
Risau terlambat untuk melahirkan
Kebanyakan ibu hamil risau kandungannya akan lahir di tempat selain katil hospital akibat terlambat. Sebenarnya, proses melahirkan anak tidak berlaku dengan secepatnya. Sekiranya anda pernah melahirkan anak sebelum ini, proses kali kedua ini tidak serumit yang pertama. Berhubung dengan doktor untuk mengetahui tanda-tanda sebenar saat melahirkan semakin dekat agar anda dapat merancang masa dengan sebaik mungkin. Selain itu, sediakan persiapan yang secukupnya agar anda bersedia untuk ke hospital pada bila-bila masa sahaja.
Risau terhadap kesakitan
Kerisauan ini sememangnya dialami oleh setiap ibu hamil. Jika kerisauan ini berterusan dan semakin teruk, berbincanglah dengan doktor anda tentang pengambilan ubat semasa melahirkan. Menurut pakar, pengambilan ubat semasa melahirkan tidak memudaratkan bayi dalam kandungan dan cuma membuatkan bayi anda berasa mengantuk. Untuk lebih selamat, anda boleh memastikan doktor anda meminimumkan dos ubat demi mengurangkan kesan sampingannya. Anda juga boleh menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil yang boleh mengajar anda teknik pernafasan efektif saat melahirkan. Anda juga perlu percaya terhadap staf profesional yang membantu anda saat melahirkan terutamanya jururawat anda demi menimbulkan perasaan yang lebih tenang dan selamat.
Risau terhadap kesan epidural
Suntikan epidural boleh membantu mengurangkan sakit ketika melahirkan tetapi ibu hamil juga sebenarnya risau terhadap kesan sampingannya. Ini akan menjadikan ibu hamil tidak mahu mengambil suntikan ini. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi kerisauan para ibu kerana kesan sampingan yang berlaku akibat suntikan epidural seperti pening kepala boleh dirawat dengan mudah. Selain itu, suntikan ini juga tidak akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih membimbangkan.
Risau terhadap kaedah C-section
Kaedah C-section atau Cesarean adalah proses melahirkan yang sudah menjadi kebiasaan masa kini. Namun begitu, kebanyakan ibu hamil masih risau terhadap prosedur, kesan dan risiko pembedahan ini. Anda boleh bertanya kepada doktor anda jika terdapat sebarang cara untuk mengelakkan pembedahan ini. Sekiranya tiada, anda perlu tenang dan mempercayai doktor anda. Dalam beberapa kes, pembedahan Cesarean adalah jalan yang terbaik sekiranya bayi dalam kandungan anda terlalu besar untuk saiz badan anda atau bayi anda berada dalam kedudukan posisi yang tidak normal semasa melahirkan. Selain itu, bukaan serviks yang tidak cukup juga memerlukan anda melakukan pembedahan ini.
Risau terkeluar najis ketika melahirkan
Meskipun tidak terlalu bahaya seperti kerisauan yang lain, kerisauan ini membuatkan ibu hamil menjadi malu. Kebanyakan Ibu hamil terlalu malu untuk membincangkan perkara ini dengan doktor atau individu lain. Hakikatnya, keadaan ini boleh terjadi dan tidak perlu dirisaukan. Ini kerana keadaan ini adalah sangat normal sekiranya anda bersalin secara normal. Anda juga perlu tahu bahawa pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat sudah biasa dengan keadaan ini yang mereka anggap sudah sebati dalam kehidupan mereka sebagai pakar perubatan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.