AWAS, 3 Penyakit Kelamin Yang Kerap Berlaku Di Malaysia TAPI Ramai Tak Sedar!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 12/10/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Penyakit Kelamin

Penyakit kelamin, atau penyakit jangkitan kelamin, merujuk kepada penyakit-penyakit yang lazimnya terjadi hasil daripada jangkitan-jangkitan yang diperolehi melalui hubungan seks bersama dengan orang yang telah dijangkiti, khususnya hubungan seks yang tidak membabitkan penggunaan alat perlindungan (seperti kondom) dan juga langkah berjaga-jaga yang lain.

Terdapat lebih daripada 30 jenis penyakit kelamin yang telah dikenal pasti, dan penyakit-penyakit ini disebabkan oleh pelbagai jenis agen seperti bakteria, virus dan juga parasit (seperti kulat dan kutu). Antaranya adalah:

  1. Chlamydia trachomatis
  2. Neisseria gonorrhoeae
  3. Treponema pallidum
  4. Haemophilus ducreyi
  5. Klebsiella granulomatis:
  6. Virus HIV (Human Immunodeficiency virus)
  7. Virus Hepatitis C
  8. Virus Hepatitis B
  9. Virus Herpes Simplex
  10. Virus HPV (Human Papillomavirus)
  11. Trichomonas vaginalis
  12. Sarcoptes scabiei

Terdapat beberapa penyakit kelamin yang diiktiraf sebagai penyakit jangkitan kelamin yang utama, atau penyakit jangkitan kelamin yang lazim dan mempunyai beban kesihatan awam yang signifikan. Menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, lapan jangkitan kelamin yang paling lazim adalah:

  1. Chlamydia (Jangkitan oleh bakteria Chlamydia trachomatis)
  2. Gonorrhea (Jangkitan oleh bakteria Neisseria gonorrhoeae)
  3. Virus Hepatitis B virus (HBV)
  4. Virus Herpes Simplex jenis 2 (HSV-2)
  5. HIV/AIDS (Jangkitan oleh virus HIV)
  6. Virus Human Papillomavirus (HPV)
  7. Sifilis (Jangkitan oleh bakteria Treponema pallidum)
  8. Trichomoniasis (Jangkitan oleh protozoa parasit Trichomonas vaginalis)

Statistik dan epidemiologi berkaitan penyakit kelamin

penyakit kelamin

Terdapat lebih 600 juta kes penyakit jangkitan kelamin di seluruh dunia dan di Amerika Syarikat sahaja, insiden kes baru adalah sekitar 20 juta kes setiap tahun.

Di Amerika, kos yang terpaksa dikeluarkan untuk merawat penyakit-penyakit jangkitan kelamin pada tahun 2010 adalah sebanyak USD 16 bilion.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dianggarkan lebih satu juta jangkitan penyakit kelamin berlaku setiap hari di seluruh dunia.

Tambahan lagi, dianggarkan setiap tahun, terdapat lebih kurang 357 juta jangkitan baru yang membabitkan 1 daripada 4 penyakit kelamin berikut (Chlamydia, Gonorrhoea, Sifilis dan Trichomoniasis).

Bagi penyakit-penyakit kelamin yang membabitkan virus pula, dianggarkan lebih 500 juta manusia di seluruh dunia kini sedang menghidap jangkitan virus Herpes Simplex, manakala lebih 290 juta wanita di seluruh dunia dianggarkan menghidap jangkitan virus HPV (Human Papilloma Virus).

Majoriti daripada jangkitan-jangkitan kelamin ini tidak mempunyai simptom atau hanya menzahirkan simptom yang tidak jelas, menyebabkan kebanyakan kes tidak berjaya dikenal pasti pada peringkat awal.

Apa yang lebih merisaukan adalah sesetengah daripada penyakit kelamin ini, seperti sifilis dan jangkitan virus Herpes Simplex, meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap jangkitan kelamin lain yang lebih berbahaya – Jangkitan HIV.

Pada tahun 2015, dianggarkan terdapat lebih 108,000 kematian berpunca daripada penyakit kelamin (selain daripada jangkitan virus HIV) di seluruh dunia.

Di Malaysia, amalan seks yang tidak selamat menyumbang kepada 80% daripada kes keseluruhan.

Kes HIV pertama yang dilaporkan di Malaysia adalah pada tahun 1986 dan sejak itu, terdapat lebih 100,000 kes HIV di seluruh Malaysia dan lebih 16,000 kematian telah dicatatkan pada Disember 2013.

Dalam negara kita, epidemik HIV kebanyakannya tertumpu dalam komuniti lelaki homoseksual, transgender, pekerja seks dan juga mereka yang berkongsi jarum. Majoriti kes baru HIV berlaku dalam golongan berusia 20 hingga 29 tahun, dan hubungan kelamin merupakan kaedah penyebaran yang paling tinggi (74%) berbanding berkongsi jarum suntikan (22%).

Artikel ini akan membincangkan 3 penyakit kelamin yang paling kerap berlaku di Malaysia.

Chlamydia

Chlamydia adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin disebabkan oleh bakteria Chlamydia trachomatis. Anda terdedah kepada risiko untuk mendapat jangkitan ini jika anda melakukan hubungan seks tanpa perlindungan (sama ada melalui faraj, dubur, atau oral) dengan orang yang telah dijangkiti, baik lelaki mahupun perempuan.

Ini kerana bakteria bergram negatif ini hanya mampu membiak di dalam sel-sel manusia. Justeru, sentuhan fizikal antara organ yang mempunyai membran mukosa (bahagian mulut, faraj, uretra dan dubur) perlu berlaku untuk jangkitan mengambil tempat.

Tambahan lagi, bakteria ini juga merupakan punca buta yang boleh berjangkit dan penyakit jangkitan kelamin bawaan bakteria yang paling lazim.

Simptom dan tanda Chlamydia

Lazimnya, mereka yang sudah dijangkiti Chlamydia tidak mempunyai sebarang simptom atau merasa diri mereka sakit. Justeru, mereka berupaya untuk menjangkiti orang lain kerana menyangkakan diri mereka bersih.

Tanda-tanda atau simptom (jika ada) hanya muncul selepas tempoh satu atau dua minggu selepas pendedahan.

Perlu diingati, simptom dan tanda jangkitan Chlamydia mirip simptom dan tanda jangkitan Gonorrhea. Memandangkan Chlamydia tidak hanya berlaku di bahagian kelamin dan sistem urinari (sistem genitourinari) sahaja, terdapat simptom-simptom lain yang berkaitan dengan lokasi dan sistem yang dijangkiti.

Antara tanda-tanda dan simptom utama yang dialami seseorang yang telah dijangkiti bakteria ini adalah:

  1. Rasa sakit sewaktu kencing
  2. Rasa sakit di bahagian bawah abdomen
  3. Wujud lendiran keluar daripada kemaluan
  4. Rasa sakit sewaktu melakukan hubungan kelamin (untuk kaum wanita)
  5. Mengalami pendarahan yang tidak teratur (untuk kaum wanita)
  6. Rasa gatal pada bahagian faraj (untuk kaum wanita)
  7. Rasa sakit pada bahagian testis (untuk kaum lelaki)
  8. Rasa sakit, keluarnya lendiran dan juga pendarahan daripada dubur

Bagi kaum lelaki, mereka lazimnya akan mengalami keradangan salur kencing (urethritis) manakala kaum wanita pula lazimnya akan mengalami masalah keradangan dinding pangkal rahim mereka (endocervicitis).

Simptomnya juga boleh mirip simptom jangkitan salur kencing (kencing kotor). Seseorang yang menghidapi jangkitan ini juga mungkin akan perasan noda limfa di sekitar bahagian kangkang mereka membengkak.

Ini disebut sebagai lymphogranuloma venereum. Jangkitan mata berlaku dalam bentuk konjunktivitis atau trachoma yang boleh berlaku baik dalam orang dewasa mahupun kanak-kanak.

Cara mendiagnosis Chlamydia

Chlamydia boleh didiagnosis melakukan ujian berasaskan DNA menggunakan sampel air kencing atau sapuan faraj pesakit.

Contoh ujian-ujian makmal berasaskan DNA yang digunakan untuk menganalisis sampel-sampel tersebut adalah ujian amplifikasi asid nukleik (NAATs), ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) dan juga Enzyme-linked immunosorbent assay (ELISA).

Rawatan untuk Chlamydia

Lazimnya, ubat antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria ini adalah  azithromycin, doxycycline, erythromycin dan juga ofloxacin.

Pasangan anda juga akan dirawat bagi mencegah jangkitan semula di masa hadapan. Perhatian perlu diberikan sekiranya penghidap itu sedang mengandung kerana ada ubat yang tidak boleh diberi.

Komplikasi jika tidak dirawat

Chlamydia yang tidak dirawat boleh membawa kepada kesan-kesan kesihatan yang serius, khususnya berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif.

Dalam sesetengah wanita, apabila mereka tidak menerima rawatan awal dan mencukupi untuk membunuh bakteria ini, sekitar 50% daripada mereka akan terus dijangkiti dan progres kepada jangkitan kronik, dengan tempoh melebihi 1 tahun.

Liciknya bakteria ini, ia mampu untuk mengelak daripada sistem imun badan pesakit dan bergerak naik ke atas, ke bahagian dalaman organ dan salur reproduktif.

Pendedahan berterusan saluran Fallopian kepada bakteria ini (termasuk antigen yang dihasilkannya) akan membawakan pembentukan parut dan juga masalah integriti struktur saluran Fallopian.

Ia juga mampu untuk mengakibatkan kesan yang sama kepada organ-organ dalaman pelvis, membawa kepada penyakit keradangan pelvis.

Justeru, dalam kalangan wanita, ia boleh merosakkan sisterm pembiakan wanita sekali gus membawa kepada masalah kehamilan ektopik, dan juga masalah untuk hamil.

Walaupun seseorang itu berupaya untuk hamil, dengan jangkitan oleh bakteria ini, perkembangan bayi yang sihat sepanjang proses tersebut tidak dapat mencapai tahap yang optimum dan mereka terdedah kepada risiko jangkitan mata apabila bersalin.

HIV/AIDS (Human Immunodeficiency Virus/Acquired Immunodeficiency State)

Human immunodeficiency virus (HIV) adalah sejenis retrovirus yang menjangkiti sel-sel imun dalam badan manusia, sehingga membawa kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS). AIDS adalah keadaan di mana sistem imun seseorang berterusan untuk gagal dan tidak lagi berupaya untuk melindungi seseorang itu sehinggakan jangkitan oportunistik dan juga barah boleh berlaku.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 35 juta nyawa telah diragut oleh virus durjana ini. Pada penghujung tahun 2017, dilaporkan bahawa lebih 36.9 juta penduduk bumi hidup dengan HIV dan sekitar 1.8 juta pesakit baru dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia. Benua Afrika kekal sebagai benua yang menerima beban penyakit ini yang paling tinggi, dengan 25.7 juta penghidap HIV adalah daripada benua ini, dan sekitar 2/3 daripada kes baru tahunan di seluruh dunia, berasal dari benua Afrika.

Di Malaysia, kes jangkitan HIV yang mula dilaporkan adalah pada tahun 1985. Sejak daripada itu, 16,000 kematian akibat HIV telah dicatatkan sehingga penghujung tahun 2013 dan lebih 100,000 rakyat Malaysia telah dilaporkan menghidap jangkitan ini dalam tempoh yang sama. Menurut Majlis AIDS Malaysia, 3,397 kes HIV baru telah dilaporkan pada tahun 2016, dengan majoritinya berlaku dalam kalangan lelaki (sebanyak 2,984 kes) berbanding wanita (sebanyak 413 kes). Trend notifikasi menunjukkan bahawa terdapat penurunan kes HIV baru yang dilaporkan sejak ianya memuncak pada tahun 2002 (dengan 28.4 kes setiap 100,000 penduduk) kepada 11 kes baru setiap 100,000 penduduk pada tahun 2016.

Simptom dan tanda HIV/AIDS

Jangkitan HIV jarang mempunyai sebarang simptom. Sebaliknya, simptom dan tanda yang berlaku akibat HIV lazimnya adalah simptom dan tanda akibat jangkitan oportunistik yang telah mengambil tempat dalam badan seseorang itu apabila sistem imun mereka menjadi terlalu lemah (AIDS). Hampir semua jangkitan berupaya untuk menjadi jangkitan oportunistik namun terdapat beberapa jangkitan oportunistik lazim yang telah dikenal pasti dan dikira sebagai ‘keadaan-keadaan yang mendefinisikan AIDS’ (AIDS defining conditions). Contoh jangkitan tersebut adalah:

  1. Candidiasis (jangkitan fungus) di bahagian mulut, tekak atau faraj.
  2. Jangkitan bakteria Cryptococcus neoformans, fungus yang berupaya untuk menyebabkan keradangan lapisan sistem saraf (meningitis) .
  3. Jangkitan Cryptosporidiosis dan microsporidiosis, protozoa yang menggangu sistem gastrousus.
  4. Jangkitan virus Cytomegalovirus (CMV), virus yang boleh menyebabkan jangkitan mata sehingga buta dan juga cirit birit dan ulser yang teruk.
  5. Jangkitan virus Herpes simplex, keluarga virus yang berupaya untuk menyebabkan ulser atau luka pada mulut dan sekitar kemaluan.
  6. Mycobacterium avium complex (MAC), bakteria yang mengakibatkan demam, masalah penghadaman dan susut berat badan yang serius.
  7. Jangkitan Pneumocystis pneumonia (PCP), jangkitan fungus yang berupaya untuk menyebabkan masalah paru-paru yang boleh membawa maut.
  8. Progressive multifocal leukoencephalopathy (PML).
  9. Toxoplasmosis, penyakit akibat jangkitan sejenis parasit yang berupaya untuk membawa kepada keradangan otak (encephalitis) dan juga gangguan penglihatan.
  10. Jangkitan Tuberkulosis (TB) yang tidak terhad kepada paru-paru, malah boleh merebak ke organ lain seperti hati dan usus.
  11. Kanser kulit disebabkan virus Herpes yang diberi nama Kaposi’s sarcoma yang 3 kali ganda lebih lazim dalam lelaki. Wanita pula lebih mudah untuk mendapat jangkitan HPV yang berupaya untuk menyebabkan kanser serviks.

Rawatan untuk HIV

Realitinya, para saintis dan pengkaji belum lagi menemui ubat yang mampu untuk menyembuhkan seseorang itu sepenuhnya daripada HIV. Antara dua halangan terbesar yang menyukarkan rawatan penyembuhan jangkitan HIV adalah:

  1. Kerana virus ini mampu untuk bermutasi dengan cepat dan rintang terhadap rawatan yang diberikan, sekiranya pesakit lupa untuk mengambil ubat mereka, walaupun untuk sehari sahaja.
  2. Terdapat sebilangan virus-virus HIV ini yang menyorok di dalam sel-sel imun dan mereka kekal pendam di dalamnya. Virus-virus ini kekal bersembunyi dan tidak keluar ke dalam salur darah, menyebabkan rawatan sedia ada tidak mampu membunuh mereka.

Rawatan terkini untuk jangkitan HIV adalah rawatan Antiretroviral. Rawatan ini biasanya akan menggunakan lebih daripada satu jenis ubat untuk mengawal beban virus di dalam badan pesakit.

Rawatan ini dengan mudahnya dapat menghalang replikasi baru virus HIV dan membunuh virus HIV yang berada dalam darah.

Saintis dan para pengkaji kini sedang mendalami dan mencari kaedah rawatan untuk ‘menendang’ keluar virus-virus HIV yang menyorok dalam sistem imun agar ianya terdedah di dalam darah dan senang untuk dibunuh.

Ketuat kelamin (Jangkitan HPV)

Ketuat di bahagian kelamin merujuk kepada pertumbuhan tisu-tisu kulit berkeratin di sekitar bahagian kemaluan.

Untuk lelaki, ianya boleh tumbuh di mana-mana bahagian kulit sepanjang zakar dan juga pada skrotum, manakala untuk wanita, ianya mampu tumbuh di sekitar bahagian labia dan kelentit.

Rupa bentuk ketuat kelamin ini lazimnya dicirikan sebagai mirip bentuk dan struktur sayur cauliflower dan ianya akan rasa lembut atau sedikit pejal apabila disentuh (bergantung kepada ketumpatan keratin).

Keadaan ini berpunca daripada jangkitan spesis-spesis tertentu virus HPV (Human Papilloma virus). Terdapat lebih daripada 170 jenis virus HPV yang telah dikenal pasti. Daripada jumlah tersebut, terdapat lebih daripada 40 jenis virus HPV yang ditularkan melalui aktiviti seks.

Tambahan lagi, terdapat kaitan yang kuat antara spesis-spesis virus HPV tertentu dengan keadaan-keadaan kesihatan yang khusus. Sebagai contoh, virus HPV jenis 6 dan virus HPV jenis 11 jarang membawa kepada penyakit barah pangkal rahim (kanser serviks) namun kedua-dua virus HPV ini bertanggungjawab dalam 90% kes ketuat kelamin.

Rawatan untuk HPV

Tiada rawatan khusus untuk ketuat kelamin akibat HPV. Sekiranya terlalu besar, pembedahan debulking mungkin dilakukan untuk membuang ketumbuhan ketuat tersebut. Sebaliknya, pencegahan adalah kunci bagi melawan HPV.

Terdapat 2 jenis vaksin yang telah diluluskan. Cervarix, dilesenkan pada 2009, hanya melawan HPV jenis 16 dan 18. Gardasil adalah satu-satunya vaksin yang melindungi dari masalah prakanser pada vulva, faraj dan dubur. Kedua-dua vaksin ini memerlukan 3 dos untuk diberikan pada masa berlainan, tetapi penyelidikan baru menunjukkan 1 dos sudah mencukupi.

Kebanyakan wanita berusia 26 tahun ke atas terdedah kepada HPV, yang mana penggunaan vaksin tidak akan dapat membantu. Namun berita baik, pemeriksaan kanser rutin – pap smear test – yang boleh mengesan perubahan abnormal pada serviks yang disebabkan jangkitan HPV yang disyorkan untuk wanita berusia 21 hingga 65 tahun.

Garis panduan mengesyorkan bahawa kanak-kanak perempuan berusia 11 atau 12 tahun boleh mendapatkan vaksin HPV. tetapi mereka juga boleh mengambilnya pada usia 9 tahun. Idea suntikan vaksin ini adalah untuk memberi perlindungan yang baik terhadap HPV sebelum mereka menjadi aktif secara seksual. Vaksin juga disyorkan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan berusia 13 hingga 26 tahun yang tidak pernah mendapatkan suntikan vaksin sebelum ini atau tidak mendapat 3 dos suntikan.

Sebagai rumusan, kesedaran dan pendidikan tentang penyakit kelamin adalah asas yang penting dalam mencegah penyebaran dan penularannya di peringkat akar umbi. Setiap lapisan masyarakat perlu sedar tentang cara-cara pendedahan dan langkah-langkah perlindungan asas, seperti menggunakan kondom apabila ingin bersetubuh dengan pasangan yang tidak diketahui status mereka.

Sekiranya anda inginkan maklumat lanjut, segeralah berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang betul serta ujian saringan yang tepat. Banyak kemudahan rawatan dan saringan disediakan di klinik-klinik dan hospital awam bagi memastikan penyakit ini terkawal dan penularannya dapat dihadkan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Susahnya Nak Lelapkan Mata Semasa Demam! Jangan Risau, Ini 7 Cara Untuk Tidur Lena

    Anda demam? Pasti anda rasa susah untuk tidur malam. Ini kami bawakan kepada anda 7 tip untuk anda tidur dengan lena ketika sedang sakit.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Fatin Zahra
    Gaya Hidup Sihat, Tidur 26/10/2020 . 3 minit bacaan

    Kerap Alami Kembung Perut? Itu Mungkin Tanda USUS TERSUMBAT, Atasinya Dengan Diet Ini

    Keadaan usus tersumbat boleh menyebabkan berlakunya masalah perut kembung. Jangan bimbang, diet pemakanan ini boleh bantu mengatasinya.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Gaya Hidup Sihat, Pemakanan 26/10/2020 . 3 minit bacaan

    Badan Kurus Tapi Kolesterol Tinggi? Jaga-Jaga Ya! Ia Boleh Jadi Punca Serangan Jantung

    Seperti yang diketahui umum, mereka yang mempunyai berat berlebihan cenderung untuk menghidap kolesterol tinggi, tetapi orang kurus juga boleh terkena, tau!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Pusat Kesihatan, Penyakit Jantung 26/10/2020 . 3 minit bacaan

    Selulit & Stretch Marks Berbeza, Ya! Ini 3 Cara Untuk Mencegahnya, Mudah Sahaja!

    Bila tengok keadaan kulit, jadi keliru, ini masalah selulit atau tanda regangan? Hmmm, macam mana nak bezakan antara kedua-duanya?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Gaya Hidup Sihat, Sihat Bergaya 23/10/2020 . 3 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    apa itu kanser prostat

    Jangan Sangka Kanser Prostat Hanya Boleh Berlaku Pada Lelaki, Wanita Pun Berisiko?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 26/10/2020 . 3 minit bacaan
    suami isteri

    Hubungan Toksik, Ini 14 Tanda Anda ‘Kaki Kongkong’! Jangan Teruskan Kalau Nak Kekal Lama

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 26/10/2020 . 3 minit bacaan
    mitos kanser serviks

    Merungkai Mitos Kanser Serviks, Betul Ke Ini Penyakit Keturunan & Pesakit Tak Boleh Hamil?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Nisreen Nadiah
    Diterbitkan pada 26/10/2020 . 3 minit bacaan
    hidup gembira

    Tidak Perlu Banyak Wang, Ini 12 Cara Menikmati Hidup Dengan Gembira

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
    Diterbitkan pada 26/10/2020 . 3 minit bacaan