Penggunaan face mask merupakan keperluan penting dalam mencegah jangkitan wabak COVID-19. Namun adakah pemakaian pelitup muka selamat buat wanita hamil?
Tujuan pemakaian pelitup muka
Ketika dunia masih lagi dilanda kebimbangan tentang penularan wabak pandemik COVID-19, pemakaian pelitup muka menjadi antara ‘aksesori’ wajib yang perlu ada bagi setiap individu.
Pada dasarnya, penggunaan topeng itu adalah untuk mencegah penyebaran kuman dan melindungi anda dan juga individu yang berhubungan.
Tidak dinafikan, face mask yang dipakai mungkin mendatangkan sedikit ketidakselesaan, tetapi ia berfungsi untuk membantu menjaga keselamatan anda.
Bahkan, bagi sesetengah individu mungkin berasa sukar untuk bernafas apabila memakai topeng, lebih-lebih lagi mereka yang mengalami masalah kesukaran bernafas atau menghidap asma.
Selamatkah face mask dipakai oleh wanita hamil?
Pemakaian pelitup muka sememangnya membantu dalam mencegah penularan COVID-19.
Tetapi persoalan utama kini, adakah pemakaian topeng ini selamat bagi wanita hamil?
Andainya penggunaan face mask boleh mendatangkan risiko sama ada kepada ibu atau bayi dalam kandungan, pastinya ia keadaan yang sukar buat mereka.
Ini kerana dalam menjalani kehidupan seharian dan melakukan pekerjaan, pastinya mereka perlu bergerak.
Tanpa pelitup muka, sudah tentu ia akan meningkatkan risiko jangkitan kepada individu yang berbadan dua ini.
Jika anda adalah seorang ibu hamil dan ingin mengetahui jawapan bagi persoalan tersebut, teruskan membaca perkongsian artikel ini.
Kajian pemakaian pelitup muka oleh wanita hamil
Apabila berbadan dua, pastinya anda akan melakukan apa sahaja untuk melindungi diri dan juga bayi yang akan dilahirkan, kan?
Setiap wanita yang sedang mengandung pasti ingin memastikan apa yang dilakukan tidak mendatangkan mudarat, ini termasuklah dalam perihal pemakaian pelitup muka.
Menurut National Institute for Occupational Safety and Health (NIOSH), para penyelidik telah melakukan kajian berkaitan wanita hamil yang memakai topeng pernafasan N95.
Penyelidikan ini melibatkan 32 wanita yang dibahagikan kepada 2 kumpulan; sedang mengandung ataupun tidak.
Pemantauan dilakukan untuk melihat apakah wujud kesan kepada kesihatan yang berbeza pada wanita berbadan dua berbanding dengan yang tidak hamil.
Penyelidik turut melakukan pengawasan terhadap paru-paru dan jantung untuk mengetahui sama ada ia terjejas akibat pemakaian topeng.
Antara aspek yang dipantau adalah seperti degupan jantung dan tekanan darah ibu serta degupan jantung janin.
Wanita hamil selamat memakai pelitup muka
Berdasarkan hasil kajian yang diperolehi, menyimpulkan bahawa tidak ada perbezaan ‘penting’ antara wanita mengandung dan yang tidak hamil yang memakai topeng N95.
Namun pengkaji mendapati bahawa bagi kedua-dua kumpulan wanita ini terdapat sedikit peningkatan jumlah diastolik untuk tekanan darah mereka.
Diastolik adalah nombor yang berada di bawah apabila pemeriksaan tekanan darah anda dilakukan. Ini adalah tekanan di arteri ketika jantung berehat di antara degupan.
Walau bagaimanapun, peningkatan sementara diastolik tidak mempengaruhi fungsi jantung atau paru-paru wanita.
Secara keseluruhan, NIOSH menyimpulkan bagi wanita sihat yang sedang hamil, tidak ada alasan bahawa mereka tidak boleh memakai topeng muka semasa kehamilan.
Penjagaan diri untuk wanita hamil
Umumnya, pemakaian pelitup muka yang diamalkan pada hari ini adalah untuk membantu anda kekal sihat serta sebagai langkah berjaga-jaga mencegah penyebaran COVID-19.
Pun begitu, selain topeng muka, terdapat juga beberapa perkara lain yang harus wanita hamil lakukan sebagai penjagaan diri agar kekal sihat.
Anda harus mempraktikkan amalan jarak fizikal, sekurang-kurangnya 6 kaki atau 2 meter daripada individu lain.
Tetapi amalan ini diberikan pengecualian apabila berada di rumah bersama keluarga.
Kerap mencuci tangan
Perkara paling penting yang harus anda lakukan adalah mengamalkan kebersihan tangan dengan kerap mencuci tangan bersama sabun dan air suam.
Berdasarkan saranan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), anda perlu mencuci tangan sekurang-kurangnya 20 saat.
Ini terutamanya selepas anda selesai membeli barangan runcit atau keluar membeli-belah.
Selain itu anda juga diingatkan untuk tidak menyentuh wajah dengan tangan yang tidak dicuci untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman, virus atau bakteria, terutamanya COVID-19.
Bahagian mulut dan mata adalah saluran bagi virus untuk memasuki badan dengan mudah.
Namun, jika tiada air, sebagai ganti, anda boleh menggunakan gel pembersih tangan atau hand sanitizer.
Tetapi anda masih tetap perlu mencuci tangan dengan air dan sabun jika terdapat sumber air, okay?
Langkah penjagaan lain yang boleh diamalkan sama ada oleh wanita hamil atau tidak adalah untuk menukar dan membasuh pakaian yang telah dipakai ketika keluar, terutamanya ke tempat awam.
[embed-health-tool-due-date]