backup og meta

Anak Soleh Bermula Dengan Didikan Yang Betul

Anak Soleh Bermula Dengan Didikan Yang Betul

“Besar nanti jadi anak soleh ya sayang,” ungkapan sering diucapkan kebanyakan ibu bapa kepada anak. Namun bagaimana caranya untuk menjadikan anak itu sebagai anak yang soleh dan solehah? 

Anak soleh bermula daripada didikan

Setiap ibu bapa pastinya inginkan anak yang soleh, mendengar kata dan bijak. Tetapi bagaimana sebenarnya cara yang terbaik untuk menjadikan si kecil membesar menjadi anak soleh? Adakah ia sukar untuk dilakukan?

Sebenarnya, untuk menjadikan anak membesar sebagai insan yang soleh dan solehah bukanlah satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Ini kerana ia bermula daripada cara didikan ibu bapa itu sendiri.

Dalam erti kata yang mudah, jika ibu bapa mendidik anak dengan cara yang betul dan terbaik, maka impian memperolehi anak soleh dan mendengar kata, pastinya akan dapat dicapai. Tetapi bagaimana?

Mengalas tanggungjawab sebagai ibu bapa memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi. Dalam masa yang sama  tanggungjawab tersebut perlu dilengkapi dengan perasaan kasih sayang.

Kaedah mendidik anak

Bagaimana yang dikatakan sebagai cara didikan yang betul dan terbaik agar si manja membesar menjadi anak soleh? Penulis akui, setiap ibu bapa mempunyai cara dan pendekatan yang berbeza dalam mendidik anak. 

Walau bagaimanapun, berikut adalah antara beberapa kesilapan yang tanpa disedari dilakukan oleh kebanyakan individu bergelar ibu bapa:

Penggunaan bahasa yang kasar

Anda pasti pernah berada dalam situasi di mana seorang ibu memarahi anaknya di depan khalayak umum, bukan? Ataupun pernah tak anda mendengar jiran anda menjerit dan menggunakan bahasa yang kasar kepada anaknya?

Apakah perasaan anda tatkala mendengar jeritan, maki hamun dan amarah seorang ibu kepada anaknya? Mungkin anda berasakan itu adalah cara si ibu melepaskan tekanannya akibat sikap si anak.

Tetapi sebenarnya perbuatan seperti itu lebih cenderung menjadi ikutan si anak apabila dewasa kelak. Mereka mungkin akan menjerit, marah dan memaki sesiapa sahaja yang tidak mengikut keinginannya. Adakah anda mahu anak anda menjadi individu seperti itu?

Bukankah setiap tutur kata ibu bapa itu adalah doa? Bukankah anak itu cerminan diri ibu bapa? Maka jika anda mahu si kecil menjadi anak soleh dan solehah, maka elakkan daripada menuturkan perkataan kasar yang tidak elok. Ubah diri anda terlebih dahulu sebagai ibu bapa sebelum anda membentuk si manja menjadi anak yang baik.

Memaksa anak

Anda mahukan anak mendengar setiap kata dan mengikut telunjuk anda. Anda langsung tidak cuba memahami keinginan si kecil. Adakah anda sedar tindakan anda itu boleh menyebabkan si kecil menjadi tertekan? Lebih menakutkan jika mereka tidak mempunyai keinginan dan semangat untuk melakukan sesuatu seperti bermain?

Ya, kita semua sebagai ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi adakah apa yang kita rasakan terbaik itu, sememangnya terbaik buat si kecil? Bayangkan jika anda berada di tempat si manja dan dipaksa melakukan sesuatu yang bukan kehendak anda, apakah perasaan anda? Malahan, tidak mustahil ia boleh menyebabkan wujudnya dendam dalam hati si manja.

Sebaiknya, jangan terlalu memaksa anak anda mengikut telunjuk anda semata-mata. Berikan si kecil peluang menikmati zaman kanak-kanak mereka. Benarkan mereka untuk mempunyai pengalaman dan memori menyeronokkan dan akan dikenang sepanjang hayat mereka. 

Jika mereka mempunyai minat dalam sesuatu perkara, bantu mereka untuk menjadi terbaik dalam apa juga bidang kegemaran mereka. Jika mereka masih kabur, maka ia adalah tugas anda untuk membantu mereka membina dan mewujudkan perkara yang mereka gemari. 

Ketagihan gajet

Dalam hal berkaitan gajet ini, terdapat percanggahan pendapat mengenai keperluan masa skrin untuk anak-anak dalam kalangan ibu bapa. Ada sesetengah ibu bapa yang melarang dan tidak langsung membenarkan anak untuk menggunakan gajet, ada ibu bapa yang mengehadkan masa skrin sehari dan terdapat juga ibu bapa yang memberikan kebebasan kepada anak-anak untuk menghadap dan bermain gajet seharian. Anda berada dalam kelompok ibu bapa yang mana?

Tidak kira kelompok ibu bapa yang mana anda berada, pastinya anda mempunyai alasan yang tersendiri, bukan? Sebenarnya tidak salah untuk anak-anak menghadap skrin, sama ada televisyen, telefon pintar atau sebarang gajet. Tetapi ia haruslah mempunyai had masa yang tertentu. 

Jangan sesekali memilih memberikan gajet sebagai cara untuk mengawal anak. Ini kerana tindakan ini mungkin akhirnya akan memakan diri anda sendiri dan menyebabkan anak anda menjadi ketagih dengan gajet. 

Walau apa pun, sebagai ibu bapa pilihan berada di tangan anda. Anda yang akan menentukan corak kehidupan anak anda. Jika anda berasakan tiada masalah memberikan kebebasan penggunaan gajet dan masa skrin, terpulang. Jangan nanti menyesal di kemudian hari, okay?

Melarang anak 

Pernah tak si kecil secara tiba-tiba datang kepada anda dan menyatakan “Mama, Husna nak tolong sapu sampah”, apakah reaksi anda? Mengizinkan atau menghalang? Jika anda mengizinkan, maka anda membuat keputusan yang betul walaupun hakikatnya si kecil mungkin hanya akan menambahkan lagi kerja anda.

Ini sekurang-kurangnya dapat mendidik sifat dan keinginan untuk membantu dalam diri mereka. Dalam masa yang sama membangunkan rasa tanggungjawab dalam diri anak anda.

Sebaliknya, jika anda memarahi mereka dan menolak keinginan mereka untuk membantu, malah lebih teruk lagi apabila anda memarahi mereka, percayalah situasi ini akan menyebabkan mereka sukar untuk membantu dalam melakukan tugasan di rumah. 

Menipu 

Kenapa anak takut untuk bercakap benar apabila melakukan kesalahan? Sudah tentu kerana mereka bimbang akan dimarahi anda. Kenapa anak gemar untuk menipu? Pastinya kerana mereka pernah melihat anda menipu.

Seperti yang dikatakan pada awal tadi, anak adalah cerminan diri anda sendiri. Jika anda merupakan individu yang tidak beradab, gemar meninggikan suara dan menipu, maka tidak mustahil anak anda juga akan bersikap sebegitu. Si kecil mudah meniru apa yang sering mereka lihat.

Buat perangai

Anak meminta anda membelikan sesuatu dan anda tidak memenuhi permintaannya, apa yang akan berlaku? Adakah dia mengamuk, menangis atau mendiamkan diri? Jika mereka mengamuk dan membuat perangai, ini bermakna mereka sudah biasa dengan situasi segala kehendak dan keinginan mereka dipenuhi.  

Mungkin ada antara anda bertanyakan, adakah ia sesuatu yang tidak bagus sedangkan anda mampu untuk memberikannya? Sebenarnya, anak anda harus mempunyai satu kesedaran bahawa bukan semua perkara yang diingini akan diperolehi. 

Mereka harus belajar bersyukur dengan apa yang mereka miliki dan bukannya hanya tahu meminta-minta. Ini kerana dikhuatiri sikap ini akan terbawa-bawa sehingga anak anda sukar menerima pendapat dan pandangan individu lain.

Konklusi 

Apa yang dikongsikan di atas adalah antara kesilapan yang sering dilakukan oleh kebanyakan ibu bapa tanpa sedar. Namun, masih belum terlewat untuk anda melakukan perubahan jika anda mahu si kecil membesar menjadi anak soleh yang boleh membanggakan anda suatu hari nanti. Segalanya bermula daripada didikan anda sebagai ibu bapa. Banyakkan bersabar, okay?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.thespruce.com/tips-to-teach-your-children-manners-1216615  /Accessed on Jan 21, 2020

https://www.parents.com/toddlers-preschoolers/development/manners/teaching-kids-to-mind-their-manners/  /Accessed on Jan 21, 2020

 

https://majalahpama.my/nak-anak-jadi-soleh-dan-solehah-13-panduan-menjadi-ibu-bapa-cemerlang-ini-kena-buat-dulu/ /Accessed on Jan 21, 2020

 

https://my.theasianparent.com/cara-mendidik-anak-dengan-betul /Accessed on Jan 21, 2020

 

https://my.theasianparent.com/cara-mendidik-anak-tanda-amaran 

/Accessed on Jan 21, 2020

Versi Terbaru

02/02/2020

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Anak Penghidap Hemofilia? Ketahui Cabaran & Harapan Di Dalam Bajet 2025!

Mak Ayah, Fikir Dahulu Sebelum Hantar Anak Anda Duduk Bersama Datuk Nenek!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 02/02/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan