Manfaat kesihatan buah jering

Disebalik baunya yang kurang menyenangkan, terdapat beberapa faedah buah jering terhadap kesihatan yang kebiasaannya tidak diketahui oleh orang ramai. Berikut merupakan antara beberapa manfaat yang boleh didapati daripada pengambilan buah jering.
Pembentukan tisu badan
Kandungan protein yang tinggi dalam buah jering dapat membantu pembentukan tisu dalam tubuh. Kandungan protein dalam buah ini adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan kandungan protein dalam kacang hijau dan kacang soya.
Mencegah anemia
Jering juga kaya dengan zat besi di mana zat besi ini sangat penting untuk mencegah dan mengatasi kekurangan pengeluaran sel darah merah di dalam tubuh. Anda pasti mengetahui bahawa apabila tubuh badan mengalami kekurangan zat besi, pengeluaran sel darah merah akan berkurang. Akibatnya, bekalan oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh semua sel dalam badan juga akan dikurangkan. Kesan kekurangan bekalan oksigen dan nutrien dalam sel akan mengurangkan fungsi/prestasi sel. Untuk golongan wanita, dengan memakan buah jering semasa haid sangat disyorkan agar tubuh badan anda tidak mengalami kekurangan zat besi disebabkan oleh banyaknya darah haid yang keluar dari badan.
Mengelakkan kehilangan tulang dan menguatkan tulang serta gigi
Selain kandungan zat besi dan protein, zat lain yang terdapat dalam buah jering adalah kalsium dan fosforus. Kedua-dua bahan ini adalah bahan yang diperlukan oleh tulang. Kalsium dan fosforus boleh mencegah kehilangan tulang (osteoporosis). Oleh itu, dengan memakan buah jering dengan jumlah yang sederhana dan tidak berlebihan boleh membantu tulang anda untuk menjadi lebih kuat.
Mencegah radikal bebas
Buah jering mengandungi beberapa jenis vitamin seperti vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, dan vitamin C. Vitamin A bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan mata dan dapat meningkatkan ketajaman visual penglihatan. Vitamin A dan vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan. Faedah antioksidan telah diketahui berpotensi untuk mengatasi bahan radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser.
Bersifat antimikrob
Terdapat aktiviti antimikrob ekstrak metanol daripada daun, pod dan buah jering. Kajian menunjukkan bahawa kesemua ekstrak buah jering mempunyai aktiviti antibakteria dan aktikulat yang melawan organisme yang diuji. Lektin daripada buah jering pula mempunyai aktiviti antikulat dalam melawan Exserohilum turcicum, Fusarium oxysporum dan Colletotrichum cassiicola walaupun dengan kepekatan yang rendah
Mencegah diabetes
Buah jering boleh mengelakkan kejadian kencing manis. Ini kerana didalam buah jering, terdapat beberapa bahan yang tidak terdapat dalam kandungan makanan yang lain. Bahan ini dipanggil bahan asid djenkolik. Asid djenkolik ini adalah kristal, ia tidak larut oleh kandungan air. Disebabkan oleh sifatnya yang diuretik, buah jering ini tidak digalakkan untuk dimakan oleh pesakit yang mengalami masalah buah pinggang. Adalah dikhuatiri bahawa buah pinggang tidak dapat menapis asid djenkolik daripada buah ini. Kesan buah pinggang tidak dapat menapis asid djenkolik ini adalah sukar untuk menghentikan pembuangan air kencing. Selain itu, terdapat kajian yang pernah dijalankan keatas tikus yang menunjukkan bahawa pengambilan buah ini oleh tikus yang mempunyai diabetes telah mengurangkan gula darah tikus tersebut setelah diambil selama 12 minggu. Walaupun ia menunjukkan kesan yang baik terhadap mata, pankreas dan paru-paru tikus, ia turut menyebabkan hypertrophy dan kesan negatif pada hati, buah pinggang, jantung, paru-paru dan pankreas terhadap tikus normal. Kajian yang lebih lanjut mengenai kesannya terhadap manusia diperlukan untuk melihat sama ada kesan tersebut bersifat sama atau tidak keatas manusia. Manfaat lain yang boleh diperoleh daripada buah jering adalah untuk mengawal paras gula darah, oleh itu ia sangat bermanfaat untuk digunakan oleh pesakit kencing manis. Buah jering mengandungi bahan gula yang ‘mesra’ dengan pesakit kencing manis. Gula dalam buah ini adalah gula yang paling mudah diuraikan yang selamat untuk pesakit kencing manis. Gula dalam buah ini tidak sepertimana bahan gula dalam makanan lain seperti makanan yang mengandungi karbohidrat. Gula daripada buah ini mudah untuk diuraikan dan kemudiannya akan ditukar menjadi tenaga oleh tubuh. Hasilnya, stamina badan akan meningkat. Proses penguraian bahan gula yang sempurna tidak akan menyebabkan deposit gula darah dalam tubuh.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen