Rambut adalah mahkota semula jadi yang bukan sahaja penting untuk seorang wanita, malahan lelaki juga.
Pun begitu, akan wujud banyak masalah yang boleh terjadi kepada bulu di bahagian kepala ini lantas sekali gus menjejaskan penampilan individu.
Antara masalah yang biasa kita dengar selalu terjadi kepada rambut adalah uban, kelemumur, rambut rosak, rambut gugur serta rambut kering.
Persoalannya, wujudkah bahan yang boleh dicuba di rumah untuk merawat rambut kering? Jom ikuti artikel ini!
Rambut kering, masalah yang menjengkelkan!
Untuk pengetahuan anda, ia adalah satu kondisi di mana rambut sudah tidak mampu mendapatkan atau mengekalkan kelembapan yang cukup.
Rambut yang kering bukan sahaja akan membuat ia tidak bersinar, malah nampak kusam, keriting serta tidak bernyawa dan bermaya.
Buat rambut yang sihat, minyak alami pada lapisan luar akan membantu melindungi lapisan dalam namun jika minyak ini tidak cukup, maka rambut akan menjadi sangat kering.
Selain kekurangan minyak alami ini, apa punca yang lain ya?
- Tinggal di kawasan beriklim kering dan panas
- Terdedah kepada sinaran matahari
- Terdedah kepada tiupan angin
- Terlalu kerap mencuci rambut
- Kerap berenang di dalam kolam mengandungi klorin
- Menggunakan produk rambut yang tidak sesuai
- Menggunakan alat/ubat lurus atau keriting rambut
Dalam beberapa kes, rambut yang kering mungkin didasari oleh kondisi kesihatan tertentu seperti anorexia nervosa, hipoparatiroidisme, hipotiroidisme dan sindrom Menkes.
Jadi sila berjumpa pakar rambut untuk mengetahui punca ia berlaku sebelum menjalani sebarang rawatan ya?
Rambut kering boleh rawat sendiri di rumah?
Kadangkala, kita semua mungkin tidak mempunyai masa atau wang cukup bagi mendapatkan rawatan rambut di salun bukan?
Jangan risau, ada beberapa petua merawat rambut kering yang kalian boleh cuba di rumah hanya dengan menggunakan bahan semula jadi berikut:
#1. Minyak zaitun
Minyak zaitun adalah rawatan sampingan yang boleh dikatakan paling popular untuk merawat masalah ini.
Ini kerana ia mungkin boleh melembutkan dan menguatkan rambut dengan menembusi helaian rambut sekali gus mengekalkan kelembapannya.
Dalam pada itu, kandungan Vitamin E yang sangat tinggi juga mampu menyembuhkan rambut rosak dengan melicinkan kutikel luar rambut.
Cara merawat rambut kering #2. Madu
Madu adalah antara bahan semula jadi bagi rawatan sampingan yang sangat sesuai untuk merawat masalah ini.
Sekiranya anda mengalami rambut kering atau rosak, madu boleh membantu ekoran ciri humektan semula jadinya yang boleh menarik kelembapan.
Bukan itu sahaja, ia juga penuh dengan antioksidan dan nutrien yang bagus untuk folikel rambut lantas memerangkap kelembapan pada rambut anda.
Kesannya, rambut anda mungkin akan menjadi sangat lembut, subur, lebat dan berkilat!
Ramuan merawat rambut kering #3. Pisang
Pisang juga sangat sesuai untuk merawat masalah ini.
Masker yang diperbuat daripada pisang untuk rambut dapat menjadikan rambut lebih lembap lantas memberi sinar kepada rambut anda yang telah kering dan rosak.
Dengan kandungan vitamin C yang sangat tinggi, pisang sangat sesuai untuk rambut anda.
Digabungkan dengan manfaat kalium dalam pisang, ia mampu mencegah hujung rambut bercabang, dan melembutkan serta meningkatkan keanjalan rambut.
#4. Telur
Bukan sahaja sedap dan sihat untuk dimakan, telur juga sebenarnya mempunyai banyak manfaat untuk rambut!
Ini kerana ia kaya dengan protein, sulfur dan biotin yang akan menguatkan dan menyihatkan rambut jika diambil dalam hidangan atau digunakan sebagai masker rambut.
Dalam pada itu, telur juga boleh memperbaiki rambut yang telah rosak, kusam dan tidak bermaya dengan menambah kelembapan, sinar, dan tekstur kepadanya.
#5. Mayones
Mungkin aneh untuk menyapukan mayones kepada rambut kerana ia sudah sangat sinonim dengan masakan bukan?
Namun ketahuilah bahawa ia bukan sahaja selamat dan murah untuk digunakan, bahkan juga bersifat semula jadi.
Mayonis sangat kaya dengan kuning telur yang berkhasiat untuk merangsang pertumbuhan rambut yang sihat.
Rambut anda juga mendapat manfaat daripada L-cysteine, asid amino serta antioksidan kuat yang boleh didapati dalam telur, menjadikan rambut kuat dan bersinar.
Bagaimana? Pernahkah anda cuba cara-cara ini? Jika tidak, boleh cuba hari ini juga!
[embed-health-tool-ovulation]