backup og meta

Persaingan Adik-Beradik: Apakah Punca dan Cara Mengendalikannya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 08/10/2020

    Persaingan Adik-Beradik: Apakah Punca dan Cara Mengendalikannya?

    Siapa yang tidak mahukan keluarga yang besar? Sudah menjadi lumrah ibu bapa untuk memiliki anak yang ramai agar kemeriahan sebuah keluarga dapat dirasai. Namun begitu, timbul satu persoalan daripada penyataan itu iaitu adakah anak anda turut mempunyai pemikiran sama seperti anda atau sebaliknya? Adakah hubungan adik beradik boleh menjadi rapat atau sebaliknya?

    Hakikat memiliki seorang abang, kakak atau adik sebenarnya sangat menyeronokkan. Ini kerana anak anda sudah mempunyai kawan secara semulajadi. Hubungan biologi mereka akan menyebabkan keakraban yang lebih lagi dan sebarang pergaduhan yang mungkin terjadi tidak akan berpanjangan.

    Namun demikian, sudah menjadi lumrah adik-beradik akan bersaing untuk mendapatkan sesuatu dan ini merupakan sesuatu yang perlu diberi perhatian yang lebih oleh ibu bapa. Ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan punca-punca persaingan hubungan adik-beradik dan langkah-langkah mengatasinya.

    Punca-punca hubungan adik beradik bersaing:

    hubungan adik beradik

    1. Tidak lagi istimewa

    Sebelum lahirnya seorang adik, anak pertama anda akan berasa istimewa kerana mereka merupakan satu-satunya punca kebahagian dan keseronokan ibu bapa. Namun dengan kehadiran seorang adik, segala keistimewaan seperti ruangan peribadi mereka telah dirampas akibat pertambahan bilangan individu di dalam rumah.

    2. Perasaan cemburu

    Ini merupakan antara punca utama terjadinya persaingan antara adik-beradik. Sekiranya salah seorang daripada mereka mendapatkan sesuatu yang lebih, seorang lagi akan berasa cemburu terutamanya jika melibatkan pujian daripada ibu bapa.

    3. Berebut perhatian

    Bagi anak-anak, perhatian ibu bapa merupakan perkara yang paling penting untuk mereka. Kehadiran seorang adik yang baharu pula akan mencuri masa, tumpuan serta perhatian anda sekaligus menyebabkan anak yang lebih tua berasa terpinggir.

    4. Perlu berkongsi

    Bagi ibu bapa, mainan atau apa-apa barangan yang dibeli adalah untuk kegunaan bersama. Namun tidak bagi anak-anak. Bagi mereka, mainan atau barangan merupakan hak persendirian. Disebabkan ini, mereka gemar bergaduh sesama sendiri demi mendapatkan hak menggunakan sesuatu mainan atau barangan tersebut.

    5. Perbezaan peribadi

    Bagi kanak-kanak, individu yang dianggap sebagai kawan adalah individu yang mempunyai banyak persamaan dengan mereka. Namun begitu, jika peribadi sesama adik-beradik sangat berlainan antara satu sama lain, ini akan mengakibatkan persaingan. Sebagai contoh, jika kedua-dua mereka gemar menonton rancangan televisyen yang berbeza tapi ditayangkan pada waktu yang sama, ini tidak langsung akan mengundang persaingan dan pergaduhan.

    6. Ketidakadilan

    Kanak-kanak merupakan individu yang sangat mementingkan kesaksamaan. Mereka akan mudah menurut perintah atau arahan anda sekiranya adik-beradik yang lain juga mendapatkan tugasan yang sama. Namun jika bagi mereka tugasan tersebut tidak adil dan berat sebelah, ini akan mendatangkan pergaduhan yang akan mengakibatkan persaingan sesama mereka kelak.

    Cara-cara mengendalikan persaingan anak anda dengan hubungan adik-beradik:

    hubungan adik beradik

    • Paling penting, anda sebagai ibu bapa tidak boleh membanding-bandingkan anak anda sesama adik-beradiknya. Ini hanya akan mendatangkan perasaan cemburu sekaligus merenggangkan hubungan sesama mereka.
    • Beri tanggungjawab kepada anak anda yang lebih tua untuk menjaga adik-beradik yang lebih muda. Ini dapat menanam sikap matang terhadap anak yang lebih tua selain memupuk perasaan kasih sayang sesama mereka.
    • Hormati privasi anak anda. Sebagai contoh, lindungi barangan setiap barangan peribadi mereka. Jika adik-beradik mahu meminjam barangan tersebut, pastikan anda memberitahu mereka terlebih dahulu dan mengawasi penggunaan barang tersebut.
    • Jangan masuk campur pertelingkahan anak-anak anda. Jika anak anda sudah besar dan mampu berfikir baik buruk sendiri, biarkan mereka menyelesaikannya sendiri. Namun jika anak anda masih kecil dan tidak boleh membuat keputusan sendiri lagi, tenangkan anak-anak anda namun jangan sesekali memenangkan satu pihak dan menyalahkan pihak yang lain.
    • Jangan bertoleransi dengan sebarang keganasan. Anda perlu lebih tegas dalam memastikan anak anda mematuhi prinsip anda ini. Jika masih berlaku, nasihat mereka dengan tegas dan sekiranya berlaku lagi, berikan hukuman yang tidak berat namun setimpal dengan kesalahan mereka.
    • Jangan menghukum seorang anak di hadapan adik-beradik mereka. Ini hanya akan mendatangkan perasaan malu dan benci terhadap adik-beradik yang lain. Jika anda masih berasa perlu untuk melakukan hukuman, lakukannya tanpa pengetahuan anak anda yang lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 08/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan