backup og meta

Akar Seruntun Kaya Khasiat, Tapi, Jika Terlebih Dos Boleh Sebabkan Kesan Toksik Pada Hati!

Akar Seruntun Kaya Khasiat, Tapi, Jika Terlebih Dos Boleh Sebabkan Kesan Toksik Pada Hati!

Pernahkah anda mendengar mengenai pokok seruntun? Jika tidak, mungkin anda mengetahuinya dengan nama lain seperti pokok patawali. Pokok ini biasanya boleh didapati di halaman rumah orang-orang kampung dan ia mempunyai beberapa khasiat tertentu. Ini khasiat akar seruntun yang anda kena tahu. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Rawatan Tradisional & Herba, anda boleh klik di sini.

Pokok yang sama tapi ada banyak nama

Ia dikenali sebagai Tinospora crispa (Miers) dalam bahasa botaninya.

Walaupun anda mengenalinya dengan nama akar seruntun, sebenarnya ia mempunyai beberapa nama panggilan lain.

Antaranya ialah patawali, akar gasing, akar putarwali, akar putrawali, akar seruntum, akar wali, bakawali dan batang wali. Menarik bukan?

Pokok ini merupakan jenis pokok yang menjalar yang biasa tumbuh di kawasan pagar rumah atau runtuhan rumah-rumah lama yang telah ditinggalkan.

Ia juga tumbuh secara meliar di pinggir-pinggir hutan. Pokok ini telah lama digunakan sebagai bahan atau herba perubatan tradisional.

Disebabkan rasanya yang amat pahit, ia juga digunakan oleh ibu-ibu dalam proses cerai susu anak mereka

Kegunaan akar seruntun secara tradisional

akar seruntun

Dalam masyarakat Melayu, tumbuhan herba patawali ini banyak digunakan oleh kaum ibu dalam fasa bercerai susu anak.

Caranya adalah dengan menyapu akar ini pada bahagian puting payudara sebelum anak mula menyusu.

Disebabkan rasanya yang amat pahit, maka anak akan mula untuk berhenti menyusu secara perlahan-lahan.

Selain itu, akar ini juga digunakan sebagai bahan untuk minuman kesihatan.

Air rebusan akar ini diminum dan dipercayai dapat mengelakkan diri daripada gigitan nyamuk.

Ini kerana rasa pahit daripada akar ini membuatkan darah menjadi pahit lalu menyebabkan gigitan nyamuk semakin berkurangan.

Selain itu juga, tumbuhan ini banyak digunakan sebagai salah satu kaedah untuk merawat diabetes, darah tinggi dan menaikkan selera makan secara tradisional.

Di luar negara, ia lebih banyak digunakan sebagai ubat untuk merawat penyakit berkaitan kulit seperti kusta, gatal-gatal, jaundis dan kudis buta

Khasiat akar seruntun yang sebenar

Terdapat beberapa kajian praklinikal yang telah dijalankan bagi melihat keberkesanan herba akar ini terhadap beberapa penyakit.

Antaranya ialah penyakit diabetes, kecacingan dan keradangan. 

#1. Khasiat ke atas penyakit diabetes

Bagi penyakit diabetes, beberapa hasil kajian ada menunjukkan bahawa ekstrak akar ini mempunyai potensi dalam merawat diabetes jenis 2 yang telah dijalankan ke atas tikus.

Namun, bagi kajian klinikal yang dijalankan ke atas penghidap diabetes, tidak terdapat sebarang perbezaan yang signifikan terhadap dua kumpulan responden iaitu yang menerima ekstrak herba patawali dan kumpulan plasebo.

Ini bermakna, akar ini tidak memberikan sebarang kesan terhadap penyakit diabetes yang sedang mereka alami. 

#2. Merawat keradangan

Bagi penyakit keradangan pula, ekstrak daripada akar pokok ini telah menunjukkan sifat antiradang yang baik.

Selain itu, ekstrak akar ini juga dilihat mempunyai aktiviti anticholinerase, yang mana ia berpotensi sebagai kaedah rawatan bagi penyakit nyanyuk.

