Antara jenis-jenis ketulan payudara yang bukan kanser ialah seperti sista payudara, fibroadenoma, adenosis, mastitis, saluran ektasia dan juga nekrosis lemak.
Ketulan ini juga mungkin akan menyebabkan kesakitan dan membawa kepada jangkitan jika tidak dirawat lebih awal.
Bila anda patut berjumpa dengan doktor?

Kanser payudara boleh dirawat dengan lebih mudah jika ia dikesan lebih awal.
Oleh sebab itu, jika berlaku sebarang perubahan pada payudara anda, anda dinasihatkan untuk terus berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
Antara perubahan yang perlu anda perhatikan ialah:
- Buah dada mengalami perubahan dari segi warna, saiz dan juga bentuk
- Mempunyai ketulan lebih daripada seminggu atau dua minggu dan ia semakin membesar
- Payudara seolah-olah masuk ke dalam
- Terdapat perubahan yang tidak normal pada puting payudara
Jika anda mengalami keadaan-keadaan seperti ini, sila berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan segera.
Lakukan pemeriksaan kendiri setiap bulan
Antara cara awal anda mengenal pasti ciri-ciri ketulan kanser payudara adalah dengan melakukan pemeriksaan kendiri secara berkala.
Ia boleh dilakukan setiap minggu atau sekurang-kurangnya setiap bulan.
Caranya ialah:
- Berdiri tegak di hadapan cermin. Lihat sebarang perubahan pada payudara yang dirasakan tidak normal.
- Selepas itu, angkat kedua-dua tangan anda dan lakukan pemerhatian yang sama sekali lagi.
- Setelah itu, baring di atas permukaan yang rata. Kemudian, gunakan tangan kanan untuk merasakan sebarang perubahan pada buah dada kiri. Gunakan hujung jari dan buat gerakan berpusar pada payudara anda bermula pada hujung puting sehingga ke bahagian payudara yang paling bawah.
- Ulang langkah yang sama pada buah dada kanan pula
- Buat gerakan yang sama sewaktu anda berdiri atau duduk.

Kesimpulan
Perlu diingat, ketulan yang muncul pada payudara anda mungkin ciri-ciri ketulan kanser payudara atau sebaliknya.
Boleh jadi ia hanyalah ketulan biasa yang tidak berbahaya.
Apa pun ketulan yang muncul, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan yang lebih tepat melalui mamogram.
Jangan biarkan tanpa sebarang pemeriksaan kerana rawatan akan lebih mudah jika dikesan pada peringkat awal.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen