
Ramadan dan wanita hamil
Kajian menunjukkan bahawa 75% wanita Muslim yang hamil di seluruh dunia mengambil keputusan untuk berpuasa di bulan Ramadan. Bagaimanapun, cara berpuasa mereka mungkin berbeza antara satu sama lain.
Wanita hamil dibenarkan untuk memilih tidak berpuasa atas syarat-syarat tertentu terutamanya jika mungkin membawa kemudaratan kepada wanita tersebut. Ahli keluarga, doktor, bidan atau ahli agama boleh membantu anda membuat keputusan yang sesuai.
Tip untuk mudah berpuasa sewaktu hamil
Bertenang dan elakkan tekanan. Apabila anda menjalani perubahan dalam gaya hidup anda bersama dengan pengambilan makanan dan air yang terhad, anda mungkin mengalami tekanan yang besar. Kajian mendapati bahawa wanita hamil yang berpuasa pada bulan Ramadan mempunyai tahap kortisol yang lebih tinggi (hormon tekanan) berbanding mereka yang tidak berpuasa.
Jangan terlalu memaksa diri. Sebagai seorang wanita hamil, terdapat banyak perkara yang terpaksa anda terima demi kesihatan bayi anda. Contohnya, anda tidak sepatutnya berjaga malam bersama seluruh ahli keluarga anda semasa Ramadan ini. Sebaliknya, nilai apa yang mampu anda lakukan dan berehat secukupnya.
Dapatkan nasihat daripada mereka yang sudah melalui ibadah puasa sewaktu hamil. Mereka boleh memberikan anda petua dan cadangan yang baik.
Duduk di tempat yang sejuk sebanyak mungkin dan minum banyak air untuk kekal terhidrasi.
Rancang jadual pemeriksaan anda. Ingat bahawa dalam tempoh masa ini, anda memerlukan pemeriksaan lebih kerap daripada biasa.
Elakkan banyak berjalan kaki dan mengangkat berat.
Elakkan perkara yang banyak memakan tenaga dan membuat anda lebih letih.
Rancangan pemakanan sewaktu puasa
Pilih menu sihat yang mengandungi pelbagai jenis makanan dan minuman kesihatan. Nikmati makanan yang menyihatkan sewaktu sahur dan iftar. Untuk memastikan anda tidak terlupa sahur, tetapkan loceng penggera. Makan makanan ringan pada waktu malam juga merupakan idea yang baik.
Pilih makanan yang menjadikan anda kenyang lebih lama. Anda perlukan karbohidrat kompleks, di samping makanan kaya serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan kering, dan kekacang. Makanan berikut melepaskan tenaga secara perlahan-lahan sambil mengurangkan risiko sembelit.
Cuba hadkan pengambilan makanan yang tinggi gula. Ini mungkin menyumbang kepada peningkatan paras gula darah anda. Selepas kenaikan mendadak ini, gula darah anda akan jatuh mendadak, sehingga anda berasa lemah dan pening.
Pilih makanan rendah lemak dan bijirin seperti kentang atau kacang goreng dan bukan makanan tinggi lemak atau makanan yang diproses.
Pastikan anda mengambil protein yang cukup seperti yang diperlukan untuk menjamin pertumbuhan bayi anda. Anda boleh mendapatkan protein dalam kekacang, telur, dan daging yang dimasak dengan baik.
1.5 liter hingga 2 liter adalah jumlah cecair yang perlu anda minum. Elakkan minuman berkafein seperti teh dan kopi. Minuman tersebut menyebabkan dehidrasi akibat kerap membuang air.
Bagaimana untuk memastikan saya bersedia untuk Ramadan?
Anda boleh meminta penjaga kesihatan anda melakukan pemeriksaan kesihatan umum sebelum berpuasa. Anda juga boleh cuba berpuasa selama beberapa hari untuk melihat tindak balas badan anda. Selepas percubaan, rujuk kembali kepada bidan anda untuk pemeriksaan sekali lagi. Jika semuanya baik-baik saja, anda bersedia untuk menghadapi bulan Ramadan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Baca juga: