Bagi mereka yang pertama kali hamil, pastinya banyak persoalan yang bermain di minda berkenaan kehamilan yang selamat. Untuk membantu menjalani fasa kehamilan dengan baik, kami berikan panduan mengikut trimester kehamilan anda.
Selain itu, ada beberapa kaedah penjagaan awal kehamilan yang boleh anda ikuti.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Trimester kehamilan: Trimester pertama
Trimester pertama kehamilan melibatkan tiga bulan setelah anda disahkan hamil.
Perubahan fizikal tubuh badan adalah perkara yang paling jelas berlaku sewaktu trimester pertama.
Antara perubahan yang mungkin anda alami seperti keletihan, loya dan payudara menjadi lebih lembut.
Anda juga mungkin akan mengalami perubahan pada mental seperti berasa teruja atau menjadi resah.
Selain itu, perkembangan janin juga akan bermula dengan pantas pada waktu ini.
Beberapa organ penting bayi seperti otak, jantung dan saraf tunjang akan mula terbentuk.
Begitu juga dengan jari-jemari kaki dan tangannya.
Bermula daripada trimester pertama, anda sudah sepatutnya membuat temu janji bersama doktor sebagai langkah penjagaan awal kehamilan.
Trimester kehamilan: Trimester kedua
Trimester kedua pula melibatkan tempoh daripada bulan keempat hingga bulan keenam.
Pada waktu ini, ia mungkin boleh dikatakan fasa yang lebih baik berbanding trimester pertama.
Pada trimester kedua, bayi di dalam kandungan anda akan terbentuk dengan lebih jelas.
Anda sudah boleh merasakan pergerakan bayi pada trimester ini.
Selain itu, pendengaran bayi anda juga sudah mula terbentuk pada fasa ini.
Untuk ibu hamil pula, akan berlaku beberapa perubahan pada tubuh anda.
Antaranya ialah payudara yang semakin membesar selain perubahan pada kulit.
Trimester kehamilan: Trimester ketiga
Trimester ketiga pula adalah bulan terakhir kehamilan sehinggalah anda melahirkan anak.
Pada ketika ini, anda mungkin agak sukar untuk bergerak memandangkan fizikal perut yang semakin besar.
Pada fasa ini juga, ia mungkin lebih mencabar berbanding trimester pertama dan kedua.
Anda juga mungkin akan kerap mengalami sakit belakang dan pedih ulu hati.
Untuk bayi pula, saiznya sudah pasti akan semakin besar dan bertambah berat.
Bayi dalam kandungan juga akan lebih banyak membuat pergerakan berbanding sebelum ini.
Masalah berkaitan kehamilan
Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan semasa hamil, ibu perlu mengetahui bagaimana ia boleh menjejaskan kehamilan.
Sebagai contoh, mereka yang mempunyai diabetes atau kemurungan perlu mengetahui komplikasi terhadap kandungan yang boleh berlaku.
Kesemua ini bertujuan untuk menjaga kesihatan bayi yang bakal dilahirkan kelak.
Sekiranya anda berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi akibat penyakit tersebut, pastikan anda sentiasa merujuk kepada doktor.
Doktor akan memantau dan memberikan nasihat serta cadangan bagi mengelakkan sebarang masalah ketika kehamilan.
Penjagaan awal kehamilan: Trimester pertama
Ketika trimester pertama, penjagaan awal kehamilan melibatkan beberapa ujian dan pemeriksaan seperti ujian darah, pemeriksaan fizikal serta khidmat nasihat berkaitan gaya hidup.
Doktor juga mungkin akan melakukan beberapa pemeriksaan lain seperti mengukur paras hemoglobin, melihat tahap imuniti tubuh, penyakit dan gangguan yang mungkin sedang anda alami.
Penjagaan awal kehamilan: Trimester kedua
Pada fasa ini, anda mungkin akan menjalani ujian kesihatan seperti biasa.
Selain itu, doktor juga akan melihat kepada saiz atau tumbesaran bayi di dalam kandungan.
Pada ketika ini juga, ibu hamil boleh mendengar degup jantung bayi mereka.
Ibu hamil juga perlu memaklumkan kepada doktor sekiranya menyedari sebarang pergerakan bayi.
Penjagaan awal kehamilan: Trimester ketiga
Pada trimester ketiga, penjagaan awal kehamilan mungkin akan melibatkan pemeriksaan faraj bagi melihat kedudukan bayi.
Selain itu, anda mungkin akan lebih kerap berjumpa doktor memandangkan tarikh kelahiran yang sudah semakin hampir.
Anda mungkin akan berjumpa doktor setiap minggu atau dua minggu bergantung kepada tahap kesihatan diri.
Doktor mungkin akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada anda seperti keadaan kontraksi, kebocoran cecair, tekanan darah dan pertambahan berat badan.
Doktor juga akan melihat kepada degupan jantung dan pergerakan bayi bagi memastikan si kecil sentiasa sihat di dalam kandungan.
Kesimpulan
Untuk memastikan kehamilan berjalan lancar tanpa sebarang masalah, anda perlu kerap berjumpa dan bertanya kepada doktor.
Selain itu, tanyakan kepada doktor sebarang perkara yang ingin anda lakukan sewaktu hamil agar ia tidak menjejaskan kandungan.
Dengan mendapatkan nasihat doktor, ini akan menjadikan proses kehamilan lebih selamat kerana sentiasa dipantau oleh doktor yang menjaga anda.
[embed-health-tool-due-date]