Salah satu fahaman yang cukup meluas dalam dunia reproduktif adalah seks ketika hamil, khususnya dalam tempoh trimester ketiga, membuatkan wanita akan cepat bersalin. Walau bagaimanapun, menurut kajian terbaru yang dilakukan di Malaysia, fahaman tersebut terbukti tidak lagi benar.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Fahaman semasa seks ketika hamil bantu cepat bersalin
Kehamilan merupakan satu pengalaman yang cukup mengujakan tidak kiralah sama ada ia adalah kali pertama mengandung ataupun bukan.
Detik manis untuk kedua-dua pasangan ini pasti lebih bermakna jika anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata.
Di sebalik keterujaan untuk menerima ahli baru ini, mungkin anda pernah terdengar bahawa terdapat beberapa perkara yang dapat mempercepatkan cetusan proses kelahiran. Ya, saya maksudkan seks.
Untuk sekian lama, ramai pihak percaya, termasuk dalam komuniti perubatan sendiri, bahawa melakukan seks ketika hamil dapat mencetuskan proses kelahiran.
Teori ini bukannya tidak berasas – sebaliknya, terdapat beberapa penjelasan yang digunakan untuk mengukuhkan teori ini. Salah satu daripada penjelasan tersebut adalah kerana hubungan seks ketika hamil didapati akan menghasilkan peningkatan dalam aktiviti kontraksi rahim (uterus).

Selain itu, terdapat juga penjelasan yang melihat kepada peranan kandungan air mani. Air mani mengandungi prostaglandin E yang tinggi diikuti oleh kandungan prostaglandin F2α yang lebih rendah.
Prostaglandin pula adalah cecair kimia yang digunakan untuk mencetuskan kelahiran kerana ia menggalakkan kontraksi rahim.
Tiada kaitan seks ketika hamil dan cepat bersalin
Di sebalik populariti kefahaman tersebut, satu kajian baru mendapati tidak ada sebarang perbezaan dari segi waktu kelahiran dalam pasangan yang melakukan seks di peringkat akhir kehamilan dengan pasangan tidak melakukannya.
Walaupun terdapat beberapa kajian yang telah menunjukkan bahawa seks mungkin berkaitan dengan proses cepat bersalin, kajian-kajian kecil ini tidak konklusif.
Oleh itu, Dr. Tan dan pasukan beliau memilih untuk melakukan kajian bagi melihat kesan seks dalam minggu-minggu terkahir kehamilan, terhadap cetusan kelahiran.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal BJOG melibatkan penyertaan lebih 1,100 wanita dalam tempoh 35 hingga 38 minggu hamil. Wanita-wanita ini juga dikenal pasti tidak melakukan sebarang hubungan kelamin dalam tempoh 6 minggu sebelumnya.
Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan.
Bagi kumpulan pertama, mereka dinasihati dan digalakkan untuk melakukan seks sekerap mungkin dalam minggu-minggu terkahir kehamilan bagi mengelakkan penggunaan ubat sebagai cara cepat bukaan bersalin di hospital. (medically-induced).
Untuk kumpulan kedua pula, mereka tidak digalakkan tetapi tidak pula dihalang daripada melakukan seks.
Sebaliknya, mereka hanya diberitahu bahawa seks adalah selamat tetapi kesannya ke atas proses kelahiran tidak diketahui. Pasukan pengkaji kemudiannya merekodkan tempoh kehamilan mereka.

Dapat kajian mendapati kadar keperluan untuk cetusan proses kehamilan secara perubatan adalah hampir sama untuk kedua-dua kumpulan (22% dalam kumpulan pertama dan 20.8% dalam kumpulan kedua).
Perbezaan peratusan ini terlalu kecil dan tidak signifikan untuk membuat sebarang kaitan.
Menurut Dr. Tan Peng Chiong, Pakar Sakit Puan daripada Universiti Malaya, merangkap salah seorang penulis untuk kajian ini,
“Kami sedikit kecewa dengan keputusan yang diperoleh kerana ia tidak menunjukkan sebarang kaitan (antara seks ketika hamil dan juga cetusan cepat bersalin).”
“Bagus juga kalau pasangan mempunyai sesuatu (aktiviti) yang berkesan, selamat dan juga menyeronokan untuk mereka lakukan bersama bagi mencetuskan proses kelahiran lebih awal jika mereka mahu,” tambah Dr. Tan lagi.
Menghapuskan mitos yang kuat tersemat
Walaupun kajian ini tidak menunjukkan sebarang peningkatan dalam kepantasan kelahiran atau penurunan dalam kadar pencetusan kelahiran, ia membantu untuk mengukuhkan pendapat bahawa seks ketika hamil adalah selamat.
Ini bertentangan dengan amaran yang mencadangkan agar pasangan berhati-hati jika mereka ingin melakukan seks ketika hamil.

Tambah Dr. Tan lagi, keputusan kajian ini menunjukkan bahawa kehamilan telah berevolusi menjadi lebih rintang terhadap gangguan. Ini adalah sesuatu yang masuk akal kerana proses kehamilan adalah sesuatu yang bernilai dan ia perlu mempunyai sedikit daya tahan untuk mencapai kemandirian spesies.
Selain seks, terdapat juga kaedah-kaedah lain yang diuar-uarkan sebagai petua orang tua cepat bersalin seperti mandi air panas, pengguna minyak kastor, makanan tambahan berunsur herbal dan juga akupuntur.
Menurut Servis Kesihatan Kebangsaan UK (NHS), kesemua kaedah-kaedah ini tidak mempunyai sebarang sokongan kajian untuk mengatakan ia berkesan dalam mencetuskan kelahiran.
Pasangan tidak perlu lagi risau jika mereka ingin melakukan hubungan seks semasa berada di minggu-minggu akhir kehamilan. Namun, jika air ketuban sudah pecah, hubungan seks perlu dielakkan kerana ia berisiko untuk menyebabkan jangkitan pada bayi.
[embed-health-tool-due-date]