Golongan remaja mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya. Ada pengaruh yang bersifat positif dan negatif. Ibu ayah, ini cara ingin atasinya!
Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group
Golongan remaja mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya. Ada pengaruh yang bersifat positif dan negatif. Ibu ayah, ini cara ingin atasinya!
“Farid, cuba hisap rokok ni, sedap,” kata rakan Farid di sekolah. Sedar akan bahaya rokok, jadi, Farid menolak ‘pelawaan’ rakannya itu.
Tidak mahu menerima tolakan tersebut, rakan Farid terus memujuknya lalu berkata, “Cubalah sekali, kami semua hisap rokok. Tak cool lah kalau kau tak hisap.”
Kini Farid mulai rasa tekanannya; sama ada ingin kekal dengan prinsipnya ataupun mengikut kata rakannya itu.
Situasi di atas merupakan contoh tekanan dan pengaruh rakan sebaya dalam kalangan remaja.
Adakah ibu ayah juga pernah berada di dalam situasi seperti Farid terutamanya ketika berada di bangku sekolah?
Jika anda pernah melalui perkara seperti ini, tidak mustahil anak-anak anda turut akan melaluinya.
Pengaruh rakan sebaya adalah ketika anda memilih untuk melakukan sesuatu yang tidak akan anda lakukan atau sukai.
Namun, kerana anda ingin merasa diterima dan dihargai oleh rakan anda, maka anda sanggup melakukannya.
Anda mungkin mendengar istilah ‘tekanan rakan sebaya’ banyak digunakan tetapi pengaruh rakan sebaya adalah cara yang lebih baik untuk menggambarkan bagaimana tingkah laku remaja dibentuk di sekeliling rakan-rakan mereka.
Tekanan dan pengaruh rakan sebaya sebenarnya boleh menjadi perkara yang positif.
Sebagai contoh, anak anda mungkin terpengaruh untuk rajin belajar kerana ingin berlumba dengan rakan-rakan sekelilingnya yang juga kuat belajar.
Pengaruh positif daripada rakan boleh menggalakkan mereka menjadi lebih baik, menjadi contoh yang baik dan mendedahkan diri kepada perkara yang positif.
Tetapi ia juga boleh menjadi negatif.
Segelintir remaja mungkin memilih untuk mencuba perkara yang biasanya tidak mereka minati namun terpaksa dilakukan kerana tekanan rakan, seperti merokok atau berkelakuan sosial.
Mengatasi pengaruh negatif rakan sebaya dalam golongan remaja adalah mengenai keseimbangan antara menjadi diri sendiri dan menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sekeliling.
Berikut adalah beberapa cara untuk membantu anak anda melakukannya.
Nasihatkan anak anda bahawa dadah, mencuri, atau berlumba basikal secara haram adalah salah dan memudaratkan.
Bermain futsal pada lewat malam masih boleh diterima, ini kerana anak anda harus tahu apa yang betul dan salah, serta akibatnya, walaupun ia nampak cool.
Ini akan membantunya berpegang kepada prinsip, teguh integriti dan tidak mudah untuk terpengaruh dengan rakan sekeliling.
Anda boleh membina harga diri dan keyakinan anak anda dengan mendorongnya untuk mencuba perkara baru yang mampu menaikkan keyakinan diri mereka.
Selain itu, ibu bapa juga boleh menjadi teladan dalam perkara ini, dan tunjukkan kepada anak anda bagaimana untuk bertindak yakin sebagai langkah pertama membina keyakinan diri remaja.
Amalkan juga untuk memuji anak anda atas usahanya jika berkelakuan baik, ini bagi menaikkan lagi keyakinan diri anak sekali gus membantunya membina harga diri.
Cuba amalkan konsep open communication bersama anak-anak bagi memudahkan anda untuk berhubung dengan mereka.
Ini dapat membantunya berasa lebih selesa untuk bercakap dengan anda jika dia terganggu untuk melakukan sesuatu yang tidak disukainya.
Beritahu anak anda, katakan ‘tidak’ juga bagus dalam tindakan mengawal diri daripada pengaruh rakan sebaya.
Jika dia rasa tidak selesa, dia harus belajar untuk menjelaskan dengan tenang kenapa dia tidak berminat untuk melakukan sesuatu perkara itu.
Tekankan pada anak remaja bahawa tiada orang yang boleh memaksanya melakukan perkara yang tidak disukainya.
Kanak-kanak dan golongan remaja berisiko mendapat tekanan serta pengaruh rakan sebaya yang negatif.
Anak-anak ini mungkin merasakan bahawa satu-satunya cara mereka dimasukkan dan diterima dalam kumpulan sosial adalah dengan mengikut cara dan perbuatan rakan mereka.
Oleh itu, amat penting untuk anda mengamalkan tip dalam artikel ini agar keselamatan dan kesejahteraan anak remaja anda dapat dipelihara.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen