Sememangnya bentuk faraj selepas bersalin secara semula jadi akan berubah. Bagaimana pula dengan faraj bengkak selepas bersalin, adakah keadaan itu normal?
Jom fahami lebih mendalam mengenai keadaan miss V selepas melahirkan anak, barulah hati ibu tak bimbang lagi!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Bentuk faraj selepas bersalin
Semasa proses kelahiran secara normal, bayi bergerak melalui serviks dan keluar melalui faraj – dikenali sebagai saluran kelahiran.
Sudah tentu jalan masuk ke faraj akan meregang untuk membolehkan bayi melaluinya.
Ada kalanya kulit antara faraj dan dubur – perineum – mungkin terkoyak atau dipotong oleh doktor untuk membolehkan bayi keluar. Prosedur itu disebut sebagai episiotomi.
Selepas melahirkan bayi, normal untuk wanita berasa faraj menjadi longgar atau kering berbanding sebelumnya.
Ada juga yang mengalami kesakitan bahagian peranakan atau semasa melakukan hubungan seksual bersama pasangan.
Tidak kurang juga wanita dengan masalah kentut faraj selepas bersalin.
Rasa faraj bengkak selepas bersalin?
Miss V mungkin tampak lebih lebar, longgar, lembut dan ‘terbuka’ berbanding sebelumnya. Ia mungkin kelihatan dan terasa bengkak atau lebam.
Semua itu adalah normal dan akan berkurangan selepas beberapa hari melahirkan anak.
Seperkara perlu difahami, faraj anda tidak mungkin akan kembali sepenuhnya seperti sebelum beranak dan ia tidak akan mendatangkan sebarang masalah.
Jika keadaan itu mewujudkan rasa bimbang, senaman lantai pelvik dapat membantu mengatasi perubahan bentuk faraj selepas bersalin.
Lebih dikenali sebagai senaman Kegel, amalan ini dipercayai dapat menenangkan otot faraj dan otot lantai pelvik.
Senaman tersebut juga membantu mengelakkan kebocoran air kencing – inkontinen urin, antara masalah yang biasa bagi ibu selepas beranak dan membuatkan miss V terasa lebih ketat.
Selain mudah serta boleh dilakukan tanpa mengira masa, senaman Kegel boleh mengatasi masalah kentut faraj selepas bersalin dan membuatkan anda lebih menikmati hubungan seks.
Cara melakukan senaman Kegel
- Kemutkan dan regangkan faraj dan dubur pada masa yang sama. Ulang teknik ini dalam tempoh yang cepat
- Kemudian lakukan ia secara perlahan-lahan. Tahan kemutan selama yang boleh tetapi pastikan tidak melebihi 10 saat sebelum meregangkannya
- Ulangi senaman ini 10 kali setiap sesi, antara 4 hingga 6 kali sehari
Keliru bagaimana untuk mengemutkan faraj dan dubur? Bayangkan seperti anda sedang menahan kentut, pergerakan usus atau berhenti membuang air kecil.
Kekeringan, salah satu perubahan bentuk faraj selepas bersalin
Selain daripada masalah kentut faraj selepas bersalin, kekeringan pada miss V juga adalah perkara biasa.
Ia dikaitkan dengan tahap estrogen lebih rendah dalam tubuh berbanding semasa hamil.
Bagi ibu menyusu badan, kadar hormon itu adalah lebih rendah daripada wanita yang tidak menyusu badan dan kekeringan faraj juga lebih ketara.
Sebaik sahaja berhenti menyusu dan mengalami haid, estrogen kembali berada pada tahap prakehamilan. Kekeringan yang dialami juga akan bertambah baik.
Jika anda sudah kembali melakukan seks dan perubahan bentuk faraj selepas bersalin seperti kekeringan menyebabkan ketidakselesaan, gunakanlah pelincir.
Gunakan pelincir berasaskan air jika menggunakan kondom jenis lateks atau polisoprena, kerana pelincir berasaskan minyak seperti pelembap atau losen boleh menyebabkan kondom koyak.
Jika kekeringan berterusan dan menjejaskan kehidupan seks anda, berundinglah dengan doktor.
Baca juga: