Fasa kehamilan dan melahirkan anak sudah anda lalui dengan selamat, kini tiba masanya untuk aspek penjagaan bayi. Berikut antara perkara asas berkaitan perkembangan bayi dan tumbesaran mereka.
Walaupun ia akan kedengaran sukar untuk dilaksanakan, usah bimbang.
Anda sudah berjaya melepasi tempoh mengandung dan bersalin, pastinya untuk menjaga anak juga boleh dilakukan sebaiknya!
Berikut dikongsikan beberapa perkara asas dalam proses penjagaan si kecil.
Penjagaan bayi untuk tahun pertama
Pada tahun pertama kehidupan bayi merupakan masa yang menggembirakan, namun adakalanya wujud rasa bercampur baur. Ia adalah keadaan biasa setelah bergelar ibu bapa.
Proses perkembangan bayi yang berbeza setiap bulan, minggu bahkan hari ada masanya sukar untuk diikuti.
Apatah lagi, jika anda adalah ibu bapa baharu yang masih belajar cara penjagaan bayi dan memahami fasa tumbesaran bayi.
Ia terasa seolah satu bebanan yang berat, bukan?
Umumnya, dalam tahun pertama perkembangan bayi, antara maklumat penting yang perlu anda fahami berkaitan si kecil adalah:
- Perkembangan bayi
- Titik tumbesaran fizikal
- Pemeriksaan bulanan si kecil
- Keperluan khas untuk bayi, jika perlu
- Meluangkan masa dengan si kecil
- Petua pemakanan dan nutrisi
- Tip penjagaan bayi
- ‘Perkara wajib tahu’ pada setiap peringkat usia anak
Perkembangan bayi berkaitan penyusuan
Melakukan penyusuan eksklusif boleh mengeratkan hubungan anda dengan si kecil. Namun ada masanya ia mungkin akan menyebabkan juraian air mata si ibu.
Lebih-lebih lagi, jika apa yang anda bayangkan dalam sesi penyusuan tidak seindah realiti.
Ini antara perkara yang perlu anda ketahui tentang penyusuan bayi:
#Susu ibu terbahagi kepada 3 peringkat
Jika ini pertama kali anda mendengarnya, usah terkejut.
Susu ibu akan berubah pada setiap minggu dan ia dihasilkan dengan formula yang dapat memenuhi keperluan si manja.
- Kolostrum. Kelihatan seperti cecair kekuningan. Ia berfungsi untuk membekalkan anak dengan nutrien dan antibodi yang diperlukan untuk melawan jangkitan.
- Susu peralihan. Dalam tempoh 3 hingga 5 hari selepas kelahiran, susu kolostrum akan diganti dengan susu peralihan.
- Susu matang. Biasanya terhasil antara hari ke-10 hingga minggu ke-2 selepas kelahiran
#Teknik lekapan memerlukan latihan
Ada sesetengah bayi dengan mudah dapat melekap atau latch dengan baik sejak dilahirkan.
Tetapi terdapat bayi yang memerlukan rangsangan dan latihan untuk menguasainya.
Pada fasa penjagaan bayi ini, ibu perlu banyak bersabar, okay?
#Kedudukan selesa ketika menyusu
Untuk menyusukan bayi juga memerlukan posisi yang selesa dan adakalanya ia akan mengambil sedikit masa.
Umumnya, anda perlu bereksperimen sehingga menemui posisi atau cara penyusuan yang selesa untuk si kecil dan juga diri sendiri.
Keperluan nutrisi untuk tumbesaran bayi
Sama ada menyusu badan, susu formula atau gabungan kedua-duanya, anda pastinya ingin bayi mendapat vitamin serta nutrien yang diperlukan untuk membesar dengan sihat dan kuat.
Sebab itu, pemilihan makanan yang betul dan berkhasiat adalah penting dalam tahun pertama kehidupan mereka.
Ini kerana dalam tempoh itu, lebih banyak perkembangan akan berlaku berbanding dengan masa-masa lain dalam kehidupan anak.
Dalam beberapa bulan pertama, susu ibu atau formula adalah makanan utama yang diperlukan.
Semasa bayi membesar, mereka perlu diperkenalkan pula dengan makanan sihat pada waktu yang tepat sekali gus memulakan tabiat pemakanan yang baik pada peringkat awal ini.
Asas penjagaan bayi
Oleh kerana bayi baru lahir mudah terdedah kepada jangkitan, maka terdapat beberapa perkara asas yang perlu anda amalkan:
- Basuh tangan atau gunakan gel pembersih tangan sebelum memegang bayi. Si kecil yang baru lahir belum mempunyai sistem imun yang kuat, jadi mereka berisiko mendapat jangkitan.
- Sokongan pada bahagian kepala dan leher bayi apabila ingin mengangkat, mendukung, mahupun ketika ingin meletakkan kembali si kecil ke bawah (katil)
- Jangan sesekali menggoncangkan bayi, sama ada didasari alasan untuk bermain atau berpunca daripada rasa kecewa. Gegaran boleh menyebabkan pendarahan pada otak dan kematian. Jika anda ingin mengejutkan si kecil, lakukan dengan sentuhan perlahan pada pipi
- Pastikan bayi diletak dan dipasangkan tali pinggang keselamatan dalam kereta sorong, tempat duduk kereta (carseat) atau carrier
- Ingatlah, bayi anda masih belum bersedia untuk sebarang sentuhan mahupun gurauan kasar
Perbezaan perkembangan bayi pramatang
Perasaan gugup bagi mana-mana ibu yang melibatkan penjagaan bayi pramatang adalah normal.
Memahami perbezaan dan persamaan antara bayi pramatang dan normal dapat membantu anda meletakkan keutamaan pada landasan yang betul.
Berikut 8 perkara yang perlu anda ketahui:
- Berat lahir rendah adalah antara ciri umum bayi pramatang
- Menginap di unit rawatan rapi neonatal (NICU) mungkin diperlukan untuk si kecil
- Di dalam NICU, si manja mungkin dimasukkan ke dalam inkubator dan disambungkan ke peralatan khas
- Bayi pramatang sangat terdedah kepada jangkitan kuman
- Terdapat kemungkinan untuk anda melakukan pemeriksaan pakar pediatrik dengan kerap
- Bayi pramatang mungkin berdepan kesukaran untuk makan
- Kuantiti dan kualiti tidur si kecil pramatang dengan bayi normal adalah berbeza
- Bercakap mengenai proses tumbesaran bayi, si kecil anda perlu dinilai mengikut jadual perkembangan berbeza daripada bayi yang lahir cukup tempoh
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Penjagaan bayi, setiap ibu bapa boleh lakukannya
Bergelar ibu bapa khususnya buat pertama kali pasti adakalanya membuatkan anda terfikir, “mampukah anda mengharungi segalanya?”.
Bertenang.
Anda pasti boleh melakukannya. Jika perlukan bantuan, jangan malu untuk memintanya daripada pasangan atau ahli keluarga.
Dalam masa sama, nikmatilah perjalanan dan pengalaman bergelar ibu bapa.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]