Di Malaysia, wujud pelbagai jenis haiwan yang hidup berdekatan dengan kita serta dalam kalangan mereka ada yang berbisa dan berbahaya.
Sebagai contoh, ular adalah salah satu daripada jenis haiwan yang perlu kita jauhi kerana patukannya mungkin boleh membawa maut jika tidak dirawat segera!
Persoalannya, apa yang perlu dilakukan oleh mangsa sekiranya dipatuk ular berbisa? Adakah perlu menyedut dan meludah bisa seperti yang dimomokkan?
Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih mendalam lagi.
Kekal selamat dikelilingi haiwan
Haiwan yang tampak ramah, comel, manja dan tidak berbahaya turut boleh mengancam nyawa anda!
Ia boleh sama ada menggigit, mencakar, menendang, mematuk atau mencederakan anda walaupun kalian tidak langsung melakukan apa-apa yang mengancamnya.
Serangan yang dilakukan itu adalah kerana rasa takut dan berasakan manusia mengancam keselamatan serta akan mengganggu habitat dan kawanannya.
Ini termasuklah ular yang sangat pantang sekiranya mereka berasa diganggu atau diancam oleh kita.
Jadi, sila lebih berwaspada untuk sentiasa kekal selamat dikelilingi segala jenis haiwan ya?
Ular, ada yang berbisa & ada yang bukan?
Ya, penyataan ini memang sangat tepat kerana haiwan ular ada 2 kategori utama yang berbeza iaitu berbisa dan tidak berbisa.
Namun, adalah agak sukar untuk kami menjelaskan kesemua jenis ular dan kategorinya kerana terdapat banyak spesies haiwan ini di negara kita.
Oleh itu, kami hanya akan memberikan beberapa contoh yang boleh dijadikan panduan dan pedoman antaranya:
Ular berbisa
- Ular Karang
- Ular Katam
- Ular Kapak
- Ular Tedung
Ular tidak/ kurang berbisa
- Ular Lidi
- Ular Daun
Pun begitu, adalah tidak wajar untuk kita semua mengambil risiko mendekati haiwan ini hanya kerana ia tidak atau kurang berbisa.
Dalam pada itu, adalah agak sukar untuk kita semua mengenal pasti sama ada ia adalah spesies yang mana satu terutamanya ketika panik.
Jadi, sila cuba untuk jauhinya dan segera bertindak jika sedang atau telah dipatuk!
Apa perlu buat jika dipatuk ular berbisa?
Sekiranya anda menjadi mangsa dipatuk ular berbisa, adakah perlu untuk menyedut, meludah dan mengikat kawasan gigitan terbabit seperti mana yang terpapar dalam kaca televisyen?
Ini adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan:
#1. Jangan panik dan duduk diam
Memang benar bahawa langkah ini amat sukar dilakukan namun pergerakan yang minimum mampu memperlahankan bisa yang masuk dalam tubuh badan anda.
Ini kerana bisa daripada ular itu tidak akan terus masuk ke dalam tubuh badan sebaliknya melalui sistem limfa terlebih dahulu – cecair yang mengandungi sel darah putih.
Jika anda bergerak akan meningkatkan risiko bisa merebak dengan lebih cepat.
Oleh itu, jangan panik dan duduk diam di situ selepas memastikan haiwan tersebut telah pergi jauh daripada anda.
#2. Biar sahaja ular yang mematuk anda
Mungkin anda berfikiran bahawa menangkap ular yang mematuk anda itu dapat membantu doktor mengenal pasti jenis dan antidot yang perlu digunakan.
Ya, memang kenyataan ini ada benarnya namun ia hanya akan mendatangkan bahaya kepada anda untuk digigit kali kedua.
Lagipun, ketahuilah bahawa pakar bisa di hospital akan menjalankan ujian yang mampu menentukan rawatan paling sesuai buat anda.
#3. Berikan tekanan pada anggota yang dipatuk
Cara untuk memberi tekanan kepada anggota tubuh badan yang dipatuk adalah dengan mengikat atau membalut kawasan terbabit seketat yang mungkin.
Anda mungkin boleh menggunakan tali atau kain dan ikat atau balut kawasan yang dipatuk untuk memperlahankan bisa daripada memasuki sistem limfa kalian.
Adalah lebih baik jika kalian dapat menandakan kawasan yang dipatuk dengan apa-apa yang mampu dicapai ketika itu agar doktor dapat memberi rawatan yang lebih cepat dan tepat.
#4. Jangan sedut, ludah dan basuh bisa ular
Mungkin adegan di dalam televisyen selama ini adalah kurang tepat kerana perbuatan ini hanya akan mendatangkan mudarat berbanding manfaat.
Selain itu, jangan sesekali basuh kawasan yang digigit kerana perbuatan itu akan membuat sisa bisa pada permukaan kulit itu hilang.
Ia adalah sesuatu yang tidak bagus kerana pakar di hospital kelak tidak dapat menentukan jenis dan antidot yang perlu diberi kepada anda.
#5. Dapatkan bantuan kecemasan
999 adalah nombor utama yang kalian perlu hubungi selepas sahaja anda sedar sedang atau telah dipatuk ular berbisa.
Ini adalah sangat penting untuk kalian mendapatkan bantuan kecemasan tidak kira sama ada ular itu adalah berbisa, tidak atau kurang berbisa.
Jadi jangan bertangguh atau mencuba sebarang adegan yang kalian tonton di televisyen kerana bantuan daripada pihak profesional adalah yang terbaik.
Cuba jauhi haiwan ini sebaiknya!
Akhir kata, ular adalah haiwan yang sangat berbahaya dan mungkin berbisa serta boleh mendatangkan maut jika tidak berwaspada.
Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita semua cuba jauhi haiwan ini sebaiknya agar tidak menjadi mangsa dipatuk ular berbisa.
[embed-health-tool-bmi]