Perlu diingat, anak anda tidak boleh mempelajari kemahiran menelan pil ini dengan sekali latihan sahaja. Anda perlu melatih si kecil secara berulang kali sehinggalah mereka berasa yakin dan mampu untuk menelan pil.
Apa yang boleh anda lakukan untuk melatih anak makan ubat pil?
Sebelum sebarang latihan dilakukan, anda perlulah terlebih dahulu menjelaskan kepentingan makan ubat kepada anak anda. Ambil sedikit masa untuk menerangkan kepada mereka dengan cara yang kreatif mengenai hal ini agar anak anda berasa tenang dan boleh bekerjasama.
Apa langkah seterusnya? Anda adalah ibu atau bapa kepada mereka, dan anda adalah contoh terbaik untuk mereka ikuti. Tunjukkan kepada anak anda terlebih dahulu bagaimana anda menelan pil tersebut.
Apabila tiba giliran anak anda untuk mencuba, perhatikan dengan baik bagaimana mereka melakukannya. Ingat, cubaan pertama selalunya tidak akan menjadi seperti yang kita harapkan. Oleh itu, puji setiap usaha anak anda dalam cubaan menelan pil.
Untuk memudahkan anak anda menelan pil, ikuti tip ini:
#1. Duduk tegak dengan posisi kepala berada di tengah badan. Pastikan kepala anak anda berada dalam keadaan yang lurus dan senget.
#2. Condongkan sedikit kepala mereka ke belakang. Jangan terlalu condong ke belakang kerana ia akan membuatkan anak anda sukar untuk menelan.
#3. Berikan si kecil beberapa tegukan air sebagai satu latihan menelan terlebih dahulu.
#4. Letakkan pil pada lidah anak anda dan minum air lagi. Galakkan mereka untuk terus meneguk air sehingga pil ditelan.
#5. Jika anak agak sukar untuk minum air terus daripada gelas, gunakan penyedut minuman untuk memudahkan mereka menelan air dan pil.
Jika pil yang perlu anak anda makan tidak boleh diambil semasa perut kosong, mereka boleh menelannya bersama-sama jenis minuman yang lebih pekat seperti susu, yogurt atau milkshake. Selain itu, ia juga boleh dimakan bersama-sama makanan lain seperti puding dan juga aiskrim.
Sekiranya mereka berjaya makan ubat pil tersebut, jangan lupa untuk memberikan pujian sebagai tanda penghargaan. Sekiranya anak anda tidak berjaya menelannya, anda boleh menggalakkan mereka untuk mencuba lagi.
Berhenti dan cuba lagi pada waktu yang lain sekiranya anak anda enggan meneruskannya. Jangan sesekali menekan atau memarahi mereka jika ia tidak berjaya. Tekanan pada kanak-kanak hanya akan menyukarkan lagi keadaan pada masa hadapan.
Apa perlu anda lakukan jika anak tidak mahu makan ubat?
Kami turut akui, terdapat kanak-kanak yang mungkin mempunyai sedikit kesukaran untuk makan ubat atau belajar menelan ubat. Ada kanak-kanak yang berasa gementar untuk makan ubat, ada juga yang mungkin pernah mengalami pengalaman buruk sebelum ini ketika mereka mencuba menelan ubat.
Untuk kanak-kanak yang mempunyai kesukaran sebegini, eloklah jika anda menangguhkan latihan terlebih dahulu dan berbincang dengan doktor. Mungkin terdapat cara lain yang boleh digunakan agar anak anda mampu untuk menelan ubat-ubatan tersebut. Rujuk dengan doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat pil yang diberikan jika anda mempunyai sebarang masalah atau kesukaran.
Baca juga: