Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
IVF Bukan Soal Siapa Salah Tapi Soal Sokongan & Kerjasama Suami Isteri
Kesuburan bukan hanya isu wanita, malah turut melibatkan lelaki. Dalam banyak kes, pasangan hanya menyedari masalah ini selepas mencuba untuk hamil dalam tempoh lama tanpa kejayaan. Ketika itu, mula timbul persoalan tentang tanda subur dan siapa yang sebenarnya mengalami kekangan kesuburan.
Sempena Hari IVF Sedunia yang disambut setiap 25 Julai, penting untuk kita fahami bahawa kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) bukan sekadar soal wanita semata-mata. Kedua-dua pihak perlu menjalani penilaian kesuburan yang lengkap kerana IVF menuntut kerjasama pasangan dalam rawatan kesuburan – bukan hanya tanggungjawab satu pihak.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Masalah subur suami isteri, perlunya komunikasi terbuka
Kebanyakan pasangan mengandaikan bahawa masalah kesuburan hanya berpunca daripada wanita.
Hakikatnya, statistik menunjukkan bahawa masalah subur suami isteri berlaku secara seimbang – sekitar 40% berpunca daripada wanita, 40% lelaki dan 20% berpunca daripada kedua-duanya atau tidak diketahui. Oleh itu, penting untuk kedua-dua pihak menjalani penilaian kesuburan bersama.
Lelaki mungkin mengalami masalah seperti jumlah sperma rendah, pergerakan sperma lemah, atau ketidakseimbangan hormon.
Wanita pula mungkin berdepan dengan isu ovulasi tidak teratur, masalah rahim atau tiub fallopio yang tersumbat. Dalam apa jua keadaan, komunikasi terbuka dan sokongan pasangan sangat membantu dalam proses ini.
Tanda subur wanita dan lelaki
Mengetahui tanda subur wanita dan lelaki adalah langkah pertama dalam meningkatkan peluang kehamilan.
Antara kesuburan wanita itu boleh dikenalpasti melalui:
Kitaran haid yang tetap
Lendir serviks yang jernih dan licin seperti putih telur
Perubahan suhu badan basal
Manakala tanda kesuburan bagi lelaki tidak semudah wanita, tetapi boleh dinilai melalui:
Tahap kesihatan yang baik bantu hasilkan sperma berkualiti.
Tahap kesihatan keseluruhan
Tahap hormon testosteron
Hasil analisis air mani – jumlah, kualiti dan pergerakan sperma
Lelaki juga digalakkan menjalani ujian air mani sekiranya percubaan untuk hamil tidak berjaya dalam masa 6–12 bulan. Pemeriksaan perubatan adalah cara terbaik untuk mendapatkan gambaran sebenar tahap kesuburan seorang lelaki.
Rawatan IVF lelaki dan wanita: bukan satu arah
Dalam proses IVF, ramai menganggap ia hanya melibatkan wanita. Hakikatnya, rawatan IVF lelaki dan wanita melibatkan pelbagai peringkat dari kedua-dua pihak.
Wanita perlu menjalani rawatan hormon untuk rangsangan ovari dan pengambilan telur serta melalui proses persenyawaan dan pemindahan embrio. Manakala lelaki perlu memberikan sampel sperma yang berkualiti pada hari prosedur.
Bagi lelaki yang mempunyai masalah sperma serius seperti tahap sperma rendah, kaedah ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection) boleh membantu meningkatkan peluang kehamilan. Ini di mana satu sperma disuntik terus ke dalam telur.
Individu yang sesuai menjalani rawatan IVF.
Peranan suami dalam IVF, bukan sekadar penyumbang
Ramai tidak menyedari betapa pentingnya peranan suami dalam IVF.
Daripada menyediakan sperma, menyokong isteri yang menjalani suntikan hormon setiap hari, hingga menemani ke setiap temujanji – kehadiran dan semangat suami memberi impak besar kepada kesihatan mental isteri.
Kajian menunjukkan bahawa wanita yang disokong secara emosi oleh pasangan semasa rawatan IVF mempunyai kadar kejayaan lebih tinggi. Jadi, peranan suami bukan kecil – malah ia adalah sebahagian daripada proses kejayaan rawatan.
Pilihan rawatan selepas kegagalan IVF
Gagal dalam cubaan pertama IVF bukan bermakna tiada harapan. Terdapat pelbagai pilihan rawatan selepas kegagalan IVF termasuk:
Penilaian semula kualiti dan genetik embrio
Laparoskopi digunakan untuk memeriksa struktur rahim, rahim, tiub fallopio dan organ reproduktif wanita, manakala sperma diperiksa melalui analisis air mani
Rawatan tambahan seperti PRP (Platelet Rich Plasma) untuk rahim
Menukar protokol ubat hormon
Dalam sesetengah kes, pasangan mungkin digalakkan untuk cuba semula selepas beberapa bulan dengan protokol yang diubah.
Berunding dengan pakar amat disarankan untuk setiap pasangan.
Setiap pasangan mempunyai kondisi berbeza, jadi perbincangan lanjut dengan pakar kesuburan adalah penting.
Kerjasama pasangan dalam rawatan kesuburan
Kerjasama pasangan dalam rawatan kesuburan adalah asas utama untuk melalui proses ini dengan tabah. Sama ada melalui IVF, IUI atau rawatan alternatif lain, pasangan yang saling memahami dan menyokong lebih berpeluang untuk berjaya.
Ini bukan hanya tentang rawatan klinikal atau mengenalpasti tanda subur semata-mata – tetapi juga soal komunikasi, kesabaran dan kekuatan emosi. Ingatlah bahawa rawatan kesuburan bukan ujian untuk seorang tetapi perjalanan untuk berdua.
Kesimpulan
Sudah tiba masanya untuk buang stigma bahawa IVF hanya masalah wanita. Masyarakat sering memberi tekanan kepada wanita apabila pasangan lambat mendapat zuriat, sedangkan realitinya kesuburan adalah tanggungjawab bersama.
Memahami tanda subur serta menjalani penilaian menyeluruh sebagai pasangan adalah asas kepada kejayaan rawatan kesuburan seperti IVF.
Kesuburan bukan isu sebelah pihak. Dengan sokongan, komunikasi dan tindakan bersama, pasangan dapat meningkatkan peluang untuk menimang cahaya mata.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Fertility – not just women’s business. https://www.yourfertility.org.au/latest-news/fertility-not-just-womens-business. Accessed on April 18, 2025.
In vitro fertilization (IVF). https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/in-vitro-fertilization/about/pac-20384716. Accessed on April 18, 2025.
The advantages and disadvantages of IVF. https://www.createfertility.co.uk/blog/the-advantages-and-disadvantages-of-ivf. Accessed on April 18, 2025.
Helping Your Partner Through the Stress of IVF. https://www.fertilitypreservation.org/blog/helping-your-partner-through-the-stress-of-ivf. Accessed on April 18, 2025.
The emotional journey of supporting your partner through IVF. https://www.createfertility.co.uk/blog/the-emotional-journey-of-supporting-your-partner-through-ivf. Accessed on April 18, 2025.
How to thrive and not simply survive during fertility treatment. https://www.hfea.gov.uk/about-us/our-blog/how-to-thrive-and-not-simply-survive-during-fertility-treatment/. Accessed on April 18, 2025.
Versi Terbaru
10/09/2025
Ditulis oleh Asyikin Md Isa
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor