Apabila anda disahkan berbadan dua, adakah berlaku perubahan pada pasangan seperti cepat letih atau loya? Jika ya, suami mungkin mengalami alahan mengandung yang disebut sebagai sindrom Couvade.
Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui sama ada ia keadaan yang dibuat-buat atau benar terjadi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Isteri berbadan dua tapi suami alami alahan mengandung
Gejala alahan yang disebut sebagai sindrom Couvade adalah keadaan di mana suami atau pasangan kepada wanita mengandung mengalami simptom kehamilan.
Ia juga dikenali sebagai kehamilan simpati atau sindrom ayah mengandung.
Diambil daripada perkataan Perancis, couvee bermaksud ‘mengeram’ atau ‘menetas’.
Apabila pasangan anda menghidap sindrom Couvade ini, adakah yang mereka alami itu psikosomatik atau tidak.
Pasangan anda mungkin akan mendapatkan pemeriksaan perubatan untuk mengetahui sama ada wujud masalah kesihatan atau tidak.
Hakikatnya, sindrom yang dialami semasa isteri berbadan dua ini bukanlah penyakit rasmi atau melibatkan keadaan psikologi. Ia juga tidak diklasifikasikan sebagai masalah perubatan atau mental.
Seperkara yang perlu anda ketahui, walaupun sindrom Couvade ini amat jarang dibincangkan secara terbuka oleh kaum lelaki, namun ia adalah 1 keadaan biasa untuk terjadi.
Simptom alahan mengandung pada suami
Terdapat pelbagai jenis simptom alahan mengandung yang mungkin dialami pasangan dengan sindrom Couvade ini dan ia biasanya berbeza antara setiap individu – seperti simptom kehamilan sebenar.
Antara yang biasa didengar adalah si suami turut sama mengidam makanan tertentu seperti isteri mereka yang berbadan dua.
Anda harus fahami bahawa terdapat perbezaan antara sindrom Couvade ini dan khayalan kehamilan; iaitu individu dengan sindrom ini merasakan gejala kehamilan tetapi tidak percaya bahawa mereka mengandung.
Umumnya, gejala yang dialami boleh dibahagikan kepada 2:
Gejala psikologi
- Kegelisahan
- Kemurungan
- Masalah tidur
- Tidak cukup rehat
- Penurunan keinginan seksual / perubahan lain berkaitan libido
Gejala fizikal
- Loya, muntah dan pedih ulu hati
- Sakit atau kembung perut
- Perubahan selera makan
- Kaki kejang
- Sakit belakang
- Kerengsaan alat kelamin atau semasa kencing
- Penambahan atau penurunan berat badan
- Masalah sakit gigi juga antara simptom biasa terjadi
Bila sindrom Couvade bermula?
Gejala berkaitan dengan kehamilan simpati ini cenderung berkembang pada trimester pertama.
Mereka akan mendapat gejala seperti wanita hamil mengalami mual pagi, keletihan dan simptom awal kehamilan yang tidak begitu seronok untuk dilalui.
Sindrom alahan mengandung suami juga akan berkurangan semasa trimester kedua, keadaan sama bagi wanita hamil yang bertambah baik pada tempoh kehamilan ini.
Gejala Couvade pada pasangan akan bertambah teruk menjelang trimester ketiga sehinggalah menghampiri saat kelahiran bayi, ia sejajar dengan keadaan wanita yang akan mengalami ketidakselesaan pada tempoh terakhir kehamilan.
[embed-health-tool-due-date]
Punca alahan mengandung pada suami
Pakar masih tidak pasti mengapa sindrom Couvade ini berlaku hanya pada sesetengah lelaki. Namun antara teori yang boleh dikaitkan dengan gejala alahan ini adalah:
-
Perubahan tahap hormon
Apabila sindrom ini berkembang, hormon prolaktin dan estrogen meningkat semasa di trimester pertama dan ketiga kehamilan, seiring dengan penurunan tahap testosteron serta hormon stress kortisol.
-
Ikatan emosi
Dipercayai bakal ayah yang banyak belajar mengenai bayi dalam kandungan akan lebih terdedah kepada sindrom ini.
-
Faktor fisiologi
Lelaki yang lebih sifat empati (penyayang) akan lebih kerap mengalami sindrom ini.
Dalam erti kata lain, mereka yang berempati dengan gejala atau kesakitan yang dihadapi pasangan yang berbadan dua cenderung terdedah kepada sindrom Couvade.
Kajian mengenai alahan mengandung pada suami
Sebuah kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Men’s Health, menunjukkan kemungkinan mengembangkan sindrom Couvade ini adalah disebabkan terikat dengan budaya.
Manakala dalam kajian lama yang diterbitkan dalam Health Care for Women International, menjelaskan bahawa lelaki yang mempunyai pasangan dengan masalah ketidaksuburan mungkin mengalami sindrom alahan ini.
Penyelidik kajian tersebut menggunakan istilah “symptom attunement” atau penyesuaian gejala bagi menggambarkan fenomena itu.
Menerusi penyelidikan dalam Journal of Reproductive and Infant Psychology, mempunyai teori bahawa sindrom ini disebabkan oleh rasa cemburu mahupun iri hati terhadap pasangan berbadan dua atau ikatan ibu-anak – dianggap sebagai krisis peralihan bergelar ibu bapa.
Malangnya, kebanyakan hasil kajian adalah tidak konsisten dan lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menentukan penyebab fisiologi sindrom Couvade terjadi.
Rawatan
Sebenarnya, tiada cara hilangkan alahan mengandung ini. Cuma ia akan hilang dengan kelahiran bayi atau beberapa tempoh selepas itu.
Namun jika terdapat sebarang kebimbangan, pasangan anda boleh mendapatkan pemeriksaan doktor untuk merawat gejala yang dialami.
Tuntasnya
Apa yang boleh kita simpulkan, sindrom Couvade atau alahan mengandung suami ini cenderung berlaku disebabkan rasa kebimbangan dan kegelisahan berkaitan kehamilan yang terjadi.
Jadi amat penting untuk kalian berdua bersama-sama menjaga antara satu sama lain.
Sebaiknya, dapatkan rehat yang mencukupi, menjaga pemakanan dengan memastikan diet seimbang dan sihat, mengelakkan pengambilan alkohol, melakukan senaman secara teratur dan melakukan teknik pernafasan mendalam, yoga atau meditasi bagi menghindari tekanan.