Apabila anda gosok hidung dan mata ketika terkena serangan alahan, pasti anda akan rasa badan menjadi lemah dan lesu pada masa yang sama. Malah, jika perlu bekerja, aduhai… susah betul rasanya hendak kekal fokus!
Sebenarnya, alahan bukan sekadar sakit tekak, mata berair dan hidung tersumbat sahaja. Simptom alahan boleh memberikan kesan yang lebih teruk dan membuatkan badan penghidapnya menjadi lemah dan lesu.
Cuba bayangkan, betapa sukarnya anda untuk tidur malam ketika diserang alahan. Perkara ini akan menyebabkan anda rasa penat keesokan harinya disebabkan tidur yang tidak mencukupi. Kitaran inilah yang menjadi punca di sebalik rasa lesu yang pesakit alahan alami.
Malah, kelesuan yang turut dikenali dengan nama brain fog ini membuatkan anda rasa penat, tidak bersemangat dan sukar untuk fokus.
Tetapi, mengapa badan jadi lemah dan lesu?
Menurut Ahli Immunologi, Dr. Mark Aronica, kesukaran untuk fokus dan rasa blur yang berlaku itu sebenarnya berpunca daripada inflamasi yang terjadi ketika badan cuba untuk melawan simptom alahan.
Inflamasi inilah yang menyebabkan hidung tersumbat, mata berair dan simptom-simptom lain yang disebabkan oleh alahan.
Apabila kitaran ini bermula, sukar untuk pesakit alahan kekal fokus. Malah, simptom mereka juga akan menjadi semakin teruk.
Rasa lesu dan keletihan yang dialami turut membuatkan mereka rasa sukar untuk teruskan aktiviti seharian.
Malah, alahan yang teruk juga boleh membuatkan pesakit rasa gelisah dan alami depresi! Manakan tidak, hampir 1/3 daripada pesakit alahan rasa menderita apabila mereka mula mengalami tindak balas alahan.
Apa sebenarnya yang berlaku?
Sebenarnya, badan anda menghasilkan sejenis bahan kimia yang dikenali sebagai sitokin (cytokine) apabila terdedah dengan alergen seperti pewangi, serangga, kulat ataupun debunga.
Sebagai respons semula jadi badan, sitokin akan dilepaskan untuk membantu melawan alergen tersebut. Badan anda juga akan menghasilkan sitokin setelah melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria dan juga virus.
Pelepasan sitokin inilah yang bertanggungjawab terhadap inflamasi yang berlaku pada badan anda. Malah, ia juga merupakan punca hidung tersumbat dan mata berair yang sering dialami oleh pesakit alahan.
Namun, bukan itu sahaja. Sitokin juga bertanggungjawab ke atas perubahan mood yang dialami pesakit ketika terkena reaksi alahan.
Malah, ramai pesakit yang akui mereka rasa lebih slow ketika diserang alahan. Pesakit juga akan rasa lemah, lesu dan tidak bertenaga.
Inflamasi yang berlaku disebabkan alahan boleh menyebabkan pesakit rasa sukar untuk fokus. Akibatnya, pesakit tidak mampu untuk meneruskan rutin harian seperti biasa.
Tangani masalah badan lemah dan lesu ketika alahan
Pesakit alahan bukan sahaja perlu melawan simptom alahan, mereka juga perlu menangani masalah badan lesu dan lemah ketika diserang alergi.
Walaupun semuanya nampak teruk, Dr. Aronica meminta agar semua pesakit alahan tidak patah semangat.
Malah, ada beberapa langkah yang boleh pesakit ambil untuk kurangkan kelesuan yang dialami.
Sebagai contoh, pesakit boleh:
1. Kurangkan pendedahan terhadap alergen
Jika anda mempunyai alahan terhadap habuk, cuba elakkan diri anda daripada terdedah dengan terlalu banyak habuk dan debu. Bersihkan rumah anda dengan kerap dan tutup tingkap jika kawasan di luar rumah berdebu.
Sama jugalah jika anda mempunyai alahan terhadap debunga. Jika anda keluar rumah pada musim debunga, terus mandi dan tukar baju sebaik sahaja anda sampai di rumah.
2. Jangan lupa makan ubat untuk elak badan lemah
Dengan bantuan ubat-ubatan, anda boleh mengawal simptom alahan yang dialami. Walaupun pengambilan ubat merupakan solusi jangka pendek, ia selalunya berkesan untuk mengelakkan simptom alahan.
Malah, ubat-ubatan alahan juga boleh dibeli secara over-the-counter di farmasi berdekatan. Jika anda tidak yakin, anda boleh rujuk pada ahli farmasi yang bertugas.
3. Ambil suntikan alahan
Suntikan alahan atau imunoterapi merupakan rawatan yang amat efektif untuk penghidap alergi. Dengan suntikan alergen yang dilakukan secara berkala, badan boleh membina imuniti terhadap alergen pada masa akan datang.
Dengan rawatan ini, pesakit berpotensi untuk mempunyai tindak balas alahan yang lebih ringan dan tidak seteruk sebelumnya.
[embed-health-tool-heart-rate]
Kesimpulan
Jangan biarkan alahan buatkan hidup anda jadi merana! Jika anda alami masalah untuk tidur malam disebabkan alahan, cuba lakukan aktiviti yang menenangkan seperti meditasi atau berjalan pada waktu petang.
Lakukan juga perkara-perkara kecil seperti menonton televisyen atau mendengar lagu yang boleh membuatkan mood anda bertambah baik ketika alahan.
Jika anda kerap alami masalah badan lemah dan lesu, pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Kadangkala, simptom yang anda alami seperti sakit tekak, batuk-batuk, demam dan sakit badan mungkin berpunca daripada penyakit lain dan bukannya alahan seperti yang anda sangkakan.