Siapa sahaja yang boleh tahan dengan bunyi bising ketika tidur, bukan? Penutup telinga (earplug) dicipta untuk tujuan yang satu ini!
Mungkin ramai yang berpendapat bahawa penggunaannya adalah agar tidur anda lebih berkualiti dan berkuantiti.
Pun begitu, kalian tidak seharusnya begitu yakin bahawa ia benar-benar selamat sebelum mengikuti artikel ini.
Kenapa? Tenang, jom sama-sama kita rungkai misteri ini dengan lebih mendalam lagi!
Penutup telinga untuk tidur yang lebih lena?
Earplug adalah objek yang sangat umum digunakan ketika lena kerana ia mampu menghalang bunyi bising daripada mengganggu tidur anda.
Buat anda yang tinggal di kawasan bandar atau dekat dengan jalan besar, maka ia mungkin sangat membantu.
Segala bunyi kenderaan, perbualan, mesin atau hingar-bingar kota pasti dapat ditangkis dengan cara mudah ini.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam Iranian Journal of Nursing and Midwifery Research, dikatakan bahawa penutup telinga mampu membantu merangsang tubuh badan menghasilkan hormon melatonin.
Buat anda yang mungkin belum tahu tentangnya, hormon inilah yang berfungsi membantu tubuh badan untuk lebih relaks agar kita mudah berehat dan tertidur.
Dalam pada itu, tidur dengan earplug juga sangat penting untuk mendapatkan tidur yang lena, cukup lantas membuat tubuh badan lebih segar-bugar pada keesokan hari.
Secara umum, penggunaannya bukan sahaja bagus malah juga selamat untuk tubuh badan!
Pakai earplug semasa tidur masih ada risiko?
Kalian harus ingat bahawa setiap perkara pasti ada pro dan kontranya masing-masing begitu juga dengan penutup telinga untuk tidur ini.
Di sebalik manfaat yang kami senaraikan di atas tadi, penggunaan earplug juga sebenarnya boleh memberikan kesan negatif.
Sekiranya anda terlalu kerap menggunakannya, ia mungkin akan membuat telinga tersumbat dengan tahi telinga.
Ketika tidur, telinga kita secara automatiknya akan memproses sendiri tahi telinga atau kotoran agar ia tidak masuk ke dalam telinga.
Namun jika anda tidur dengan earplug, maka tahi telinga dan kotoran ini mungkin akan masuk semula, berkumpul lantas tersumbat.
Bukan itu sahaja, penyumbatan ini juga mungkin akan meningkatkan risiko telinga anda dijangkiti dengan kuman, bakteria atau virus.
Kesannya? Ini yang mungkin kalian alami pada telinga:
- Kekotoran
- Kegatalan
- Kesukaran mendengar
- Vertigo (rasa diri seakan terpusing)
- Tinnitus (telinga berdengung/ berdesing)
Sekiranya anda mengalami gejala-gejala ini atau sebarang ketidakselesaan akibat perbuatan tidur dengan penutup telinga, segera berjumpa doktor ya?
Ini petua yang kalian boleh amalkan!
Mahu terus menggunakan penutup telinga untuk tidur walaupun sudah tahu akan risiko alat ini? Boleh, namun cara penggunaannya perlu tepat.
Sebelum itu, tanya pada diri sendiri sama ada anda memang benar-benar memerlukan ia untuk tidur terlebih dahulu.
Jika tidak dan anda masih boleh tidur walaupun sedikit sukar, adalah disarankan untuk kalian tidak menggunakannya.
Dalam pada itu, ketahuilah bahawa penggunaan earplug dibolehkan pada waktu anda memang sukar tidur. Namun, janganlah pakai terlalu kerap.
Menurut Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC), berikut adalah cara menggunakan penutup telinga untuk tidur yang tepat:
- Bersihkan tangan sebelum menyentuh atau memegang penutup telinga untuk tidur
- Bersihkan earplug sebelum memasangnya ke dalam telinga
- Pastikan earplug kering sebelum memasangnya ke dalam telinga
- Masukkan earplug ke dalam telinga dengan lembut
- Jika sudah terpasang dan tidak mudah tercabut, jangan memaksanya untuk masuk lebih dalam
- Jika earplug anda itu menggunakan kapas, jangan lupa untuk cuci dan ganti secara berkala
- Gunakan penutup telinga untuk tidur yang berkualiti tinggi sahaja
Boleh pakai penutup telinga untuk tidur secara berkala
Konklusinya, penggunaan earplug adalah sangat bagus terutamanya buat mereka yang tinggal di kawasan yang sibuk dan bising seperti di bandar.
Ia mungkin akan membuat tidur anda lebih berkualiti dan berkuantiti.
Pun begitu, ketahuilah ia juga akan membawa risikonya yang tersendiri seperti penyumbatan tahi telinga, kotoran dan jangkitan kuman, bakteria atau virus.
Disebabkan itu, adalah wajar untuk kalian menggunakannya dengan berwaspada dan berpandukan kepada petua yang kami nyatakan di atas tadi.
Sebenarnya, adalah lebih baik untuk tidur tanpa menggunakannya.
Jika terpaksa, gunakan penutup telinga untuk tidur secara berkala.