Melihat anak yang tidak sihat, ibu bapa mana yang tidak gelisah dan terdesak untuk meminta cuti jaga anak sakit, bukan? Lebih-lebih lagi jika anak perlu dikuarantin dan anda pula tidak pernah langsung menghantar anak ke pengasuh atau nurseri.
Namun begitu, tahukah anda sebenarnya terdapat Kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin?
Buat anda yang belum tahu, jangan risau! Untuk artikel kali ini, Hello Doktor akan kongsikan tentang panduan meminta cuti menjaga anak sakit penjawat awam berserta senarai penyakit cuti kuarantin!
Jom baca artikel ini untuk ketahuinya dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Memahami penambahbaikan kemudahan cuti menjaga anak sakit
Untuk makluman anda, Kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin atau Memerlukan Pengasingan telah berkuat kuasa sejak 4 Mac 2022.
Sekiranya anak anda perlu dikuarantin atas sebab penyakit berjangkit, anda berhak untuk mendapatkan cuti jaga anak sakit ini (maksima 5 hari).
Pun begitu, Kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin atau Memerlukan Pengasingan ini adalah pindaan daripada Kemudahan Cuti Kuarantin yang telah dilaksanakan sejak 1 Januari 2017.
Sebelum ini hanya ada 6 penyakit berjangkit yang tersenarai, tetapi kini terdapat tambahan untuk “lain-lain penyakit berjangkit” yang memberi lebih banyak kemudahan untuk ibu bapa yang bekerja.
Berikut adalah senarai penyakit cuti kuarantin yang dibenarkan:
- Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD)
- Demam Denggi dan Demam Denggi Berdarah
- Campak (Measles)
- Chickenpox
- Difteria
- Malaria
- Lain-lain penyakit berjangkit yang diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan atau swasta (Contoh: Influenza A / B)
Apa kelayakan yang diperlukan untuk meminta cuti jaga anak sakit?
Pegawai yang layak meminta Kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan perlulah ibu dan bapa yang sah.
Syarat anak yang dikuarantin pula adalah:
- Berumur bawah 18 tahun atau jika masih belajar bawah 21 tahun; dan
- Tidak kira apa jua umurnya bagi yang cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri. (Dengan syarat anak itu adalah cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun).
Cuti menjaga anak sakit penjawat awam ini hendaklah dilaksanakan seperti berikut:
- Pegawai boleh menggunakan Kemudahan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan pada bila-bila masa dalam tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta
- Senarai penyakit berjangkit yang boleh dipertimbangkan adalah seperti di Lampiran SR.5.4.4(A), dengan penambahan lain-lain penyakit berjangkit yang diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan atau swasta; dan
permohonan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan beserta perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana Pegawai Perubatan Kerajaan atau swasta dengan menggunakan Borang Permohonan Cuti Menjaga Anak Yang Dikuarantin Atau Memerlukan Pengasingan seperti di Lampiran SR.5.4.4(B)
Berapa lama pula tempoh cuti kuarantin menjaga anak Influenza atau “lain-lain penyakit berjangkit”?
Untuk makluman anda, ia terhad kepada maksimum lima (5) hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang diberikan oleh mana-mana Pegawai Perubatan Kerajaan atau swasta mengikut mana yang lebih rendah, termasuk Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am.
Pun begitu, cuti menjaga anak sakit penjawat awam ini tidak layak diberikan bagi keadaan yang berikut:
- Pegawai yang anaknya tidak dijangkiti penyakit berjangkit tetapi dibimbangi boleh menjadi pembawa penyakit berjangkit kerana terdapat anak-anak di taska/ sekolah yang disahkan mendapat penyakit berjangkit; dan
- Pegawai yang anaknya sihat tetapi taska/ sekolah telah diisytihar sebagai kawasan yang dikuarantin dalam mencegah daripada merebaknya penyakit berjangkit
- Pegawai yang menjadi kontak rapat kepada anak yang positif COVID-19 dan menerima Perintah Pengawasan dan
Pemerhatian di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit {Akta 342}
Kepentingan cuti bagi menjaga anak yang sakit
Dalam kehidupan seharian yang penuh dengan pelbagai tanggungjawab, ibu bapa sering kali menghadapi dilema ketika anak mereka jatuh sakit. Dalam situasi seperti ini, cuti jaga anak sakit menjadi aspek yang sangat penting.
Berikut adalah beberapa kepentingan cuti jaga anak sakit yang perlu diberi perhatian:
#1. Pemulihan yang lebih baik
Ketika anak sakit, kehadiran ibu bapa adalah sangat penting. Ini kerana, ibu bapa perlu memberikan sokongan emosi dan fizikal yang diperlukan untuk memastikan anak sentiasa merasa selamat dan tenang.
Rasa selamat ini membantu proses penyembuhan dan membolehkan anak anda kembali sihat dengan lebih cepat.
#2. Memantau perkembangan kesihatan anak dengan teliti
Kemudahan cuti menjaga anak sakit penjawat awam ini dapat membantu ibu bapa memastikan anak mengikuti rawatan dan pengambilan ubat dengan betul.
#3. Cuti kuarantin menjaga anak Influenza dapat mencegah penyebaran penyakit
Menjaga anak di rumah semasa mereka sakit juga memainkan peranan penting dalam mencegah penyebaran penyakit kepada individu lain. Dengan tidak menghantar anak ke sekolah atau aktiviti luar, ibu bapa dapat membantu mengurangkan risiko penularan penyakit.
Kelebihan cuti jaga anak sakit #4. Menunjukkan Kasih Sayang
Mengambil cuti untuk menjaga anak yang sakit adalah cara yang jelas untuk menunjukkan kasih sayang dan komitmen ibu bapa terhadap kesejahteraan anak. Tindakan ini bukan sahaja mengukuhkan ikatan keluarga, tetapi juga memberi contoh kepada anak tentang nilai kasih sayang dan tanggungjawab.
Kesimpulan
[embed-health-tool-child-growth-chart]