
Anda dan pasangan sudahpun memutuskan untuk mendapatkan cahaya mata. Secara emosinya, ya anda telah bersedia. Namun, adakah tubuh anda juga sudah bersedia? Perancangan prakonsepsi adalah penting dalam setiap kehamilan. Anda perlu mempertimbangkan beberapa perkara di bawah jika sedang merancang untuk hamil.
Apakah jenis kaedah kontraseptif yang pernah anda gunakan?
Jika anda pernah menggunakan pil pencegah kehamilan, anda perlu menjangkakan haid anda lewat dua minggu. Akan tetapi, anda tidak perlu berhenti mengambil pil sebelum mencuba untuk hamil. Jika anda mahu menunggu beberapa bulan lagi sebelum mencuba untuk hamil, anda boleh menggunakan kondom. Sekiranya anda telah mengambil suntikan progestin, iaitu pencegah kehamilan jangka panjang, ia mungkin akan mengambil masa yang panjang untuk tubuh anda kembali normal. Separuh daripada wanita boleh hamil, 7 bulan selepas mendapatkan suntikan yang terakhir.
Adakah anda telah mendapatkan vaksin terkini?
Penyakit seperti cacar air (varicella) dan campak German (rubella) boleh mengancam nyawa bayi anda. Jika anda tidak pasti tentang imunisasi yang pernah anda dapatkan, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk melakukan ujian darah untuk pemeriksaan imuniti, atau dapatkan vaksin yang anda inginkan. Anda dinasihatkan untuk melakukan vaksin sekurang-kurangnya sebulan sebelum anda mencuba untuk hamil.
Bagaimanakah keadaan perubatan anda?
Obesiti dan penyakit kronik lain termasuk diabetes, asma atau tekanan darah tinggi boleh memberikan impak negatif kepada kehamilan anda. Jika anda ingin mengandung, anda perlu pastikan bahawa anda dapat mengawal kesihatan anda dahulu. Anda juga mungkin perlu melaras kawalan ubat untuk mempersiapkan tubuh menerima kehadiran bayi. Doktor akan memberitahu anda tentang sebarang langkah berjaga-jaga yang anda perlukan semasa kehamilan.
Adakah anda mengambil suplemen?
Anda perlu memaklumkan doktor anda tentang sebarang jenis herba atau suplemen yang sedang anda ambil. Bergantung kepada apa yang anda ambil, doktor akan menasihati anda untuk mengurangkan dos, menukar kepada jenis lain, ataupun berhenti daripada menggunakannya. Anda juga perlu untuk mengambil vitamin pranatal bagi memastikan kesihatan bayi dalam kandungan.
Adakah anda berisiko mendapat jangkitan penyakit kelamin?
Jangkitan penyakit kelamin bukan hanya menjejaskan kesuburan anda tetapi juga meletakkan anda dan bayi pada risiko sepanjang kehamilan. Jika anda percaya bahawa anda atau pasangan mungkin mendapat jangkitan, minta doktor anda untuk melakukan pemeriksaan penting dan rawatan sebelum mencuba untuk hamil.
Tidak kiralah betapa besar keinginan anda untuk mendapatkan cahaya mata, perancangan prakonsepsi adalah sesuatu yang anda tidak boleh tinggalkan jika mahu melindungi diri dan bayi anda. Selain itu, tiba masanya untuk anda membuat perubahan positif kepada gaya hidup anda. Amalkan makanan dan minuman sihat, dan berhenti merokok untuk kesejahteraan anda dan bayi.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga: