
Kanak-kanak adalah lemah dan lebih mudah terpengaruh. Lantaran itu, mereka lebih cenderung untuk berkhayal dan membayangkan sesuatu perkara serta mengalami ‘mimpi buruk.’
Mengapa kanak-kanak selalu alami mimpi buruk
Kanak-kanak selalu alami mimpi buruk, terutama semasa umur mereka 5 hingga 8 tahun. Ini kerana semasa tempoh sebegini, mereka mudah untuk terjejas dan terpengaruh dengan kejadian-kejadian dalam kehidupan seperti kemalangan kereta, keganasan, kematian, dan lain-lain. Anak anda juga boleh dipengaruhi oleh cerita-cerita menakutkan yang dimomokkan oleh rakan sebaya ataupun adik beradik mereka. Filem atau program yang menggerunkan juga boleh membuatkan mereka tertekan sepanjang hari dan juga malam sehingga membuatkan mimpi ngeri. Selain itu, faktor lain seperti penceraian ibu bapa, kematian dalam ahli keluarga, ataupun kemiskinan juga boleh menyumbang kepada mimpi ngeri.
Tips tangani anak yang mengalami mimpi buruk
Dengar dan cuba fahami mereka
Walaupun ketakutan anak anda kelihatan bodoh dan lucu, namun cubalah untuk memahami mereka, dan jangan menghakimi anak anda. Sebaliknya, tangani situasi tersebut dengan bertenang dan berhati-hati. Jangan mengabaikan atau mengejek mereka.
Jaminan
Penting untuk anda memberitahu anak yang anda mengambil berat dan melindungi mereka daripada apa yang mereka takuti. Sentiasa berborak dengan mereka setiap hari bagi memberitahu yang mereka selamat dengan anda dan di dalam rumah.
Ketika berada dalam gelap
Kanak-kanak sering takut berada dalam gelap. Ini kerana mereka menganggap kegelapan menyemarakkan lagi imaginasi mereka tentang makhluk yang menakutkan dan berbahaya. Jika mereka tidur dalam keadaan takut, lagilah mereka akan mengalami mimpi ngeri. Berbanding membiarkan anak dengan ketakutannya, anda ciptalah mainan dan bermain dengan mereka dalam gelap supaya mereka mengetahui bahawa kegelapan bukanlah satu yang menakutkan.
Gunakan imaginasi anda terhadap makhluk dan raksasa yang menakutkan
Kebanyakan keluarga mendapati bahawa penggunaan botol yang mengandungi bahan khayalan dipanggil ‘semburan sihir’ atau ‘semburan anti-raksasa’ adalah berkesan untuk memastikan kanak-kanak berasa selamat dan dilindungi. Jika cara ini tidak berkesan, cuba berterus-terang dengan anak anda tentang keadaan yang bagaimana untuk membuatkan mereka rasa selamat serta dilindungi.
Objek keselamatan
Ramai kanak-kanak berasa bahawa jika mereka mempunyai objek keselamatan untuk melawan raksasa semasa mereka tidur, mereka akan rasa selamat dan tidur lena. Ini juga mungkin idea yang baik untuk menyelesaikan masalah mimpi buruk anak anda. Objek keselamatan boleh jadi seperti anak patung ataupun patung beruang.
Akhir sekali, elakkan anak anda daripada menonton rancangan-rancangan televisyen atau sebarang tontonan yang mengandungi keganasan, kematian, ataupun yang boleh mengganggu anak anda. Mungkin bagi anda ianya normal, tetapi menakutkan bagi anak anda. Selain itu, mintalah anak anda untuk tidur lebih awal, dan pastikan anda tidak membiarkan mereka menonton cerita yang menakutkan terutamanya di malam hari.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.