Namun kajian ini hanya di peringkat praklinikal sahaja, dan keputusan mungkin akan menunjukkan hasil yang berbeza apabila dijalankan ke atas manusia. 

#3. Merawat masalah kecacingan

Antara khasiat akar seruntun yang lain ialah berpotensi merawat masalah kecacingan.

Tumbuhan ini dikatakan berkesan mengubati masalah kecacingan dalam kalangan kanak-kanak.

Caranya adalah dengan merebus batang pokok ini, seterusnya ditapis dan diminum sebanyak satu gelas setiap hari. 

Mempunyai kesan toksik jika diambil berlebihan

akar seruntun

Tahukah anda, tumbuhan ini juga boleh menyebabkan kesan toksik kepada tubuh badan jika diambil dengan kuantiti yang banyak?

Dos akar seruntun yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kesan toksik kepada hati dan buah pinggang manusia, dan ini sangat membahayakan.

Terdapat satu kajian yang melaporkan mengenai kes keradangan hati dan hepatitis terhadap manusia.

Ini berikutan pesakit tersebut telah mengambil ekstrak tumbuhan patawali ini bagi merawat penyakit malaria yang dialaminya.

Namun, fungsi hati pesakit tersebut telah kembali normal setelah dua bulan menghentikan pengambilan ekstrak akar ini. 

Kesimpulan

Banyak kajian yang telah dijalankan menunjukkan potensi herba ini dalam merawat beberapa jenis penyakit.

Namun, kebanyakan daripada kajian ini hanyalah di peringkat praklinikal iaitu kajian makmal yang dijalankan ke atas haiwan.

Walaupun hasil kajian praklinikal dilihat agak baik dan menjanjikan, namun keputusannya mungkin akan berbeza sewaktu kajian lanjutan dijalankan ke atas manusia.

Tambahan pula, kita perlu mengetahui kuantiti dos yang diambil agar ia tidak menyebabkan ketoksikan kepada organ hati.

Dapatkan nasihat daripada doktor sebelum membuat keputusan untuk mengambil herba ini, lebih-lebih lagi jika anda menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung dan juga diabetes. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sangsuwan, C., Udompanthurak, S., Vannasaeng, S., & Thamlikitkul, V. (2004). Randomized controlled trial of Tinospora crispa for additional therapy in patients with type 2 diabetes mellitus. Journal of the Medical Association of Thailand = Chotmaihet thangphaet, 87(5), 543–546. Accessed on May 27, 2022.

Abu, M.N., Hassan, H.F., Yusoff, R.M., & Ismail, W.I. (2017). Tinospora crispa methanolic crude extract activates apoptotic pathway of insulin resistant-HepG2 cell lines by improving the insulin sensitivity. Malaysian applied biology, 46, 133-140. Accessed on May 27, 2022.

Hasilkan Ubatan Farmaseutikal. https://www.frim.gov.my/v1/fin/file/MY_899_20170725_N_HM_AGRO_PG5_187fd.pdf. Accessed on May 27, 2022.

Tinospora crispa. https://www.mybis.gov.my/sp/6032. Accessed on May 27, 2022.

Tinospora crispa (L.) Hook. f. & Thomson: A Review of Its Ethnobotanical, Phytochemical, and Pharmacological Aspects. https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fphar.2016.00059/full#h5. Accessed on May 27, 2022.

Tinospora crispa (L.) Miers ex Hook. f. & Thomson. https://www.nparks.gov.sg/florafaunaweb/flora/3/3/3346. Accessed on May 31, 2022.

Tinospora crispa (L.) Hook. f. & Thomson: A Review of Its Ethnobotanical, Phytochemical, and Pharmacological Aspects. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4800188/. Accessed on May 31, 2022.

 

Versi Terbaru

12/07/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Makan Ubat Cacing Untuk Kuda Boleh Cegah COVID-19? Jangan Ambil Risiko, Ini Fakta Ivermectin!

6 Petanda Amaran Badan Anda Penuh Dengan Cacing, Kena Cepat Buat DEWORM!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/07/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan