Kenapa sakit tepi telinga? Kenapa gegendang telinga sakit? Kenapa sakit telinga bila selsema? Bukan mudah untuk kita kenal pasti punca sakit telinga berikutan terdapat banyak diagnosis yang berkait dengannya.
Lazimnya, simptom ini sering dialami oleh kanak-kanak. Namun, orang dewasa juga boleh mengalaminya.
Dalam pada itu, aduan lebih banyak melibatkan sakit sebelah telinga dengan karakter sakit yang seakan mencucuk atau rasa terbakar.
Artikel ini akan menerangkan sebab sakit telinga dan rawatan baginya. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keadaan Telinga, Hidung/Tekak, sila dapatkan di sini.
Apa punca sakit telinga yang lazim?
Kenapa sakit tepi telinga? Kenapa gegendang telinga sakit? Kenapa sakit telinga bila selsema?
Sakit telinga boleh mempunyai punca langsung dan tidak langsung. Bagi punca langsung, ia berlaku akibat proses penyakit yang mempengaruhi telinga itu sendiri.
Sementara itu, bagi sebab tidak langsung pula, punca sakit telinga boleh berasal daripada struktur lain seperti gigi atau dagu dan kesakitannya dirasai pada telinga.
Keadaan ini turut dikenali sebagai kesakitan yang dirujuk (referred pain).
Antara punca sakit telinga yang lazim didiagnosis adalah seperti berikut.
Jangkitan telinga
Jangkitan kuman adalah punca yang paling lazim didiagnosis bagi simptom berkait dengan sakit telinga.
Ia boleh berlaku pada luar, bahagian tengah atau dalam telinga.
Bagi jangkitan luar telinga, ia boleh berpunca daripada aktiviti renang, pemakaian alat bantu dengar atau ‘earphone’ atau luka pada bahagian luar telinga.
Situasi tersebut boleh menjadi lokasi ideal untuk pembiakan bakteria.
Jangkitan bahagian tengah telinga pula sering berlaku akibat jangkitan saluran pernafasan. Cecair boleh berkumpul di belakang gegendang telinga sehingga membolehkan bakteria untuk membiak.
Sementara itu, labirintitis adalah masalah jangkitan telinga dalam yang berpunca daripada jangkitan bakteria atau virus pernafasan.
Punca lazim bukan jangkitan telinga
Bukan semua punca sakit telinga berlaku akibat jangkitan. Bagi punca selain jangkitan adalah seperti berikut:
- Perubahan tekanan di dalam telinga (sewaktu menaiki kapal terbang)
- Tahi telinga banyak
- Objek asing di dalam telinga
- Jangkitan bakteria pada tekak
- Jangkitan sinus
- Syampu atau air tersumbat di dalam telinga
- Penggunaan putik kapas di dalam telinga
Bagi punca tidak lazim untuk sakit telinga pula adalah:
- Sindrom sendi temporomandibular (TMJ)
- Gegendang telinga berlubang
- Sakit saraf muka kronik
- Radang sendi pada dagu
- Jangkitan gigi dan mulut
- Ekzema di dalam lohong telinga
Simptom yang boleh dialami
Gejala sakit telinga jarang datang bersendirian. Ia kebiasaannya datang dengan simptom lain yang boleh memberi klu kepada doktor untuk membuat diagnosis.
Bagi orang dewasa, simptom yang boleh dialami selain sakit telinga adalah:
- Kurang pendengaran
- Cecair keluar daripada dalam telinga
Sementara itu, kanak kanak akan mengalami simptom seperti:
- Sakit telinga
- Kurang pendengaran
- Demam
- Rasa penuh di dalam telinga
- Sukar tidur
- Menangis
- Sakit kepala
- Kurang selera makan
- Tidak seimbang
Sebab sakit telinga tidak semestinya bermula daripada telinga, anda tidak boleh membuat diagnosis tanpa bantuan doktor.
Rujukan kepada profesional boleh membantu anda mengenal pasti sebab berlakunya gejala tersebut dan rawatan boleh diberikan mengikut keperluan semasa.
Rawatan untuk sakit telinga
Secara teorinya, rawatan bagi masalah sakit telinga bergantung kepada diagnosis. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang anda boleh cuba di rumah untuk mengurangkan rasa sakit.
- Basahkan kain dengan air sejuk dan tuam pada telinga yang sakit.
- Pastikan telinga anda tidak terlalu basah.
- Duduk dengan postur yang betul untuk melegakan tekanan di dalam telinga.
- Guna ubat titik telinga yang boleh dibeli tanpa preskripsi (OTC).
- Ambil ubat tahan sakit OTC.
- Kunyah gula-gula getah untuk melegakan tekanan di dalam telinga.
- Jika sakit telinga dialami oleh bayi, anda boleh memberi mereka makan (atau menyusu).
Jika anda mengalami simptom jangkitan seperti demam, anda perlu mendapatkan khidmat doktor bagi mendapatkan preskripsi antibiotik.
Perhatian!
Sekiranya punca sakit anda disebabkan pengumpulan tahi telinga, anda boleh guna ubat titik untuk melembutkan tahi telinga tersebut.
Konklusi
Terdapat banyak punca sakit telinga dalam kalangan orang dewasa dan ia boleh terjadi akibat proses penyakit langsung atau tidak langsung.
Sekiranya anda mengalami simptom sakit telinga, pastikan anda rujuk kepada doktor perubatan untuk pemeriksaan dan rawatan.