backup og meta

Ini 12 Ciri Ketulan Kanser Payudara Wanita MESTI Tahu! Ekstra: Cara Check Ketulan Payudara Di Rumah!

Ini 12 Ciri Ketulan Kanser Payudara Wanita MESTI Tahu! Ekstra: Cara Check Ketulan Payudara Di Rumah!

Sempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, kami di Hello Doktor ingin membawakan satu artikel khas untuk memberi kesedaran kepada semua wanita di luar sana. Artikel ini akan membincangkan mengenai ciri-ciri ketulan kanser payudara berserta contoh ketulan kanser payudara.

Teruskan bacaan anda di bawah ini. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kanser, anda boleh klik di sini.

Apakah ciri-ciri ketulan kanser payudara?

ciri-ciri ketulan kanser payudara

Salah satu tanda utama dan biasa dikaitkan dengan kanser payudara ialah munculnya ketulan.

Apabila adanya ketulan pada payudara, setiap wanita pasti akan mula berasa risau dan tidak senang duduk.

Untuk pengetahuan anda, ketulan kanser payudara cenderung untuk mempunyai rasa yang agak keras apabila disentuh dengan tangan.

Selain itu, antara ciri-ciri ketulan kanser payudara yang lain ialah:

  • Mempunyai hujung atau bentuk ketulan yang tidak sekata
  • Jika disentuh dengan tangan, ia boleh digerak-gerak atau dialihkan dengan jari walaupun berada di bawah kulit
  • Ketulan tersebut semakin membesar. Ia boleh dilihat secara fizikal atau dirasakan dengan tangan
  • Biasanya ia terletak pada bahagian luar atas buah dada

Ini merupakan antara contoh ketulan kanser payudara yang biasa berlaku.

Namun, ada juga tanda-tanda lain yang perlu anda perhatikan.

Antaranya termasuklah:

  • Kulit payudara menebal atau membengkak walaupun tanpa ada ketulan
  • Kulit payudara menjadi bersisik, berkerut atau melekuk
  • Muncul ketulan baharu pada mana-mana bahagian buah dada atau ketiak
  • Berasa sakit pada buah dada dan juga puting payudara
  • Keluar darah atau cairan yang tidak normal pada puting payudara
  • Puting payudara seolah-olah masuk ke dalam
  • Buah dada berubah bentuk, saiz dan juga warna
  • Kulit payudara terasa lembut, agak suam dan juga kemerahan

Tak semua ketulan itu kanser walaupun ada ciri-ciri ketulan kanser payudara

Walau bagaimanapun, bukan semua jenis ketulan yang anda alami itu adalah ketulan kanser.

Ini kerana, ada juga ketulan bukan kanser yang wujud disebabkan perubahan hormon, usia, kehamilan, kesan ubat-ubatan dan juga pertambahan berat badan.

Terdapat sesetengah ketulan yang terbentuk dan menghilang dalam masa beberapa hari sahaja.

Antara jenis-jenis ketulan payudara yang bukan kanser ialah seperti sista payudara, fibroadenoma, adenosis, mastitis, saluran ektasia dan juga nekrosis lemak.

Ketulan ini juga mungkin akan menyebabkan kesakitan dan membawa kepada jangkitan jika tidak dirawat lebih awal. 

Bila anda patut berjumpa dengan doktor?

ciri-ciri ketulan kanser payudara

Kanser payudara boleh dirawat dengan lebih mudah jika ia dikesan lebih awal.

Oleh sebab itu, jika berlaku sebarang perubahan pada payudara anda, anda dinasihatkan untuk terus berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan lanjut.

Antara perubahan yang perlu anda perhatikan ialah:

  • Buah dada mengalami perubahan dari segi warna, saiz dan juga bentuk
  • Mempunyai ketulan lebih daripada seminggu atau dua minggu dan ia semakin membesar
  • Payudara seolah-olah masuk ke dalam
  • Terdapat perubahan yang tidak normal pada puting payudara

Jika anda mengalami keadaan-keadaan seperti ini, sila berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan segera.

Lakukan pemeriksaan kendiri setiap bulan

Antara cara awal anda mengenal pasti ciri-ciri ketulan kanser payudara adalah dengan melakukan pemeriksaan kendiri secara berkala.

Ia boleh dilakukan setiap minggu atau sekurang-kurangnya setiap bulan.

Caranya ialah:

  1. Berdiri tegak di hadapan cermin. Lihat sebarang perubahan pada payudara yang dirasakan tidak normal.
  2. Selepas itu, angkat kedua-dua tangan anda dan lakukan pemerhatian yang sama sekali lagi.
  3. Setelah itu, baring di atas permukaan yang rata. Kemudian, gunakan tangan kanan untuk merasakan sebarang perubahan pada buah dada kiri. Gunakan hujung jari dan buat gerakan berpusar pada payudara anda bermula pada hujung puting sehingga ke bahagian payudara yang paling bawah. 
  4. Ulang langkah yang sama pada buah dada kanan pula
  5. Buat gerakan yang sama sewaktu anda berdiri atau duduk. 

ciri-ciri ketulan kanser payudara

Kesimpulan

Perlu diingat, ketulan yang muncul pada payudara anda mungkin ciri-ciri ketulan kanser payudara atau sebaliknya.

Boleh jadi ia hanyalah ketulan biasa yang tidak berbahaya.

Apa pun ketulan yang muncul, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi melakukan pemeriksaan yang lebih tepat melalui mamogram.

Jangan biarkan tanpa sebarang pemeriksaan kerana rawatan akan lebih mudah jika dikesan pada peringkat awal. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

When to Worry About Breast Lumps. https://www.houstonmethodist.org/blog/articles/2020/sep/when-to-worry-about-breast-lumps/. Accessed on October 11, 2022.

Benign Breast Conditions. https://www.breastcancer.org/benign-breast-conditions. Accessed on October 11, 2022.

Breast Cancer: Screening. https://www.uspreventiveservicestaskforce.org/uspstf/recommendation/breast-cancer-screening. Accessed on October 11, 2022.

Breast Changes and Conditions. https://www.cancer.gov/types/breast/breast-changes. Accessed on October 11, 2022.

Breast Self-Exam. https://www.nationalbreastcancer.org/breast-self-exam. Accessed on October 11, 2022.

Versi Terbaru

15/11/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Nenek Atau Ibu Hidap Kanser Payudara? Ketahui Risiko Anda Untuk Dapat Penyakit Yang Sama!

Kanser Payudara Penyakit Turun-Temurun? Tak Semestinya! Fahami Mutasi Gen Dahulu


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan