daripada ibu bapa yang sering mendengar muzik sepanjang berada di dalam kereta atau rumah.

Namun begitu, tahukah anda bahawa usia kanak-kanak prasekolah juga adalah umur yang ideal untuk anda mengembangkan kemampuan dan minatnya terhadap muzik?

#1. Biasakan anak anda mendengar muzik

Kanak-kanak yang membesar dengan mendengar muzik, menyanyi dan menari mengikut rentak muzik mungkin akan mempunyai pelbagai citarasa, bauan, tekstur, warna dan bunyi. Pengalaman muzikal adalah cara yang berkesan untuk membantu mencipta lorong, juga dipanggil sambungan urat saraf. Mendengar muzik adalah kunci untuk mencipta sambungan. Penglibatan aktif kanak-kanak dalam muzik boleh membuatkan sambungan saraf yang kuat.

#2. Terapkan anak anda merasai dan menjiwai muzik

Berikut terdapat beberapa cadangan untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada muzik:

  • Menyanyi sambil menari di dalam kereta, ataupun semasa anda melakukan kerja-kerja rumah dan semasa anak bermain. Gunakan instrumen muzik yang mudah untuk kanak-kanak dapati. Anda juga boleh membeli mainan muzik yang mesra kanak-kanak dan letakkannya di dalam bilik anak anda.
  • Pastikan anak anda diberikan peluang untuk menyanyi dan bermain alat muzik ringkas, bergoyang mengikut muzik dan mencipta muzik. Anda boleh bertanyakan kepada guru mereka lagu yang sering dimainkan di kelas supaya anda juga boleh turut menyanyi dan menari bersama anak di rumah.
  • Galakkan anak anda untuk menyertai kelas muzik di prasekolah.
  • Bawa anak anda ke persembahan muzik ‘live’, terutama yang dibuat untuk kanak-kanak prasekolah. Dan, selepas menyaksikan konsert bersama-sama, rangsang anak anda untuk melakukan persembahan untuk anda sekeluarga di rumah.

#3. Menyanyi dan menari bersama ibu bapa

Cara paling mudah yang anda boleh lakukan adalah dengan memasang muzik sambil menyanyi dan menari bersama dengan anak anda. Gerakkan tubuh badan anda mengikut irama dan tempo muzik. Berlatih ‘meniru gaya artis’ dengan meminta anak anda meniru pergerakan dan suara artis kemudian biarkan anak anda mengetuai tarian dan nyanyian untuk anda ikuti.

Pengalaman muzikal boleh menjadi lebih visual melalui pergerakan dan beberapa alatan. Dengan menggabungkan muzik dan pergerakan dapat membantu kanak-kanak belajar untuk menguruskan tubuh dan suara mereka. Belajar kawalan fizikal adalah langkah pergerakan penting dan boleh merangsang kemahiran penumpuan dan kawalan kendiri di kemudian hari.

#4. Berlatih menggunakan instrumen

Jika terdapat instrumen muzik di rumah, anda mungkin boleh menyuruh anak mula bermain bagi mencipta mood mereka. Anda boleh menggalakkan anak anda dengan cara memainkan muzik yang sesuai untuk anak anda ikuti. Corak latihan – menggunakan instrumen ritma atau tangan anda, dan ciptakan corak berirama pendek.

Konklusi

Konklusinya, prasekolah sememangnya merupakan satu tempoh yang penting buat anak anda. Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya memandang remeh akan ia dan tidak mahu menghantar si comel anda ke situ kerana tidak mempercayainya. Seharusnya, kenali dan ketahui terlebih dahulu akan kepentingan dan kebaikan prasekolah sebelum anda bulat-bulat menolaknya.

Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu ibu bapa memilih prasekolah yang terbaik buat anak anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Rawatan Dan Pencegahan Untuk Kanser Perut, Jangan Terleka Dengan Pemakanan Yang Tak Sihat

    Ada pelbagai cara untuk merawat atau menghilangkan sakit akibat kanser perut. Selalunya, rawatan yang sering digunakan ialah terapi dan pembedahan.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 6 minit bacaan

    Ada 19 Faktor Risiko Yang Boleh Menyebabkan Kanser Perut, Ubah Gaya Pemakanan Anda Sekarang!

    Anda selalu sakit pada bahagian perut? Mungkin punca dan penyebab rasa sakit perut yang anda alami mungkin disebabkan oleh kanser perut!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 5 minit bacaan

    Usah Risau Jika Anda Didiagnosis Dengan Kanser Perut, Ini Semua Pemeriksaan Yang Boleh Dibuat

    Doktor akan melakukan pemeriksaan atau ujian pada kawasan perut untuk mengesan kehadiran kanser. Artikel ini akan mengupas rawatan kanser dengan lengkap.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 5 minit bacaan

    Alami Sakit Perut Keterlaluan? Kenali 11 Simptom Kanser Perut Yang Mungkin Terlepas Pandang

    Kanser perut mempunyai pelbagai tanda dan simptom yang anda perlu ketahui. Salah satu simptomnya ialah sakit perut yang berpanjangan.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Kanser Perut, Kanser 21/10/2020 . 5 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    hari polio sedunia

    Malaysia Pernah Jadi Negara Bebas Polio, Tapi Jangan Anggap Kita Sudah Selamat, Wajib Ambil Vaksin!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 3 minit bacaan
    bahan masakan

    Nak Makanan Sedap Tapi Perlu Kawal Gula, Lemak? Pesakit Diabetes Boleh Guna 13 Bahan Ini

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 3 minit bacaan
    nasi konjac

    Ingin Cepat Kurus Dengan Cara Yang Sihat? Gantikan Nasi Dengan Konjac Bermula Hari Ini!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 22/10/2020 . 3 minit bacaan
    tumbuh jambang

    Lelaki Kurang Jantan Jika Tiada Janggut, Benarkah Ada Kaitan Dengan Hormon Testosteron?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Diterbitkan pada 21/10/2020 . 3 minit bacaan