“Macam mana nak tahu jika saya mengalami air ketuban keluar sedikit demi sedikit dan bukannya terkencing“, ini soalan yang sering diajukan oleh ibu hamil pertama kali tentang penyebab air ketuban pecah.
Kehamilan sering hadir dengan perkara yang sukar untuk diduga.
Anda tidak tahu anda hamil, jantina bayi, perkembangan semasa, penyakit berkait dengannya dan bila masanya untuk air ketuban pecah.
Penulis pasti, senarai di atas agak pendek jika ingin menggambarkan semua persoalan yang bermain di fikiran ibu hamil.
Artikel ini akan memfokuskan kepada cara untuk mengenal pasti penyebab air ketuban pecah.
Oleh sebab kita tidak boleh meramal bila ia akan pecah, lebih baik pelajari bila masanya untuk ibu bergegas ke hospital.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kehamilan, anda boleh klik di sini.
Penyebab air ketuban pecah, tiada punca fizikal yang jelas
Bayangkan, anda sedang membeli belah. Sedang anda berjalan menuju ke kedai baju lain, tiba-tiba seluar/kain anda basah.
Oleh sebab pundi kencing merupakan “mainan” pertama anak ketika di dalam perut, mungkin anda sering beranggapan anda terkencing secara tidak sengaja padahalnya air ketuban keluar sedikit demi sedikit.
Jadi, adakah air ketuban pecah atau dalam info kesihatan disebut kantung amniotik pecah bukan seperti air kencing?
Setelah 20 minggu kehamilan (sekitar 5 bulan), komposisi air ketuban majoritinya terdiri daripada air kencing janin.
Ya, air ketuban juga air kencing namun ia bukan air kencing ibu.
Apabila sampai masanya, lapisan membran yang melindungi bayi daripada asakan fizikal akan pecah bagi membolehkan mereka keluar.
Mungkin ramai di luar sana yang ingin tahu cara untuk buat air ketuban pecah tapi tidak sakit bagi mempercepatkan proses kelahiran berlangsung.
Sayangnya, jika dilihat pada faktor fizikal, tiada aktiviti atau tip yang berkait rapat dengan peningkatan kebarangkalian untuk jadi penyebab air ketuban pecah.
Apa yang digooglekan oleh anda jika ada pun hanya bersifat pendapat dan tidak mempunyai asas sains yang kukuh.
Meskipun begitu, ibu perlu tahu ia air ketuban bagi memastikan mereka faham dan terus bergegas ke hospital. Jadi bagaimana nak tahu yang pecah itu air ketuban?
Terdapat 3 aspek yang boleh dilihat pada air ketuban untuk dibezakan dengan air kencing.
3 aspek penyebab air ketuban pecah
1. Jumlah air ketuban keluar sedikit demi sedikit tidak sama dengan air kencing
Jika anda pernah menonton siaran televisyen, terdapat babak air ketuban pecah yang digambarkan dengan kebocoran dalam kuantiti yang banyak.
Persis belon air yang dilepaskan ke tanah.
Walau bagaimanapun, apa yang anda perlu tahu, jumlah air ketuban yang keluar bergantung kepada beberapa faktor:
- Berapa banyak air ketuban yang memenuhi ruangan rahim anda?
- Lokasi bocor pada membran amniotik ibu.
- Kedudukan kepala bayi. Jika mereka sudah pun turun jauh ke bawah, ia boleh bertindak sebagai penyumbat. Ini bermakna, jumlah air tidak keluar dengan banyaknya.
Bagi mereka yang mengalami kebocoran berkuantiti besar, mudah untuk anda kenal pasti air ketuban.
Namun, bagi mereka yang mengalami kebocoran kecil, mungkin anda keliru dengan perkara yang berlaku.
Aspek penyebab air ketuban pecah #2. Warna air ketuban yang keluar
Tidak banyak perkara yang boleh menjadi penyebab air ketuban pecah.
Secara amnya, ia bermaksud anak anda sudah cukup matang untuk menikmati kehidupan di luar rahim.
Jika cecair yang keluar berwarna kuning, ia jelas menunjukkan anda terkencing sedikit.
Kalau warna air ketuban tersebut putih dan seakan-akan krim, ia merupakan lendir faraj yang keluar, biasanya berlaku sebelum proses kelahiran.
Bagaimana pula dengan air ketuban? Warna air ketuban lebih putih dan jernih daripada air kencing.
Namun, bagi mereka yang kencing berwarna jernih, susah untuk meneka jika ia adalah warna air ketuban.
Apa yang anda perlu beri perhatian adalah jika air yang keluar berwarna kuning kehijauan. Ia mungkin daripada mekonium yang keluar bersama air ketuban.
Mekonium, secara mudahnya, adalah najis janin. Ia menandakan sistem gastrousus mereka sudah mula berfungsi.
Jika perkara ini berlaku, anda perlu bergegas ke hospital dan beritahu pada kakitangan kesihatan anda.
3. Bezakannya melalui bau, ibu hamil tentu tahu bau air kencing kan?
Berbeza dengan air kencing yang berbau hancing, air ketuban tidak berbau dan jika ada pun, ia berlainan daripada bau air kencing.
Perkara ini disebabkan oleh aktiviti bakteria yang berlainan pada sistem yang dilalui oleh kedua-dua cecair tersebut.
Jika anda masih tidak pasti melalui 3 aspek di atas, boleh cuba 3 perkara berikut:
- Buat senaman kegel untuk cuba menahan air kencing keluar. Jika cecair tersebut masih keluar tatkala anda berkegel, ia boleh jadi air ketuban
- Ibu hamil perlu memakai seluar dalam baharu, pakai sekali dengan pad dan baring untuk 30 minit. Setelah selesai, cuba berdiri. Jika anda berasa ada kumpulan air yang keluar semasa berdiri, ia boleh jadi air ketuban
- Air kencing biasanya keluar secara berkala. Jika anda rasa cecair yang mengalir berlaku secara berterusan, ia mungkin air ketuban
Kesimpulan
[embed-health-tool-due-date]