backup og meta

Tuberkulosis Bukan Kanser Paru-Paru. Ini Perbezaan Di Antara Kedua-Duanya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/04/2021

    Tuberkulosis Bukan Kanser Paru-Paru. Ini Perbezaan Di Antara Kedua-Duanya

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Paru-Paru, sila dapatkannya di sini.

    Batuk kering (tuberkulosis, TB) dan kanser paru-paru adalah dua keadaan kesihatan yang berbeza.

    Walaupun perubatan moden sudah pun menemui rawatan untuk masalah batuk kering, ia terus menjadi punca utama kematian di seluruh dunia.

    Kira-kira 8.8 juta kes tuberkulosis didiagnosis setiap tahun manakala bagi kanser paru-paru pula, dianggarkan 1.61 juta kes baharu didiagnosis setiap tahun.

    Terdapat banyak titik persamaan di antara kedua-dua masalah kesihatan ini.

    Tuberkulosis dan kanser paru-paru merupakan keadaan kesihatan yang lazim, mempunyai jumlah prevalens yang tinggi, melibatkan organ peparu dan yang paling penting, mereka yang menghidapinya menunjukkan simptom yang hampir sama.

    Walau bagaimanapun, penting bagi setiap pegawai kesihatan untuk mengetahui cara membezakan kedua penyakit ini dalam konteks klinikal.

    Ia berikutan kedua-duanya mempunyai punca, komplikasi dan protokol rawatan yang berbeza.

    Dalam artikel ini, kita akan membincangkan perbezaan di antara tuberkulosis dan kanser paru-paru. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Batuk kering, penyakit bawaan bakteria yang kompleks

    kanser paru-paru

    Tuberkulosis adalah sejenis penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakteria yang diberi nama Mycobacterium tuberculosis.

    Bakteria tersebut sangat mudah tersebar dan ia boleh memusnahkan tisu badan.

    Apabila kesan patologi bakteria tersebut berlaku pada organ peparu, diagnosis tuberkulosis pulmonari akan diberikan kepada penghidap.

    Jika dikesan pada peringkat awal, masalah ini boleh dirawat dengan menggunakan ubat antibiotik.

    Berbeza dengan TB, kanser paru-paru pula merupakan satu penyakit yang kompleks melibatkan interaksi di antara faktor genetik dan persekitaran.

    Walaupun kedua-duanya menyebabkan perubahan patologi pada organ peparu, tuberkulosis boleh berjangkit kepada individu lain sementara kanser tidak boleh.

    Pun begitu, kedua-duanya mempunyai faktor risiko yang hampir sama.

    Sebagai contoh tabiat merokok. Rokok bukan sahaja boleh menyebabkan perubahan pra kanser kepada pelbagai jenis organ, ia juga boleh menyebabkan jangkitan TB menjadi bertambah teruk.

    Oleh sebab perokok kebiasaannya mengalami batuk kronik, mereka sering tidak sedar jika dijangkiti oleh bakteria TB.

    Batuk adalah simptom utama bagi penyakit bawaan bakteria tersebut dan perkara ini boleh melewatkan proses pengesanan TB.

    Keadaan tersebut menyumbang kepada kadar prognosis (potensi kesembuhan) yang teruk.

    Selain daripada itu, perokok juga berisiko didiagnosis dengan masalah bronkitis kronik menyebabkan prognosis jangkitan TB menjadi bertambah teruk.

    Cara diagnosis yang berbeza

    Batuk kering dan kanser peparu mempunyai kaedah pengesanan yang berbeza. Pun begitu, kedua-duanya dikesan melalui langkah yang sistematik bermula daripada sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan keputusan ujian makmal.

    Terdapat ujian yang dikhususkan kepada satu penyakit dan ada juga ujian yang digunakan bagi kedua-dua penyakit.

    Sebagai contoh, pemeriksaan kahak dibuat bagi mengesan koloni bakteria TB.

    Kultur kahak merupakan kaedah utama dalam mendiagnosis masalah TB. Adakah ini bermakna kanser peparu tidak menggunakan kahak sebagai subjek ujian?

    Tidak sama sekali. Kita masih boleh mengesan sel kanser di dalam kahak namun ia merupakan alternatif kepada prosedur bronkoskopi.

    Bronkoskopi merupakan prosedur yang boleh mendiagnosis kedua-dua keadaan kesihatan tersebut.

    Namun, jika mahu dibuat perbandingan, kegunaannya lebih kepada untuk mendiagnosis masalah kanser.

    Struktur peparu boleh dilihat dan diperiksa jika terdapat sebarang bentuk tidak normal.

    Ia juga boleh digunakan untuk mengambil dan memeriksa tisu bagi membuat pengesahan berkenaan dengan status kanser.

    Rawatan bagi tuberkulosis dan kanser paru-paru

    batuk kering

    Seperti yang anda sedia maklum, antibiotik hanya berkesan membunuh bakteria.

    Ini bermakna, rawatan antibiotik hanya dikhususkan kepada penyakit tuberkulosis manakala bagi kanser paru-paru pula, rawatan utama baginya adalah pembedahan.

    Kedua-duanya mempunyai risiko untuk timbul semula sekiranya protokol rawatan tidak dipatuhi.

    Sebagai contoh bagi masalah TB, rejimen antibiotik yang perlu diambil melibatkan satu tempoh masa yang panjang (9 bulan).

    Jika terlepas makan, terapi tersebut perlu dilaras semula bagi mengekalkan efektif antibiotik untuk menentang bakteria.

    Terdapat juga kes di mana, antibiotik khas perlu digunakan bagi membunuh kuman rintang antibiotik. Dalam kes ini, pesakit kebiasaannya mempunyai prognosis yang buruk.

    Bagi kanser peparu pula, mereka perlu mematuhi rejimen terapi kemo atau radio (mengikut protokol rawatan semasa).

    Dalam masa yang sama, mereka juga perlu membuat perubahan gaya hidup bagi memastikan keadaan kesihatan tersebut tidak menjadi bertambah teruk.

    Bukan senang nak berhenti merokok, namun jika nyawa anda menjadi taruhan, nak atau tidak, anda perlu cuba untuk berdisiplin dalam mengekang tabiat merokok.

    Konklusi

    Kanser paru-paru dan batuk kering adalah dua keadaan kesihatan yang berbeza. Walau bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai manifestasi klinikal yang hampir sama.

    Jika anda mengalami simptom seperti batuk berdarah, demam dan perpeluhan pada waktu malam, sila berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 28/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan