Ini kerana ia berbeza dengan kepercayaan umum yang mengatakan telefon pintar mahupun platform media sosial menyebabkan masalah dan kerosakan kepada remaja.
Para penyelidik mendapati tidak banyak kesan yang menyokong kepada kepercayaan umum yang mengaitkan telefon pintar dan platform atas talian dengan peningkatan risiko kepada masalah berkaitan kesihatan.
Penyelidikan yang dilaksanakan ini melibatkan kajian tinjauan kepada lebih 2,000 remaja dan seterusnya kajian secara intensif kepada subkumpulan yang melibatkan 400 remaja dengan penggunaan telefon pintar untuk beberapa kali sehari selama dua minggu.
Remaja yang terlibat dalam kajian tersebut adalah dalam usia 10 hingga 15 tahun dan mewakili penduduk daripada pelbagai segi ekonomi dan kaum yang menghadiri sekolah awam di Carolina Utara.
Daripada kajian yang dilakukan, penyelidik mengumpulkan laporan mengenai simptom kesihatan mental dari remaja sebanyak tiga kali sehari, malah remaja yang terlibat dalam uji kaji ini juga turut melaporkan penggunaan teknologi harian pada setiap malam.
Hasil keputusan laporan mendapati, golongan remaja yang cenderung kepada penggunaan teknologi digital tidak menunjukkan sebarang perkaitan dengan tahap mental yang tidak sihat.
Sebaliknya, remaja yang lebih kerap menggunakan teknologi seperti telefon pintar untuk menghantar mesej teks dilaporkan mempunyai emosi yang lebih baik, iaitu kurang tertekan, berbanding dengan remaja yang tidak.

Terhadkan penggunaan
Jadi, kita sebenarnya tidak boleh menafikan kebaikan penggunaan telefon pintar mahupun teknologi digital dalam kehidupan seseorang individu.
Walau bagaimanapun, mungkin masih perlu ada batasan dalam kebebasan untuk menggunakan telefon pintar dan sebarang teknologi digital terutama bagi kanak-kanak dan remaja.