Selalunya kita menganggap punca kepala pening kerana migrain. Namun hakikatnya terdapat banyak jenis sakit kepala lain yang mungkin dialami. Ikuti artikel ini untuk mengenal pasti keadaan sakit kepala yang menghantui diri anda.
Memahami jenis sakit kepala
Masalah sakit kepala boleh menjadi satu perkara yang rumit daripada apa yang kita sangkakan. Jenis sakit kepala yang berbeza mempunyai simptom dan punca yang tersendiri serta memerlukan rawatan yang berbeza.
Terdapat pelbagai jenis sakit kepala untuk anda kenali dan fahami. Ia pasti dapat membantu anda untuk dapatkan rawatan berkesan dan bersesuaian.
10 jenis sakit kepala
Dibawah ini terdapat beberapa jenis sakit kepala umum yang sering dihadapi:
-
Ketegangan
Sakit kepala jenis ketegangan atau tension headaches antara paling biasa dalam kalangan individu dewasa dan remaja. Punca kepala pening ini tercetus oleh tekanan.
Anda akan merasakan tidak bermaya, rasa sakit hampir di seluruh kepala dan tidak berdenyut. Kesakitan turut dirasai sekitar leher, dahi, kulit kepala atau otot bahu.
-
Migrain
Sering digambarkan sebagai rasa sakit yang berdenyut yang kuat pada bahagian dalam kepala dan biasanya terjadi pada satu sisi / sebelah bahagian kepala.
Ia boleh berlangsung selama 4 jam sehingga ke 3 hari dan kebiasaannya berlaku sekali ke 4 kali sebulan. Jika kesakitan yang dialami terlampau teruk, ia boleh menjejaskan keupayaan untuk menjalankan rutin harian.
Individu penghidap migrain akan menjadi lebih sensitif terhadap cahaya, bunyi bunyi, atau bau; loya dan muntah, hilang selera makan, rasa sakit perut atau perut menjadi tidak selesa.
Anda juga mungkin alami rasa kebas pada satu sisi wajah, sebelah lengan atau berdepan masalah untuk bercakap. Namun, simptom untuk strok juga boleh menjadi seperti migrain.
-
Cluster
Jenis sakit kepala paling teruk dengan sensasi seperti terbakar atau kesakitan yang teramat pada bahagian belakang atau sekitar mata. Jika kesakitan dialami adalah sangat teruk, individu yang diserang sakit kepala ini tidak boleh duduk diam.
Pada bahagian kepala yang sakit, kelopak mata akan jatuh, mata merah, anak mata menjadi kecil atau mungkin mengalirkan air mata. Hidung pada bahagian yang sakit juga mungkin akan tersumbat atau mengalir mukus.
Ia dipanggil cluster kerana ia cenderung berlaku secara berkumpulan. Anda mungkin mengalami sakit kepala ini 1 – 3 kali sehari, dan mungkin berlangsung selama 2 minggu hingga 3 bulan, untuk tempoh 15 minit hingga 3 jam.
-
Harian kronik
Sakit kepala harian kronik ini mungkin termasuk beberapa jenis sakit kepala yang lain. Perkataan kronik itu merujuk kepada kekerapan sakit kepala berlaku dan berapa lama tempoh ia berlangsung.
Jika anda alami masalah sakit kepala ini, anda mungkin cenderung hadapi masalah kemurungan, kegelisahan, gangguan tidur dan masalah psikologi dan fizikal lain.
-
Sinus atau alahan
Rasa sakit mendalam dan berterusan pada bahagian tulang hidung, dahi dan bahagian depan kepala. Masalah ini berlaku apabila, rongga pada bahagian kepala – sinus – alami keradangan. Adakalanya ia berlaku disebabkan reaksi alahan.
Kesakitan ini biasanya hadir dengan simptom sinus lain seperti selesema, rasa tersumbat pada bahagian telinga, demam dan bengkak pada muka.
Masalah sakit kepala sinus berlaku apabila berlaku jangkitan pada sinus menyebabkan mukus yang keluar dari hidung akan berwarna kuning atau hijau, tidak seperti mukus berwarna jernih yang keluar jika diserang sakit kepala cluster atau migrain.
-
Selepas trauma
Sakit kepala selepas trauma ini berlaku selepas 2-3 hari selepas kecederaan kepala. Anda akan merasa simptom seperti:
- Rasa sakit pada kepala yang semakin hari semakin teruk
- Alami kesukaran untuk menumpukan perhatian
- Alami masalah ingatan
- Cepat keletihan
- Kerengsaan
-
Senaman
Apabila anda bergerak aktif, otot pada bahagian kepala, leher dan kulit kepala memerlukan lebih banyak darah, dan pembuluh darah anda mungkin hadapi masalah untuk membekalkannya.
Biasanya berlaku ketika anda sedang bergerak aktif, atau selepas anda bergerak aktif, walaupun aktiviti yang dilakukan adalah senaman atau melakukan hubungan seksual.
-
Hormon
Kebiasaannya dialami oleh wanita kerana perubahan hormon. Menstruasi, pil kawalan kehamilan dan kehamilan serta menopaus memberikan kesan kepada paras estrogen, boleh menyebabkan sakit kepala.
Sesetengah individu alami sakit kepala berkaitan kitaran haid, yang berlaku sebelum, selepas dan semasa haid atau semasa proses ovulasi. Ia dikenali migrain haid.
-
Kafein
Punca kepala pening ini adalah kerana pengambilan kafein. Ia menjejaskan aliran darah ke otak dan menyebabkan anda alami sakit kepala. Individu yang alami migrain cenderung hidapi sakit kepala akibat penggunaan kafein.
Walaupun bukan semua individu yang mengubah jumlah pengambilan kafein akan kurang diserang sakit kepala, tetapi mengurangkan pengambilan kafein pada tahap yang berpatutan atau mungkin berhenti mengambilnya terus, dapat membantu mencegah sakit kepala.
-
Rebound
Sakit kepala rebound, juga turut dikenali sebagai sakit kepala pengambilan ubatan berlebihan. Individu yang diserang sakit kepala ini akan merasakan sakit kepala jenis ketegangan atau mungkin merasa lebih sakit seperti sakit kepala migrain.
[embed-health-tool-bmi]