Sebagai ibu bapa, anda pasti mengalami kejutan apabila mendengar percakapan anak yang tidak sepatutnya. Itu impaknya jika anda tidak menjadi contoh teladan terbaik buat mereka.
Ibu bapa jadi contoh teladan
Setiap ibu bapa akan berfikir tentang bagaimana cara anak bercakap dengan kita mahupun individu di sekeliling serta tingkah laku anak.
Sudah tentu teguran adalah cara paling mudah untuk membetulkan kelakuan anak yang dirasakan tidak bersopan santun, kan?
Bahkan, anda mungkin mempersoalkan dari mana datangnya sikap tersebut sehingga anak menjadi sedemikian rupa.
Tetapi hakikatnya, anda mungkin terlupa bahawa mereka memerhatikan apa yang kita sebagai ibu bapa ucapkan dan cara kita melafazkannya.
Kitalah contoh teladan yang menjadi ikutan mereka, sama ada baik mahupun sebaliknya.
Mungkin anda berasakan anak masih kecil belum pun mencecah usia setahun, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan.
Tetapi adakah anggapan tersebut benar?
Pentingnya menjaga percakapan
Melalui perkongsian di Facebook Public Health Malaysia, sebenarnya anak seawal usia 8 bulan sudah boleh dan pandai meniru tingkah laku anak dan cara percakapan ibu bapa.
Mereka akan memerhati, mendengar dan mula meniru gaya pertuturan yang ditunjukkan tanpa anda menyedarinya.
Jadi sebaiknya, setiap ibu bapa amat digalakkan untuk mengamal dan menggunakan bahasa yang baik walaupun ketika dalam keadaan tertekan atau marah.
Ini kerana si kecil sedang memerhatikan setiap perlakuan anda sebagai contoh teladan.
Nilaikan cara anda bertutur dengan anak
Sejujurnya, bagi penulis sendiri, sukar untuk kita melihat tindakan sendiri secara objektif.
Jika anda mungkin tertanya-tanya bagaimana caranya anda berinteraksi dengan anak setiap hari, mungkin cara berikut boleh membantu.
Bayangkan anda merakam percakapan dengan si kecil dan mainkan semula gambaran secara visual bersama suara.
Adakah nada suara anda kedengaran penyabar dan penuh kasih sayang? Bagaimana pula tumpuan yang diberikan sewaktu anak sedang bertutur?
Atau mungkin anda membayangkan diri sibuk bermain telefon – melayari media sosial, berbalas mesej – dan bukannya memberikan sepenuh perhatian kepada anak?
Daripada gambaran tentang diri anda sendiri, adakah anda berasa diri berada pada tahap terbaik? Soalan paling utama, sesuaikah ia untuk dijadikan sebagai contoh teladan?
Seandainya, jawapan anda adalah tidak, maka perlu untuk anda melakukan perubahan dalam cara percakapan dengan anak.
Adakah nada suara anda kedengaran kasar, tidak sabar dan marah ketika menegur atas kesalahan anak?
Atau mungkin anda menggunakan nada melenting kepada anak walaupun mereka tidak melakukan kesalahan hanya kerana diri berasa letih?
Maka, untuk menjadi ikutan terbaik, berikan perhatian pada nada suara yang digunakan ketika bercakap dengan anak walaupun pada saat anda ingin membetulkan tingkah laku anak.
Contoh teladan: Gunakan nada positif
Berikut adalah 5 sebab penting mengapa nada suara dan percakapan yang digunakan memainkan peranan penting dalam komunikasi dan interaksi antara ibu bapa dan anak-anak:
1. Anak akan lebih mudah mendengar
Umumnya, ia adalah perkara yang paling logik.
Tanyakan diri sendiri – anda suka apabila ditegur seseorang dengan nada marah dan menjengkelkan atau menerima teguran daripada individu yang bercakap menggunakan nada tenang dan baik?
Walaupun mungkin wujud perselisihan faham atau anda perlu membetulkan kesilapan anak, gunakan nada suara yang lembut tetapi tegas.
Kaedah ini dipercayai lebih meraih perhatian anak dan mereka akan mudah mendengar setiap teguran.
2. Nada kasar belum tentu berkesan
Apabila anda menjerit atau menggunakan nada yang agresif kepada anak, kecenderungan untuk mendapat hasil yang baik adalah tipis.
Malahan, sikap tersebut boleh merosakkan hubungan anda, apatah lagi untuk menjadi contoh teladan yang baik.
Ya, mungkin mereka mendengar untuk jangka masa pendek dan akan kembali mengulangi kesilapannya semula. Adakah itu yang anda mahu?
Maka, jika anda mahu anak mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk mengawal tingkah laku anak, mulakan tabiat bertutur dengan baik.
3. Anak menganggap ibu bapa sebagai contoh teladan
Cara paling mudah dan berkesan untuk membuatkan anak bercakap dengan baik kepada anda dan juga individu di sekelilingnya adalah dengan bertutur secara sopan kepada mereka.
Dan jika anda lebih gemar mengkritik dan bercakap kasar kepada anak, jangan melenting seandainya menerima layanan yang sama daripada mereka!
4. Hubungan dengan anak lebih kukuh
Percayalah, jika anda memperlakukan anak dengan rasa hormat dan baik, ia secara tidak langsung akan mengukuhkan ikatan antara kalian.
Jangan malu untuk ucapkan ‘terima kasih’ dan ‘tolong’ apabila bertutur dengan anak. Jelaskan bahawa mereka juga perlu melakukan perkara yang sama kepada anda mahupun individu lain.
Melayani satu sama lain dengan sopan santun dan rasa hormat akan mendekatkan anda dengan anak.
Manakala kelakuan anak seperti percakapan yang agresif tanpa rasa hormat sudah tentu akan memberikan kesan sebaliknya.
5. Anak menjadi lebih hormat
Apabila anda menggunakan nada yang baik dengan anak di rumah, secara semula jadi mereka akan melakukan perkara yang sama di sekolah dan tempat lain.
Pastinya, individu di sekeliling akan memberikan komen mengenai tingkah laku anak dan cara percakapan anak yang baik.
Secara tidak langsung ia akan menimbulkan rasa bangga serta keyakinan dalam diri mereka yang membawa ke alam remaja dan seterusnya.
Mulakan daripada diri anda
Jadi melalui perkongsian di atas secara mudah dapat disimpulkan, jika mahukan anak mempunyai tabiat dan tingkah laku anak yang baik, maka anda perlu menjadi contoh teladan terbaik.
Perhatian!
Jangan pula menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan diri sendiri pun tidak betul!
[embed-health-tool-child-growth-chart]