backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Anak Sering Buat Perangai Berulang-Ulang, Adakah Itu Tanda Autisme? Apa Beza Autisme Dan ADHD?

Ditulis oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Disemak pada 11/05/2022

    Anak Sering Buat Perangai Berulang-Ulang, Adakah Itu Tanda Autisme? Apa Beza Autisme Dan ADHD?

    Sebagai ibu bapa, adakah anda peka dengan tanda autisme? atau perkembangan anak yang tidak normal seperti kanak-kanak lain?

    Setiap ibu bapa pasti mahukan anak yang sihat dan cerdas. Untuk mencapai matlamat ini, penjagaan rapi diberikan dari sudut kesihatan dan pemakanan mereka.

    Di sebalik tubuh badan yang sihat, aspek pembelajaran juga menjadi salah satu fokus utama ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.

    Oleh itu, selain masalah fizikal, simptom masalah kognitif dan pembelajaran anak-anak turut diberikan perhatian oleh golongan ibu bapa.

    Sebut sahaja tentang masalah pembelajaran dan perkembangan kognitif anak-anak, tentu sekali penyakit seperti autisme akan bermain di fikiran.

    Salah satu simptom utama atau tanda autisme adalah tingkah laku berulang-ulang. Namun, adakah simptom ini khususnya untuk autisme sahaja?

    tanda autisme

    Memahami apa itu autisme

    Autisme, atau lebih tepat lagi gangguan spektrum autisme (ASD), adalah sejenis penyakit neuro-perkembangan yang mempengaruhi aspek pembelajaran, interaksi sosial (lisan dan bukan lisan) dan tingkah laku seseorang.

    Terma ‘spektrum’ bermakna terdapat pelbagai tahap keterukan dan juga jenis diagnosis autisme yang berbeza.

    Gejala atau perubahan yang menunjuk ke arah ASD sudah boleh mula dilihat seawal usia 2 hingga 3 tahun.

    Menggunakan MHCAT (Mental Health Computerized Adaptive Testing), satu kajian dalam kalangan kanak-kanak berusia 18 hingga 36 bulan di klinik kesihatan Ibu & Anak-Anak Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati insiden ASD di Malaysia berada sekitar 1.6 dalam 1000 kanak-kanak.

    Kajian juga mendapati kebarangkalian ASD adalah sebanyak 4 hingga 5 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding perempuan.

    Punca sebenar ASD masih tidak dapat dipastikan.

    Namun yang demikian, terdapat beberapa faktor risiko yang dapat meningkatkan kemungkinan untuk ASD berlaku.

    Antaranya adalah usia ibu dan bapa yang meningkat, masalah lahir pramatang (< 33 minggu), sejarah autisme dalam keluarga, masalah perkembangan otak disebabkan faktor genetik, masalah kesihatan semasa mengandung atau masalah ketika proses bersalin. 

    tanda autisme

    Apakah tanda autisme pada anak?

    Antara gejala lazim dan tanda autisme untuk ASD adalah:

    • Hubungan mata yang terhad atau tidak wujud ketika berinteraksi
    • Tidak boleh berkawan atau tidak bermain dengan orang lain
    • Kesukaran dalam memahami isyarat sosial atau bukan lisan
    • Tingkah laku berulang-ulang
    • Bermain dalam dunia sendiri dan tidak melihat perkara yang ditunjukkan kepada mereka
    • Perbualan satu pihak
    • Mengulang percakapan mengenai perkara yang sama
    • Tidak main olok-olok
    • Mengibas-gibaskan tangan
    • Suka memutar objek 
    • Tidak suka akan perubahan
    • Suka menyusun objek

    Autisme, ADHD dan OCD: Apa bezanya?

    Mungkin ramai ibu bapa perasan terdapat banyak persamaan antara simptom ASD dan juga Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

    Namun yang demikian, terdapat perbezaan utama yang dapat membantu membezakan kedua-dua keadaan ini. 

    Dari segi perhatian, penghidap ASD sukar untuk memberikan perhatian kepada sesuatu yang mereka tidak gemari.

    Penghidap ADHD pula akan tidak gemar atau tidak memberi perhatian kepada sesuatu yang memerlukan fokus.

    Dari sudut komunikasi pula, walaupun kedua-dua keadaan akan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah dalam berinteraksi, penghidap ASD akan tampak lebih terhad keupayaan sosial mereka.

    Mereka kurang kesedaran sosial di persekitaran mereka dan terhad berkomunikasi lisan dan bukan lisan (hubungan mata dan sebagainya).

    Lakukan perkara berulang-ulang, adakah ia tanda autisme?

    Satu lagi perbezaan penting adalah penghidap ASD gemar melakukan sesuatu, khususnya sesuatu yang mereka suka, berulang-ulang kali.

    Namun, penghidap ADHD tidak gemar akan perkara rutin khususnya untuk jangka lama.

    Untuk tanda autisme tingkah laku berulang-ulang, mungkin ramai yang akan perasan bahawa ia mirip gejala penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD). Ia adalah satu pemerhatian yang bagus.

    Secara asasnya, seseorang yang menghidap ASD berupaya untuk mendapat tingkah laku obsesisif dan kompulsif yang berulang-ulang, persis gejala dalam penyakit OCD.

    Namun yang demikian, keterukan simptom obsesif dan kompulsif ini adalah jauh lebih teruk dalam OCD berbanding ASD.

    Jenis obsesif dan kompulsif dalam kalangan penghidap OCD juga adalah lebih rumit berbanding penghidap ASD.

    Tambahan lagi, penghidap OCD tidak mempunyai gangguan bahasa dan komunikasi seperti yang dialami oleh penghidap ASD.

    Untuk pencerahan lebih lanjut, dapatkan maklumat yang tepat daripada doktor anda. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Disemak pada 11/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan