Jangan ketinggalan untuk mendapatkan perkembangan mengenai COVID-19 di sini.

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Aduh, Kawan Serumah Kena COVID! Ini Pengalaman Penulis Kuarantin Tapi Kekal -Ve!

Aduh, Kawan Serumah Kena COVID! Ini Pengalaman Penulis Kuarantin Tapi Kekal -Ve!

Alamak, housemate terkena COVID-19? Apakah cara kuarantin di rumah yang selamat, lebih-lebih lagi jika diri sendiri atau teman serumah yang negatif COVID-19?

Kini, COVID-19 merupakan sesuatu yang lazim. Hampir semua orang di sekeliling kita pernah mengalaminya.

Tidak dinafikan, tempoh kuarantin boleh menyebabkan kita rasa resah. Manakan tidak, hendak keluar ambil angin pun tak boleh. Disebabkan penyakit ini, kita terpaksa berkurung sahaja di dalam rumah.

Walaupun begitu, sebagai individu yang bertanggungjawab, kita haruslah menjalani tempoh kuarantin seperti yang diarahkan oleh kerajaan.

Tempoh kuarantin amat penting untuk memperlahankan penyebaran COVID-19. Malah, kita juga tidak mahu menjadi penyebar senyap yang bertindak menjangkiti orang lain tanpa sedar.

Selalunya, kita akan diminta berkuarantin selama 7 hari. Dalam tempoh tersebut, kita tidak dibenarkan keluar rumah dan perlu mengehadkan interaksi dengan orang luar sebanyak mungkin.

Tetapi, apa yang perlu kita lakukan jika orang yang tinggal serumah positif COVID-19?

Nak tahu bagaimanakah cara kuarantin di rumah jika diri sendiri atau teman serumah dijangkiti COVID-19? Jom ikuti pengalaman penulis berkuarantin di rumah bersama pesakit COVID-19.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan COVID-19, anda boleh klik di sini.

Cara kuarantin di rumah jika menghidap COVID-19

Pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai cara kuarantin di rumah, lebih-lebih lagi jika ada yang positif dan ada yang negatif.

Jangan risau, penulis ada beberapa tip yang boleh dikongsikan bersama pembaca.

1. Jangan panik dan berikan kerjasama

Kuarantin di rumah sewa datang dengan cabarannya yang tersendiri. Pada awalnya, ada yang panik apabila memikirkan tentang kerja dan ahli keluarga yang telah dilawati.

Bukan mudah untuk kami menjalankan kuarantin di rumah sewa kerana kami hanya mempunyai satu bilik air. Tetapi, mujurlah semua housemates penulis sangatlah bertanggungjawab. Kami semua memandang serius hal ini dan tidak pernah ambil ringan.

Kami juga berkongsi nama dan nombor telefon masing-masing untuk dilaporkan sebagai kontak rapat. Dalam masa beberapa hari, status MySejahtera kami bertukar merah. Tempoh kuarantin juga boleh dirujuk di dalam aplikasi yang sama.

Baca juga:

Cara kuarantin di rumah #2. Sentiasa pastikan kawan sihat

cara kuarantin di rumah

Walaupun tidak dapat berhubung secara fizikal, penulis dan kawan-kawan banyak berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan aplikasi WhatsApp.

Disebabkan status kami berbeza, ada yang positif dan ada yang negatif, mereka yang sihat dan tidak bergejala akan tolong belikan makanan secara atas talian setiap hari. Makanan tersebut kami akan letakkan di hadapan pintu bilik kawan yang sakit.

Kami juga sering bertanya mengenai kesihatan rakan yang positif COVID-19. Jika mereka perlukan makanan atau ubat tambahan, kami semua akan cuba bantu dan dapatkannya secepat mungkin.

Kami juga berkongsi buah oren dan limau yang dihantar oleh ahli keluarga atau sahabat rapat. Pendek kata, makanan tidak menjadi masalah untuk kami. Dengan adanya servis penghantaran makanan, semuanya menjadi lebih mudah.

Verifying...

3. Pakai pelitup muka walaupun dalam rumah

cara kuarantin di rumah

Walaupun tidak bergejala dan negatif, kami semua akan pakai pelitup muka jika perlu keluar dari bilik. Selain itu, kami juga akan basuh tangan dengan sabun usai keluar dari tandas atau selepas menggunakan dapur.

Penulis amat mengesyorkan penggunaan semburan antiseptik terutamanya dalam ruang yang dikongsi. Selepas sahaja mandi, semua orang akan menggunakan semburan antiseptik tersebut terutamanya pada permukaan yang kerap disentuh.

Pada penghujung kuarantin, hanya 2 orang sahaja daripada 6 orang ahli rumah sewa dijangkiti COVID-19. Ini semua mungkin disebabkan cara kuarantin di rumah yang ketat.

4. Buat ujian COVID-19 dengan kerap

ujian covid

Ada beberapa orang rakan penulis yang terus lakukan ujian RTK sejurus mendapat berita mengenai kawan serumah yang positif COVID-19. Penulis pula akan lakukan ujian air liur sekurang-kurangnya 2 hari sekali.

Jangan terkejut jika tempoh kuarantin berbeza walaupun duduk di dalam rumah yang sama.

Untuk mereka yang melakukan ujian RTK dan mendapat keputusan negatif, mereka hanya perlu kuarantin selama 5 hari.

Individu yang tidak melakukan ujian RTK dan hanya melakukan ujian kendiri perlu menjalani kuarantin selama 7 hari.

Alhamdulillah, penulis tidak dijangkiti sepanjang tempoh kuarantin. Mungkin salah satu sebabnya ialah penulis sudahpun dijangkiti COVID-19 pada bulan November lalu. Kebanyakan kawan penulis yang tidak dijangkiti juga sudah mendapatkan suntikan penggalak.

5. Banyakkan bersabar dan berdoa

cara kuarantin di rumah

Tidak dinafikan, kuarantin banyak mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental kita. Apabila masuk hari ke-3 dan ke-4 kuarantin, rasa hendak keluar rumah jadi membuak-buak.

Teruskan bersabar dan lalui tempoh kuarantin seperti biasa. Jika bergejala, cepat-cepat buat ujian dan asingkan diri daripada kawan-kawan. Ini merupakan salah satu cara kuarantin di rumah yang kami amalkan.

Semua rakan-rakan penulis tidak mempunyai sebarang masalah semasa dalam tempoh kuarantin.

Pada waktu malam, individu yang tidak bergejala dan negatif masih akan duduk bersama-sama di hadapan televisyen sambil menonton program nyanyian.

Walau bagaimanapun, SOP perlulah dipatuhi! Walaupun bergelak ketawa, semua memakai pelitup muka dan menjaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain.

Semoga pengalaman kuarantin di rumah yang dikongsikan di atas dapat dicontohi oleh pembaca sekalian.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. 14 Things to Do If Someone You Live With Has COVID-19. https://healthblog.uofmhealth.org/wellness-prevention/14-things-to-do-if-someone-you-live-has-covid-19. Accessed on March 10, 2022.
  2. 7 Ways To Stay Safe And Healthy During Quarantine. https://healthcare.utah.edu/healthfeed/postings/2020/04/staying-safe-healthy-during-quaratine.php. Accessed on March 10, 2022.
  3. Coronavirus (COVID-19): How to Quarantine or Isolate at Home. https://kidshealth.org/en/parents/coronavirus-how-to-quarantine.html. Accessed on March 10, 2022.
  4. Food and nutrition tips during self-quarantine. https://www.euro.who.int/en/health-topics/health-emergencies/coronavirus-covid-19/publications-and-technical-guidance/food-and-nutrition-tips-during-self-quarantine. Accessed on March 10, 2022.
  5. How families and roommates can effectively self-quarantine, self-isolate. https://hub.jhu.edu/2020/03/23/how-to-self-quarantine-self-isolate/. Accessed on March 10, 2022.
  6. Keeping your distance to stay safe. https://www.apa.org/practice/programs/dmhi/research-information/social-distancing. Accessed on March 10, 2022.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 14/03/2022
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor