Penjagaan telinga adalah perkara yang selalu dianggap mudah. Ini kerana kebanyakan antara kita merasakan, malah percaya dengan menggunakan putik kapas (cotton bud) pada bahagian telinga untuk mengeluarkan earwax adalah cara terbaik untuk membersihkan telinga. Apakah sebenarnya fungsi earwax dalam telinga?
Apakah itu earwax?
Ramai individu menganggap bahawa earwax adalah sesuatu yang boleh menyumbat saluran telinga dan harus dibersihkan secepat mungkin. Tetapi sebenarnya menghilangkan earwax boleh menyebabkan wujudkan masalah lain kepada telinga tanpa disedari.
Earwax atau tahi telinga atau cerumen, merupakan rembesan seperti lilin yang dirembes dari kelenjar cerumen telinga yang mempunyai pelbagai fungsi tersendiri untuk salur telinga.
Walaupun perkataan ‘tahi’ membawa maksud yang kurang enak dalam kalangan masyarakat, hakikatnya ia mempunyai peranan penting dan istimewa untuk penjagaan kesihatan telinga.
Apakah fungsi earwax?
Bersifat asid, earwax berfungsi untuk:
- Melembapkan kulit halus sekitar saluran telinga
- Bersifat kalis air yang mencegah air dari meresap masuk ke salur telinga
- Bersifat anti-bakteria dengan melindungi telinga daripada jangkitan,pembiakan bakteria dan kulat
- Menghalang kemasukan serangga kecil seperti semut, nyamuk, atau lalat
- Mengeluarkan habuk dan kotoran
Earwax menjadikan pendengaran lebih sihat dengan memerangkap bakteria, debu dan alergen yang boleh menyebabkan alahan. Terdapat mekanisme pembersihan yang bergerak secara perlahan di dalam telinga – mengikut pergerakan rahang ketika bercakap, makan dan menguap, berperanan untuk mengeluarkan kotoran yang terperangkap ke luar saluran telinga. Earwax yang akan keluar dengan sendirinya ini akan diganti dengan rembesan cerumen baru.
Earwax mengandungi enzim yang boleh membunuh bakteria – membantu menghalang pertumbuhan jangkitan dan dalam masa yang sama bertindak untuk melembapkan kulit, melindungi dari kekeringan dan juga mengekalkan kesihatan telinga.
Kehilangan earwax yang disebabkan kekerapan mengorek telinga akan menyebabkan risiko untuk pembiakan kulat dan bakteria pada dinding salur telinga.
Kebersihan telinga perlu kerap dilakukan?
Sejujurnya, anda tidak perlu membersihkan salur telinga memandangkan telinga boleh menjalankan fungsi pembersihannya tersendiri. Kaedah pembersihan telinga dari luar berisiko untuk mendatangkan kecederaan dan bahaya kepada telinga.
Contohnya, penggunaan putik kapas, hanya akan menolak tahi telinga lebih jauh ke dalam salur telinga. Untuk jangka masa, ia akan terkumpul dan mengakibatkan wujudnya masalah pendengaran.
Masalah jangkitan dan iritasi juga boleh berlaku. Malah, lebih bahaya seandainya cebisan putik kapas tertinggal dalam salur telinga yang akhirnya boleh menimbulkan masalah lebih serius. Kekerapan mengorek telinga juga boleh menghilangkan segala peranan dan fungsi istimewa earwax.
Penggunaan objek tajam untuk membersihkan telinga berisiko mendatangkan kecederaan kepada salur telinga yang mendedahkan kepada jangkitan dan bakteria.
Cara penjagaan kebersihan telinga selamat
Cara selamat untuk melakukan aspek penjagaan kebersihan telinga di rumah adalah dengan menggunakan ubat titisan telinga yang secara perlahan-lahan menyingkirkan lebihan earwax secara semula jadi. Ubat titisan telinga ini boleh didapati dari farmasi atau dari pakar audiologi.
Untuk pilihan lain, boleh digunakan titisan minyak zaitun atau minyak bayi untuk melembutkan tahi telinga – seandainya telinga tersumbat yang menyebabkan masalah kurang pendengaran.
Namun sekiranya anda bimbang, anda boleh mendapatkan khidmat individu terlatih atau pakar yang akan menggunakan alatan khas seperti mikroskop atau skop yang membantu untuk melihat ke dalam salur dan gegendang telinga dengan lebih jelas.
Proses pembersihan ini akan dilakukan di hospital atau klinik perubatan bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan atau kecederaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti gegendang telinga terkoyak.
Kesimpulannya
Kebersihan telinga adalah 1 perkara yang perlu dalam aspek penjagaan diri. Namun ia perlu dilakukan dengan cara yang betul. Ini kerana jika menggunakan kaedah yang salah, ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan.
Jadi jika anda tidak yakin untuk membersihkan telingan sendiri, mungkin anda boleh mendapatkan rundingan daripada doktor terlebih dahulu. Jangan memandai-mandai, okay?