backup og meta

Wanita Hamil TOLONG Berhenti Merokok. Jika Tidak, Ini Padahnya Terhadap Janin!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/08/2020

    Wanita Hamil TOLONG Berhenti Merokok. Jika Tidak, Ini Padahnya Terhadap Janin!

    Merokok sememangnya satu tabiat yang merosakkan setiap aspek kehidupan manusia terutamanya kesihatan. Malangnya, perbuatan ini sudah dianggap sebagai norma atau trend dalam kehidupan masyarakat kini. Lebih menakutkan, ada juga ibu hamil yang merokok!

    Persoalannya, apakah kesannya terhadap bayi dalam kandungan mereka? Apakah bahaya yang menanti kepada bayi dan juga bakal ibu? Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut untuk mengetahui kesan merokok terhadap janin dan juga wanita hamil.

    Mengapa merokok bahaya buat ibu hamil?

    Sebelum itu, anda perlu tahu bahawa kandungan nikotin yang terdapat dalam sebatang rokok sebenarnya akan meresap masuk ke dalam darah seterusnya merangsang ‘dopamine pathway’ yang berada di dalam otak.

    Ia mengakibatkan individu berasa teruja namun jika kandungan nikotin dalam darah berkurangan, mereka mula menjadi lesu. Akhirnya, ini akan menyebabkan ketagihan nikotin.

    Merokok sangat berbahaya buat wanita hamil kerana bahan kimia yang terdapat di dalamnya. Bahan kimia ini jika disedut akan masuk ke dalam salur darah lalu mencemarkannya.

    Ia juga akan meresap masuk ke dalam janin melalui salur darah plasenta.

    Disebabkan bayi dan ibu adalah perhubungan secara terus dengan darah si ibu, bayi akan mudah terdedah kepadanya. Ini kemudiannya akan mengakibatkan pelbagai implikasi yang negatif.

    Kesan merokok terhadap janin dalam perut

    #1. Keguguran atau kematian janin

    Menurut kajian yang dilakukan oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC), merokok meningkatkan peratusan keguguran dan kematian janin akibat bahan kimia yang terdapat di dalam rokok.

    Dalam pada itu, keguguran janin biasa berlaku semasa 3 bulan pertama kehamilan. Kematian janin pula selalu berlaku selepas 20 minggu kehamilan di mana bayi sudah mula matang.

    Jadi, ibu hamil sila berhenti segera untuk mengelakkan perkara ini berlaku ya?

    #2. Kehamilan ektopik (luar rahim)

    Menurut kajian yang dikeluarkan oleh jurnal PLoS One, nikotin mampu menyebabkan kontraksi pada tiub fallopio. Ini kemudiannya akan menghalang janin daripada melepasinya lalu menyebabkan kehamilan luar rahim.

    Jika ini berlaku, janin tersebut perlu dikeluarkan untuk mengelakkan komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa si ibu. Anda mahu jadi begitu? Jadi, segera berhenti merokok!

    #3. Plasenta previa (uri di bawah)

    Semasa kehamilan, uri kebiasaannya akan berada di dalam rahim dan menuju ke arah atas untuk memberi ruang serviks terbuka bagi tujuan melahirkan bayi kelak.

    Namun begitu, tabiat merokok akan meningkatkan risiko uri berada di bawah. Ini adalah berbahaya kerana ia mampu menyebabkan kekoyakan dan pendarahan pada plasenta.

    ibu hamil

    #4. Kelahiran bayi pramatang

    Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), merokok sememangnya mampu menyebabkan kelahiran bayi pramatang. Ini perlu dielakkan sama sekali kerana bayi pramatang akan mengalami pelbagai kondisi kesihatan, komplikasi dan kecacatan yang akhirnya boleh mengundang kepada kematian bayi.

    #5. Kelahiran bayi kurang berat

    Selain melahirkan bayi pramatang, tabiat merokok juga meningkatkan risiko bayi lahir kurang berat. Sama seperti bayi pramatang, bayi kurang berat juga akan mengalami pelbagai masalah kesihatan dan ketidakupayaan dan paling bahaya, ia juga mampu membawa maut.

    #6. Kecacatan janin

    Tabiat wanita hamil merokok juga mampu menyebabkan berlakunya kecacatan pada janin. Antara jenis kecacatan yang sering berlaku adalah masalah jantung berlubang dan masalah struktur jantung. Selain masalah jantung, merokok semasa hamil juga merupakan antara punca berlakunya kecacatan pada bibir bayi seperti sumbing.

    Selain kesan merokok terhadap janin yang telah disenaraikan di atas, terdapat banyak lagi mudarat merokok. Jelas sekali, akan berlaku pelbagai komplikasi kepada janin dalam kandungan jika wanita hamil merokok.  

    Oleh itu, berhentilah merokok tanpa mengira anda hamil atau tidak kerana merokok sememangnya akan mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan kita secara total.

    Ibu hamil, tolong berhenti merokok segera

    Kesimpulannya, tolonglah berhenti dari melakukan tabiat buruk ini. Sama ada ada mengandung atau tidak, itu bukan persoalannya. Merokok banyak kemuduratannya. Adakah anda mahu sesuatu perkara buruk terjadi kepada anda baru anda mahu berhenti? Fikirkannya semula ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan